Rayuan Gagal, Akhirnya 'Shopping Mall' Pertama Malaysia, Ampang Park Sah Bakal Dirobohkan
Selamat tinggal Ampang Park.
Pusat beli-belah pertama di Malaysia, Ampang Park bakal dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek MRT
Notis pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek stesen Mass Rapid Transit (MRT) Ampang Park telah dikeluarkan pada 25 September 2015, dua tahun lalu.
Pengambilan tanah boleh diteruskan kerana cabaran perundangan oleh 39 pemilik strata dan penyewa pusat beli-belah ini telah berakhir pada 1 Jun 2017. Ia diambil alih di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960.
Menurut Bernama, pemilik premis dan penyewa mula memfailkan tindakan undang-undang sejak 18 Januari 2016 bagi membantah rancangan roboh Ampang Park
8 Januari 2016: 39 pemilik premis perniagaan dan penyewa memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan kelulusan merobohkan Ampang Park bagi memberi laluan kepada pembinaan laluan pejalan kaki bawah tanah menghubungkan stesen MRT yang baru ke stesen LRT sedia ada.
30 Jun 2016: Permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi selepas mahkamah memutuskan bahawa pengambilan tanah dilakukan dengan sempurna dan mengikut undang-undang.
18 Januari 2017: Pemilik strata dan penyewa gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan mereka kemudian memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.
1 Jun 2017: Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif menolak permohonan mereka.
Malah, mereka turut meminta pampasan sebanyak RM5 juta bagi setiap lot perniagaan sekiranya rancangan tersebut diteruskan
Dalam laporan Astro Awani, Penasihat Persatuan Peniaga 1Malaysia Ampang Park (Peniaga Dan Pemilik), Dr Dzulkhaini Hussain berkata nilai yang ditetapkan oleh 253 pemilik premis itu setimpal dengan kerugian yang terpaksa ditanggung sekiranya mereka terpaksa berpindah.
"Tanah di Ampang Park kini nilainya tinggi dan mahal. Tiada lagi mana-mana kawasan di Kuala Lumpur yang mempunyai persekitaran seperti ini. Sekiranya diberikan pampasan ia perlu setimpal, iaitu sekurang-kurangnya RM5 juta bagi setiap lot.
"Cadangan projek MRT memang boleh, tetapi kenapa perlu tanah ini dijual kepada syarikat lain dan dibangunkan semula?" katanya..
Untuk makluman, Ampang Park dibuka pada Mac 1973, dua bulan sebelum Kompleks Campbell
Bangunan Ampang Park telah direka oleh pasukan di sebalik People's Park Complex di Singapura, yang merupakan pusat membeli-belah pertama di Asia Tenggara dengan reka bentuk atrium dihubungkan dengan bangunan kediaman.
People's Park Complex dibuka pada 1973, tahun yang sama dengan Ampang Park.
Reka bentuk bangunan Ampang Park adalah dengan kerjasama seorang arkitek dari Kuala Lumpur, Thomas A S Tiang.
Perobohan itu akan memberi laluan kepada projek bawah tanah yang menghubungkan stesen LRT Ampang Park ke stesen MRT baru yang akan dibina di sebelahnya
Tidak akan ada lagi Pusat Beli-Belah Ampang Park selepas ini. Bangunan itu akan menjadi satu legasi terulung di Kuala Lumpur setelah berdiri megah selama 44 tahun.
Oleh itu, selamat tinggal Ampang Park dan terima kasih.