[TERKINI] Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Secara Rasmi Dilantik Sultan Pahang Ke-6
Perkara ini telah diumumkan secara rasmi dalam sidang media di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, pada pukul 3 petang, 12 Januari.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah secara rasmi telah dilantik sebagai DYMM Sultan Pahang ke-6 bagi menggantikan ayahanda baginda, Sultan Haji Ahmad Shah
Perkara ini telah diumumkan secara rasmi dalam sidang media di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, pada pukul 3 petang tadi.
Sidang Media tersebut telah diterajui oleh kakanda baginda, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Tengku Abdul Rahman dalam sidang media tersebut menyatakan bahawa keputusan melantik Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang telah dipersetujui oleh Jumaah Pangkuan Negeri.
Tengku Abdullah akan naik takhta sebagai Sultan Pahang yang baharu dan akan dimahsyurkan pada 15 Januari, Selasa, di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.
Semalam, 11 Januari, Mesyuarat Khas Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang dipengerusikan Sultan Abdullah telah diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur
Mesyuarat tersebut yang melibatkan kerabat diraja Pahang dan Orang-Orang Besar Berempat, Berlapan serta 16 negeri adalah betujuan untuk membincangkan pelantikan Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang baharu, menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah yang kini sedang gering.
Turut hadir pada mesyuarat adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan antara Orang-Orang Besar Berempat Pahang. Selain itu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut hadir dalam mesyuarat yang diadakan secara tertutup itu.
Berdasarkan kepada Perkara 9 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Raja Pemerintah terdahulu iaitu Sultan Ahmad Shah boleh turun takhta dan melepaskan hak serta kuasa diraja jika baginda ingin berbuat demikian dengan reda hati sendiri dan perlu menandatangani Surat Perintah.
Surat Perintah berkenaan itu pula hendaklah disaksikan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang yang kedua-duanya hendaklah hadir bersama-sama pada masa Raja Pemerintah menurunkan tandatangan pada Surat Perintah itu.
Perkara Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menerangkan sekiranya Raja Pemerintah tidak bersemayam dalam negeri ketika turun takhta, perintah mengesahkan turun takhta itu hendaklah dibuat dengan Surat Perintah dan diletak cap Mohor Negeri yang ditandatangani Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang.
Langkah ini telah membuka kemungkinan bahawa Sultan Abdullah bakal mengisi kekosongan jawatan YDP Agong selepas pengunduran Sultan Muhammad V pada Ahad lalu, 6 Januari
Mengikut sistem penggiliran Agong, selepas Kelantan jawatan Agong akan disandang oleh Sultan Pahang.
Namun begitu, penentuan YDP Agong yang baharu adalah mengikut prosedur Undi Majlis Raja-raja meskipun terdapat senarai tertentu dalam sistem penggiliran, seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Majlis Raja-raja akan bersidang pada 24 Januari ini bagi melantik Agong ke-16 dan majlis mengangkat sumpah dijangka diadakan pada seminggu kemudian.
Sehingga Agong yang baru dilantik Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang juga timbalan Yang di-Pertuan Agong kini menjadi pemangku Agong.