Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP Bakal Diharamkan Di Negeri Perak
Raja Bomoh masuk berita lagi.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan untuk mewartakan Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP 1Malaysia, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin sebagai sesat dan haram
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata keputusan itu dicapai setelah melihat amalan dan ajaran yang dibawa oleh bomoh tersebut yang didapati terpesong daripada ajaran Islam sebenar.
"Amalan dan ajaran Raja Bomoh itu bakal diwartakan haram dan sesat kerana terpesong daripada agama Islam," tegas Harussani.
Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak dapat menjangkakan tarikh sebenar pewartaan tersebut kerana ia perlu melalui pelbagai proses
Menurut Harussani, bila ia diwartakan belum diketahui kerana ia membabitkan beberapa lagi proses seperti mendapatkan perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebelum dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ia betul, Raja Bomoh bakal diwartakan sebagai haram serta sesat selepas kami mendapati ajaran dibawanya terpesong dari agama, namun belum diwartakan kerana ia masih dalam proses pewartaan. Mesyuarat diadakan dan memutuskan perkara itu. Kami sekarang hanya menunggu proses seterusnya sebelum mewartakannya,” katanya.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bakal mewartakan Raja Bomoh sebagai sesat dan haram
Timbalannya, Zulkifly Ibrahim berkata perkara itu ditegaskan berikutan ajaran yang dibawa Ibrahim jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
“Selain merupakan badan khusus, jawatankuasa itu juga telah meneliti setiap kesalahan Ibrahim berlandaskan nas dan hukum yang tertakluk,” katanya.
Beliau berkata, tindakan daripada sudut penguatkuasaan juga perlu diperhebat dan diperluaskan bagi memastikan ajaran sesat yang membabitkan umat Islam di negara ini tidak terus berlaku.
“Mungkin perlu tindakan yang lebih drastik terhadap golongan ini dan pihak berwajib juga perlu lebih konsisten dalam melaksanakan tindakan bagi membendung masalah ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata keputusan mewartakan fatwa terpulang kepada negeri masing-masing
“Jika Jawatankuasa Fatwa Negeri berasakan amalan yang dilakukan seseorang individu itu menyalahi agama serta wajar difatwakan sesat, ia boleh dilakukan negeri berkenaan,” katanya.
hmetro.com.myDalam Pada Itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata masyarakat perlu menghormati institusi agama sebagai badan berautoriti dalam membuat keputusan tentang hal berkaitan agama
“Apa juga keputusan melibatkan fatwa adalah di bawah bidang kuasa mereka. Rakyat harus menghormati dan ulama-ulama juga tidak boleh mengeluarkan fatwa sesuka hati untuk menyanggah keputusan fatwa yang dibuat oleh entiti agama tertinggi dalam negara ini."
“Sering kali isu yang diputuskan oleh Majlis Fatwa diperlekehkan kononnya mufti dibayar pihak kerajaan walhal di kalangan mufti mereka tiada kaitan dengan pihak pemerintah. Mereka bertanggungjawab dan takut kepada Allah S.W.T berbanding takut kepada manusia."
“Cara terbaik adalah dengan bermuzakarah. Jika mahukan kepastian berjumpalah dengan mufti dan jangan sesekali memperlekehkan keputusan mufti ibarat kita memperlekehkan insitusi agama yang mana peranan mufti itu ada dalam sistem Islam itu sendiri,” jelasnya.
Raja Bomoh sebelum ini pernah menggemparkan umat Islam dengan upacara mencari pesawat MH370 yang hilang dengan menggunakan bubu mata pancing dan teropong daripada buluh, kelapa serta beberapa barangan lain: