‘Rider’ Kongsi Foto Wanita Hulur Tip & Nota Mohon Doa Dikurniakan Zuriat Ini Undang Sebak
Wanita itu turut menitipkan doa buat semua 'rider' agar sentiasa selamat dan berada dalam lindungan Allah SWT.
Setiap pasangan berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga yang dibina
Mana tidaknya, kehadiran zuriat tentu akan menambah bibit bahagia buat pasangan suami isteri dalam melayan telatah dan ragam mereka.
Walau bagaimanapun, tidak semua pasangan bernasib baik dalam melayari bahtera rumah tangga untuk memiliki zuriat mereka sendiri.
Meskipun berat untuk menerima ketentuan ini, setiap yang berlaku sudah ditetapkan Allah SWT. Sebagai manusia kita perlulah berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan-Nya.
Baru-baru ini, seorang rider telah berkongsikan satu gambar memaparkan nota ringkas dari pelanggannya yang ternyata telah membuat ramai tersentuh hati
Menerusi laman Twitter, @IjamShahnon yang juga merupakan seorang rider menghantar makanan telah menunjukkan gambar upah tip berjumlah RM50 yang diterimanya dari seorang wanita.
Namun begitu, disebalik wang RM50 tersebut, terdapat secebis nukilan diselitkan bersama yang mana mampu mengundang rasa sebak buat mereka yang membacanya.
Dalam nota itu wanita terbabit memohon agar rider berkenaan mendoakan dirinya agar dikurniakan cahaya mata secepat mungkin, setelah menunggu hampir 3 tahun.
Bukan itu sahaja, dia turut menitipkan doa buat semua rider agar sentiasa selamat dan berada dalam lindungan yang Maha Esa.
Meninjau di ruangan reply pada tweet berkenaan, rata-rata warganet mengharapkan wanita itu memperoleh apa yang dihajatinya
Mereka turut mendoakan agar doa dan hajat wanita itu dimakbulkan dan segera dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Ada juga yang telah mendoakan agar rider itu dimurahkan rezeki dan mendapat pendapatan yang halal.