Tradisi 'Perang' Malam Raya Di Kampung Ini Amat Unik Dan Sukar Ditemui
Rasanya, zaman sekarang memang agak susah nak jumpa perang meriam macam ini.
Sudah lama aku dengar mengenainya malah ada yang meragui kebenarannya. Bagaikan mitos yang sudah bertukar ke lagenda semasa. Kisah sebuah gugusan kampung di daerah Perak Tengah yang bertukar menjadi 'medan perang' menjelang Syawal.
Bila kembali berkerja di Ipoh menghampiri penghujung Ramadhan aku jadi lebih berminat dengan keraian luarbiasa ini. Dari internet dan youtube aku dapati ini bukan omong kosong.
Maka di petang ambang lebaran 2014 setelah selesai segala persiapan raya aku mula merempit seorang diri ke Kuala Kangsar. Hanya untuk menyaksikan 'perang' setahun sekali ini.
Yang istimewa, ianya direstui segenap masyarakat disitu termasuk pihak berkuasa.
'Perang' ini berlaku di tengah-tengah kawasan bendang di Kampung Talang. Kalau ada yang pernah menonton adegan kali pertama Pak Abu dan Pak Jabit jadi zombie dan muncul di tengah sawah dalam filem Zombie Kampung Pisang, disitulah tempatnya.
Setiba di lokasi aku lihat telah tersiap gagah berpuluh-puluh meriam paip besi di beberapa tempat mewakili kampung-kampung kecil di situ. Di satu-satu tempat ada lebih kurang sepuluh buah meriam berukur lilit dua peluk orang dewasa dan sepanjang 10 kaki dihalakan antara satu sama lain.
Aku sempat bertanya kepada seorang budak lelaki kerana aku sangkakan tahun itu tiada 'perang' kerana masih dalam tempoh berkabung kerana kemangkatan Almarhum Sultan Perak.
"Ishhh meroyam mesti ader chor. Takde meroyam idak meriah, idak jadi rayer", jawab budak itu.
Bila dimaklumkan yang 'perang' hanya akan bermula tepat tengah malam raya, pukul 11 malam bila kembali ke lokasi aku dapati kawasan itu telah dipenuhi ribuan pengunjung
Bukan sahaja penduduk tempatan malah pengunjung luar tanpa mengira bangsa turut mengambil kesempatan menyaksikan pesta unik ini. Di sepanjang jalan hingga ke atas ban ramai peniaga membuka tapak perniagaan masing-masing.
Memang sudah menjadi warisan berzaman kampung ini malah ibu-ibu yang baru bersalin dan beranak kecil juga akan rela meninggalkan kampung ini sebentar di malam raya kerana sudah terbiasa.
Dulu asalnya pesta meriam ini menggunakan meriam buluh biasa tapi untuk lebih selamat kemudian ditukar kepada paip besi dan memang tidak pernah berlaku sebarang kemalangan selama ia diadakan
Aku mula mengambil tempat untuk merakam video, betul-betul beberapa meter dibelakang salah satu meriam. Cadang aku selepas itu aku akan merakam video ditengah-tengah antara dua meriam supaya lebih terasa kesannya.
Masing-masing sudah bersedia. Hadirin turut senyap menanti. General sudah mengangkat tangan, serentak yang diatas meriam juga mengangkat sumbu api.
Haaaaaaa!!!!!! Isyarat arahan dari general supaya meriam dibakar.
Boom , boom, boom!!!! Gempita sudah kedengaran. 'Perang' sudah bermula.
Sekumpulan pemuda dan budak lelaki kampung itu sudah bersedia dengan tugas masing-masing. Ada yang duduk diatas setiap meriam. Ada yang menjaga dan mengisi belerang kedalam setiap meriam. Dan seorang pemuda berjalan dan melihat satu persatu keadaan meriam supaya ledakan berlaku lancar.
Boommm!!!! Serentak sumbu dihalakan ke hujung tengah meriam, meledakkan isi belerang, mencabut penutup dihujungnya dan menghasilkan bunyi dan percikan yang sangat kuat. Gema dan gegaran dari letupan meriam itu membuatkan telinga aku pekak sebentar dan hampir sahaja kamera terlucut dari peganganku.
Ternyata apa yang aku lihat di youtube hanya 60% gambaran sebenar. Kerana apa yang ada di depan mata aku hari itu lebih hebat.
Selesai ledakan itu belerang kembali diisi di penutup dan diletakkan kembali dihujung meriam. Lubang tempat nyalaan meriam ditutup supaya isi belerang sebati sebelum dibuka kembali setelah menerima arahan general. Dan proses sama berulang.
Hanya jenis ledakan berbeza-beza. Ada ledakan berturut antara meriam, berdua-dua , semua meriam diledak serentak malah bersekali dengan semua meriam yang ada di kumpulan lain. Betul-betul membangkitkan suasana bagai berada di medan perang sebenar.
Setahu aku 'perang' ini hanya akan berakhir sebelum solat sunat Aidilfitri pagi nanti. Ada juga sumber mengatakan 'perang' ini berlarutan sehingga tengahhari hari raya pertama.
Setelah puas menyaksikan ledakan dan berdepan kemungkinan hilang pendengaran selepas sejam disitu aku mula beredar pulang. Melalui jalan atas ban aku melihat ramai pengunjung duduk di tepi bendang menyaksikan ledakan dari jauh. Nampak sayup di saujana mata kawasan sawah padi itu percikan merah dari hujung meriam berserta bunyi gempita bagai di Perang Teluk lagaknya.
Menghidupkan motorsikal aku pulang ke Ipoh sambil tersenyum riang. Impian aku untuk melihat 'medan perang' lagenda ini untuk membuktikan kebenarannya akhirnya hadir juga.
Biarpun ada terbaca komen di internet ini semua pembaziran tapi bagi aku ini tarikan bangsa yang wajar dipertahankan. Dan pastinya aku akan kembali menjelang raya mendatang.