Selamatkan Penyu, Penggunaan Serai Akan Dijadikan Pengganti Straw Sebagai Penyedut Minuman
Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Senator Datuk Husam Musa, penggunaan serai ini adalah dua dalam satu kerana lapisan luar dijadikan penyedut minuman, isi dalamnya dijadikan bahan masakan.
Penggunaan serai akan dijadikan sebagai penyedut minuman (straw) dan bakal diperluaskan ke kafe hospital termasuk kepada pesakit
Menurut laporan, cadangan penggunaan serai sebagai pengganti straw ini telah dikemukakan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Senator Datuk Husam Musa.
Beliau juga menjelaskan akan bersedia membekalkan serai kepada mana-mana pihak yang ingin menyahut saranan itu. Malah, menurutnya lagi, penggunaan serai sebagai penyedut minuman adalah sesuatu perkara yang baru dan sebagai permulaan, dia turut mewajibkan penggunaannya di semua kafe KADA.
Tanaman serai mempunyai 27 jenis dan untuk penggunaan sebagai penyedut minuman, serai buluh adalah yang sesuai
"Kita akan memajukan penggunaannya kepada kafe Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sama ada untuk digunakan oleh orang ramai atau pesakit kerana ia adalah bahan semula jadi.
"Tanamannya juga akan diperbanyakkan iaitu di sepanjang tebing tali air KADA dan dianggarkan lebih 10,000 rumpun sudah ditanam di Kampung Padang Halban," katanya.
Husam menjelaskan bahawa beliau akan membuat surat rasmi kepada pihak HUSM, Kubang Kerian, Kelantan bagi mengemukakan cadangan itu dalam masa terdekat ini sementara bekalan serai sangat banyak.
Tambahan pula, penggunaan serai ini disifatkan adalah dua dalam satu kerana lapisan luar sahaja akan dijadikan sebagai penyedut minuman. Manakala isi dalamnya akan dijadikan bahan masakan seperti biasa.
Bagi pencinta alam sekitar, inisiatif serai sebagai penyedut minuman adalah amat bagus kerana dapat mengurangkan penggunaan bahan plastik."