Pakej Rangsangan Ekonomi: 4 Juta Isi Rumah Bakal Terima Insentif Sebanyak RM1,600
Alhamdulillah.
Susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dilaksanakan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bagi membantu semua meringankan beban yang dialami masyarakat umum
Muhyiddin berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat ini berjumlah RM25O bilion yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Elaun khas kepada petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung untuk mencegah wabak Covid-19
Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dibuat oleh petugas barisan hadapan khususnya para doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam menangani wabak Covid-19, kerajaan pada hari ini telah bersetuju untuk memberikan elaun khas kepada mereka.
Katanya, kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak ini berakhir.
Bukan itu sahaja, kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.
Katanya, elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir.
Memahami situasi semasa telah memberi kesan kepada sumber pendapatan ramai individu, Muhyiddin memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan pemberian tunai secara one-off
Menurut Muhyiddin, ia melibatkan peruntukan hampir RM10 bilion di mana ia juga turut disalurkan kepada kumpulan M40 buat pertama kalinya.
Berikut merupakan bayaran yang akan dibuat:
1) RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.
2) RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.
3) RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.
4) RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.
Selain itu, untuk pelajar institusi pengajian tinggi, Muhyiddin memaklumkan bahawa mereka akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020.
Selain itu, antara bantuan dan inisiatif lain yang turut disalurkan kerajaan bagi membantu rakyat adalah seperti berikut:
1) Memanjangkan pengecualian pembayaran sewa bagi PPR daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan dengan jumlah kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.
2) Memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain. Ini termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan.
3) Bantuan tunai sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang bekerja secara kontrak. Bayaran akan dibuat pada bulan April 2020.
4) Bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 850,000 pesara kerajaan pada bulan April 2020.
Dalam pada itu, bagi mengelakkan individu dari dibuang kerja, kerajaan juga turut menyediakan beberapa inisiatif bagi membantu rakyat yang mungkin terjejas
Justeru Muhyiddin berkata, kerajaan akan memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja.
Katanya menerusi program ini kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.
Jelasnya, program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020.
Oleh itu katanya, majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan. Bahkan selain itu, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada pekerja.
Alhamdulillah, terima kasih kerajaan. Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang terkesan susulan wabak Covid-19.