seismik

'Hidup Dan Mati, Gembira Dan Sedih. Beginilah Kisah Aku Sebagai Penghidap Penyakit Mental'

"Aku malas menguruskan diri apatah lagi suami dan anak. Aku hilang minat untuk melakukan sebarang aktviti kerana takut mati dan selalu rasa sesak nafas," - VirginRose

Cover image via VirginRose

Serangan panik, sesak nafas, jantung laju, tubuh menggigil, tiada semangat untuk hidup, kebas seluruh badan, hilang selera makan, insomnia, takut perihal mati, takut ada penyakit, takut akan jadi gila, tidak boleh bersendirian; antara gejala yang aku deritai selama berbulan-bulan lamanya sekitar penghujung tahun 2012 hingga 2013. Ia berpunca dari kesan trauma dan tekanan-tekanan perasaan yang aku alami di sepanjang kehidupan aku sebelum itu.

Tertekan untuk menghabiskan pengajian di universiti, berkahwin dalam usia yang muda, bercerai, disekat dari berjumpa dengan anak selama 6 bulan, disahkan mengalami molar pregnancy sewaktu mengandungkan bayi dari suami kedua; semua ini membuatkan hidup aku menjadi semakin tertekan. Aku memang terlalu mengharap untuk melahirkan zuriat buat suami kedua aku yang sangat baik hati sebagai balasan di atas kasih sayang yang dia curahkan pada aku selama itu. Walaupun dia amat menyayangi anak tunggal dari hasil perkahwinan pertama aku dahulu dan melayan anak itu seperti anak kandung sendiri tetapi aku tetap berniat mahu melahirkan zuriat dari benih dia sendiri. Namun apabila doktor mengesahkan bahawa kandungan yang berusia 4 bulan itu tiada jantung dan tiada bentuk bayi aku menjadi sangat kecewa dan tertekan.

Image via VirginRose

Aku mula menjadi seorang yang cepat risau dan cenderung untuk berfikiran negatif. Aku mengalami masalah kebimbangan kronik secara berterusan. Aku mudah merasa gelisah, risau dan takut dalam segala hal yang remeh. Prestasi kerja aku menurun. Rakan sekerja mula rasa tidak puas hati dengan tindakan aku yang sering mengambil cuti sakit dan mengelak dari menyelesaikan tugasan sehingga membebankan mereka. Aku umpama mayat hidup dan mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Aku malas menguruskan diri apatah lagi suami dan anak. Aku hilang minat untuk melakukan sebarang aktviti kerana takut mati dan selalu rasa sesak nafas. Aku hilang diri sebenar aku!

Setelah berkali-kali melakukan pemeriksaan kesihatan di pusat perubatan, doktor akhirnya mengesahkan aku mengalami Anxiety Disorder - sejenis penyakit mental yang mengganggu kefungsian peranan individu dalam aktiviti harian akibat dari kebimbangan yang kronik. Aku disarankan untuk mendapatkan rawatan psikiatri dan mengambil ubat penenang jenis Xanax. Tetapi aku menolak rawatan tersebut kerana mendapat kesedaran bahawa ini merupakan masalah jiwa dan tiada sesiapa yang dapat memulihkan jiwa aku melainkan diri aku sendiri. Aku mula mencari sendiri kefahaman mengenai Anxiety Disorder dan membaca kisah inspirasi individu yang telah berjaya pulih secara semulajadi dari penyakit mental tersebut.

Namun, semasa aku hampir 40% sembuh, aku dikhabarkan dengan berita kematian suami aku yang terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa pulang dari bertugas. Waktu itu bagai ada satu batu yang menghempap mati semangat aku. Aku menjadi kemurungan dan tidak mahu berjumpa orang. Aku menangis setiap hari. Ditambah pula dengan tekanan perasaan apabila ada kenalan yang menghantar dan berkongsi keratan akbar Harian Metro dan Sinar Harian mengenai berita kemalangan suami aku itu ke Whatsapp. Aku menjadi semakin tertekan dan mula mempersoal takdir. Mengapa di saat aku memerlukan sokongan dari suami bagi memulihkan masalah mental ini Tuhan mengambil dia terus dari hidup aku? Bagaimana dapat aku jalani kehidupan akan datang tanpa suami di sisi? Apakah aku akan berakhir menjadi gila? Bagaimana aku mahu membesarkan anak tunggal aku ini bersendiri? Semua itu menjadi persoalan akal tanpa henti.

Gambar keratan akhbar Sinar Harian mengenai laporan kemalangan maut arwah suami.

Image via VirginRose

Namun, siapa sangka. Kejadian yang berlaku itu sebenarnya membuatkan aku menjadi lebih kuat. Aku bangkit semula dan tidak mahu menjadikan masalah mental - Anxiety Disorder ini sebagai punca kepada penderitaan hidup aku dan anak tunggalku. Aku tahu aku boleh terus bangkit sebagaimana aku bangkit dari menjalani sendiri proses kesembuhan penyakit mental beberapa bulan sebelum itu. Aku sedar bahawa kesembuhan ini bukanlah datang dari keberadaan atau ketiadaan suami aku di sisi. Semua ini harus berpunca dari aku. Hanya aku yang dapat memulihkan penyakit ini atas kekuatan dari Tuhan.

Semenjak itu aku melihat kehidupan ini sebagai suatu yang semulajadi pada kejadiannya.

“Hidup dan mati, gembira dan sedih, sakit dan sihat, pertemuan dan perpisahan itu kitaran. Umpama siang dan malam yang datang bersilih ganti; itu semua kitaran.”

Lalu aku mengubah kehidupan aku dengan berhenti dari mengeluh. Aku tinggalkan sejarah silam dan letakkan ia sebagai memori. Aku lepaskan gambaran masa depan yang malang sebagai imaginasi. Aku hidup dari saat ke saat. Aku beri makna pada kehidupan aku dengan cara tersendiri. Walaupun masih ada ketika aku mengalami serangan panik yang membuatkan aku sukar untuk bernafas dan hampir pengsan, aku sentiasa melatih diri untuk tidak menambahkan kerisauan dan ketakutan pada serangan yang sedang hadir itu. Aku dorong diri untuk menerima setiap serangan yang berlaku. Aku benarkan gejala itu hadir dan serang pada bila-bila masa tanpa aku persoalkan atau rungutkan.

Image via VirginRose

Dan setelah hampir setahun aku menjalani proses kesembuhan itu secara bersendiri tanpa ubatan psikiatri aku akhirnya mencapai erti kesembuhan sebenar. Secara perlahan-lahan aku bebas dari simtom-simtom fizikal dan kebimbangan kronik. Aku berjaya menjalani kehidupan yang lebih indah dan luar biasa dari sebelum ini. Itu semua dapat nikmati setelah aku mengubah pandangan dan perspektif aku terhadap penyakit Anxiety dan sekaligus membaiki seluruh kehidupan aku.

Atas keyakinan yang ada aku mula mendekati penderita-penderita Anxiety Disorder melalui laman Facebook, Page Anxiety Disorder Malaysian Community (ADMC) dengan berkongsi pengalaman serta tips kesembuhan bagi membantu mereka menjalani proses pemulihan ini. Aku juga pernah menganjurkan sesi bual bicara dan memenuhi beberapa jemputan sebagai penceramah bagi berkongsi pengalaman dan tips kesembuhan yang ada. Aku juga menjadi penulis jemputan dalam blog Husnuzzon Loa yang berkongsi tips pemulihan bagi Obsessive Compulsive Disorder dan Anxiety Disorder dengan menggunakan nama pena VirginRose VR. Aku turut memuat naik rakaman video mengenai perkongsian kaedah dan tips kesembuhan bertajuk Anxiety Disorder Compilation di YouTube. Aku juga selesa untuk memenuhi permintaan penderita-penderita Anxiety yang berhajat untuk bersemuka secara peribadi dan berkongsi kefahaman mengenai penyakit yang sedang dideritai.

VirginRose memberi ceramah mengenai Anxiety Disorder di LPPKN Johor Bahru.

Image via VirginRose

Semua ini aku lakukan sebagai usaha untuk menghentikan stigma negatif terhadap penyakit Anxiety Disorder yang masyarakat lihat ia sebagai penyakit gila. Aku akui bahawa stigma ini timbul kerana penderita sendiri yang tidak memahami apa itu Anxiety. Lalu kefahaman itu tidak dapat disalurkan kepada masyarakat sehingga mengundang pelbagai cemuhan dan tuduhan yang mengatakan bahawa penderita Anxiety ini ‘mengada-ada’ dan dahagakan perhatian. Apa yang aku mahu masyarakat di luar sana tahu bahawa penyakit Anxiety Disorder ini telah lama wujud sejak dahulu lagi namun masyarakat lebih mengenalinya dengan istilah badi mayat, lemah semangat dan sebagainya. Apabila rawatan tidak diberikan, penderita cenderung untuk mengalami kemurungan dan mengundang kepada masalah kesihatan mental yang lain seperti Skizofernia atau Bipolar Disorder.

Justeru, di sini aku menegaskan bahawa memahami corak serangan Anxiety Disorder itu penting sebagai jalan kesembuhan sebenar. Dan harus diketahui bahawa Anxiety Disorder merupakan kategori penyakit mental yang boleh 100% sembuh jika kita mendapatkan kaedah rawatan segera yang bersesuaian dengan tubuh badan kita.

Saya juga sering mengingatkan diri saya,

“Ketenangan dan kebahagian itu bukan untuk dicapai. Tetapi ia untuk dirasai dan ia telah sedia ada dari dalam diri sendiri. Hargailah kehidupan ini dan nikmatilah kehidupan sehingga ke kemuncaknya kerana hidup ini hanya sekali”

Nazihah Iryani Azadddin a.k.a VirginRose VR

Image via VirginRose

Sumber: Nl Azad a.k.a VirginRose.

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baca lebih banyak kisah menarik di SAYS:

You may be interested in: