"Asap Kebakaran Di Australia Dijangka Bakal Buat Pusingan Penuh Kelilingi Bumi" - NASA
Asap berkenaan akan kembali ke ruang udara Australia selepas membuat satu pusingan penuh mengelilingi bumi. Malah, ia telah mula bergerak sejak 8 Januari lalu.
Kebakaran di semua enam buah negeri di Australia telah memusnahkan hutan belukar dan taman negara seperti Blue Mountains
Malah, terdapat beberapa bandaraya terbesar di Australia turut terjejas termasuklah Melbourne dan Sydney di mana kebakaran tersebut telah merosakkan perumahan di luar pinggir bandar dan kepulauan asap tebal turut menyelubungi pusat bandar.
Taman Negara Blue Mountains yang terdahulunya cukup popular sebagai pusat pelancongan kini kian suram akibat kebakaran hutan yang tidak berjaya dibendung.
Menurut laporan, sebahagian besar taman negara yang terletak di New South Wales kira-kira 100km dari bandar Sydney itu terbakar sekali gus menyebabkan tempat itu kini dipenuhi abu. Bukan setakat itu sahaja, puluhan rumah turut musnah dijilat api serta menyebabkan beberapa orang anggota tentera maut ketika bertugas memadamkan kebakaran berskala besar itu.
Dalam tragedi kebakaran hutan yang telah membakar bumi Australia itu, sekurang-kurangnya 28 orang terkorban. Malah, turut memusnahkan 2,000 kediaman serta menjejaskan kawasan yang jauh lebih besar berbanding negeri Indiana di Amerika Syarikat.
Australia kini berhadapan dengan salah satu kemarau paling teruk dalam beberapa dekat di mana Biro Meteorologi negara tersebut berkata bahawa musim bunga lalu adalah paling kering dalam sejarah
Pada mulanya, tahap kebakaran berkisar dari api kecil yang menjejaskan bangunan terpencil atau sebahagian kawasan kejiranan. Namun, api mula marak sehingga memakan tanah seluas berhektar-hektar. Oleh disebabkan itu, proses memadam kebakaran menjadi lebih sukar.
Menurut sumber, antara faktor yang menyebabkan kebakaran dan asap tersebar dengan lebih cepat adalah berikutan angin kencang. Malah, ia turut menyebabkan trak anggota bomba sukarela telah terbalik dan menyebabkan kematian anggota tersebut.
Terkini, Agensi Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) meramalkan bahawa kebakaran di Australia akan turut memberi kesan kepada seluruh dunia
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Insider, asap kebakaran di Australia dijangka bakal membuat pusingan penuh mengelilingi bumi. Asap berkenaan akan kembali ke ruang udara Australia selepas membuat pusingan penuh tersebut.
Malah, ia telah mula bergerak sejak 8 Januari yang lalu dan telah mengelilingi separuh daripada bumi.
Menurut Pusat Penyelidikan Goddard NASA, asap tersebut kini menuju ke Amerika Syarikat dan fenomena itu akan menjadikan langit berjerebu. Paling teruk, asap yang terhasil itu dikatakan terlalu tebal sehingga boleh mencipta cuaca tersendiri. Malah, boleh dikaitkan dengan ribut petir gergasi dan mampu menyebabkan kebakaran baru.
Kesannya telah mencapai negara-negara lain, termasuk menjadikan langit merah dan glasier hitam dengan asap di New Zealand serta mempengaruhi matahari terbit dan matahari terbenam di Amerika Selatan.
Asap ini kemudiannya boleh mengembara beribu-ribu batu dari sumbernya, yang memberi kesan kepada keadaan atmosfera di peringkat global."
Walaupun New Zealand terletak kira-kira 1,200 batu jauhnya, namun kesan dramatik di negara tersebut telah menyebabkan isu kualiti udara teruk di seluruh wilayah dan turut menyebabkan langit di negara tersebut bertukar warna oren.
Di Melbourne pula, asap yang tersebar menyebabkan tahap kualiti udara kian menurun dan mencapai paras yang membahayakan minggu ini
Orang awam disarankan untuk tinggal di dalam rumah buat sementara waktu sehingga cuaca kembali pulih.