Etnik Rohingya Cari Kehidupan Lebih Baik Di Malaysia Namun Realitinya Tidak Indah
Persoalannya, sampai bila?
Pada 22 Mei lalu, kerajaan Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk membantu warga Rohingya yang terkandas di tengah lautan dengan menyediakan penempatan sementara buat mereka
Pendatang asing etnik Rohingya dan Bangladesh yang terkandas di tengah-tengah laut kini mampu menarik nafas lega apabila Malaysia dan Indonesia bersedia memberikan perlindungan sementara di kawasan yang sesuai dalam masa terdekat.
Hampir 3,000 pelarian berkenaan telah diselamatkan selain ada antara mereka berenang ke tepian pantai di Malaysia, Indonesia, dan Thailand.
Mereka yang diselamatkan dapat menarik nafas lega dan melahirkan rasa syukur dengan berita Indonesia dan Malaysia akan menghulurkan bantuan kemanusiaan
“Rakyat di tempat saya diseksa hidup-hidup sehingga kami terpaksa lari ke sini. Kini kami lega kerana masih ada yang mahu menolong kami terutamanya Malaysia dan Indonesia."
“Sekiranya kerajaan Indonesia mahu menghantar kami kembali ke Mynmar, ini bermakna sama juga dengan membunuh kami sekarang. Saya rela dihantar ke mana-mana negara sekalipun, tetapi bukan dengan bot lagi,” ujar seorang etnik Rohingya, Muhammadul Hasson, 17.
Meskipun begitu, adakah ini bermakna keselamatan mereka telah terjamin? Bagaimana pula dengan masa depan mereka?
Puak Rohingya menghadapi kesukaran tinggal di sini. Mereka tidak dapat bekerja secara sah kerana Malaysia, seperti Thailand dan Indonesia, tidak mengiktiraf pencari suaka dan pelarian, dan tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB.
Sebahagian besar daripada mereka dikerah untuk melakukan pekerjaan kotor atau berbahaya yang dijauhi rakyat Malaysia, hidup dalam keadaan daif dan tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan percuma dan juga pendidikan.
Bagi kebanyakan orang Rohingya, walaupun hidup di pinggir masyarakat Malaysia, ia tetap dianggap satu langkah ke hadapan. Tetapi bagi yang telah berada di sini sejak bertahun-tahun, mereka sangat mengharapkan sesuatu yang lebih baik - sekurang-kurangnya untuk anak-anak mereka.
"InsyaAllah, kami dapat mencari rezeki di sini. Kami bersyukur tinggal di Malaysia tetapi apa yang masa depan yang kami ada? Anak-anak saya tidak boleh mendapatkan kerakyatan, mereka tidak mempunyai pendidikan formal dan mereka tidak boleh mendapatkan pekerjaan yang sah," kata seorang warga Rohingya yang dikenali sebagai Hamid.
Malaysia dan Indonesia bersetuju menyediakan mereka tempat perlindungan, tetapi dengan syarat mereka perlu pulang ke Myanmar atau ditempatkan di mana-mana negara ketiga dalam tempoh setahun
Jika dilihatkan pada sejarah krisis sebelum ini, matlamat itu tampak sukar untuk menjadi kenyataan
Di Malaysia, lebih 45,000 warga Rohingya diklasifikasikan sebagai pelarian dan sedang menunggu untuk diambil negara lain. Proses ini memakan masa yang sangat lama, malah ada yang telah menunggu selama lebih 18 tahun.
Sementara menunggu, mereka tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kerajaan yang diiktiraf dan digantung daripada bekerja, melainkan mereka menerima pekerjaan tidak rasmi dengan bayaran rendah.
"Ia amat mengecewakan bagi kami. Kami bersyukur kerana boleh tinggal di sini, dan berterima kasih atas bantuan yang kami terima, tetapi tanpa status rasmi yang lebih kukuh, kami tidak mempunyai masa depan di Malaysia," kata Anwar Ahmad, seorang penduduk Rohingya yang telah menetap di Malaysia selama 18 tahun.
Kemakmuran ekonomi, kebudayaan Islam dan masyarakat Rohingya yang besar di Malaysia merupakan antara faktor-faktor tarikan utama mereka ke sini
"Malaysia merangkumi masyarakat Islam moden bandar, dengan ekonomi, perniagaan, dan pembangunan yang berkembang pesat. Sebagai tempat untuk mencari rezeki, Malaysia adalah lebih bagus daripada Myanmar. Dari segi keselamatan, walaupun mempunyai risiko tangkapan dan eksploitasi terhadap golongan ini, ia masih jauh lebih baik daripada apa yang mereka tinggalkan di belakang mereka," kata Richard Towle, wakil Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian di Malaysia.
Puak dari Myanmar ini membentuk sebahagian besar iaitu lebih dari 150,000 pencari suaka dan pelarian di Malaysia, salah satu jumlah tertinggi di Asia. Negara ini tidak mempunyai kem-kem pelarian rasmi, sehingga mereka terpaksa hidup sebagai "pelarian bandar" di penempatan sempit, rumah pangsa kos rendah atau rumah-rumah terpencil di mana mereka bekerja di tapak pembinaan, restoran, kilang dan ladang-ladang.
Kanak-kanak Rohingya di Malaysia juga dapat menghadiri sekolah peribadi, yang dibangunkan dan disokong oleh para sukarelawan antaranya di Pusat Pendidikan Rohingya di Klang, Selangor dan di Peace Learning Center di Pulau Pinang
"Sesetengah kanak-kanak juga bekerja," kata Dewi Karina Kamarulzaman, seorang siswazah yang mengajar di Peace Learning Center, sebuah sekolah sementara di Pulau Pinang yang menempatkan lebih daripada 50 kanak-kanak Rohingya.
Bagaimanapun, dia menganggarkan lebih separuh daripada kanak-kanak Rohingya di Pulau Pinang tidak menghadiri sekolah kerana tidak mampu menanggung kos tambang bas.
Dinafikan kewarganegaraan oleh Myanmar dan diusir dari tanah mereka sendiri, 1.3 juta warga Rohingya dikenal pasti oleh PBB sebagai golongan minoriti paling ramai ditindas di dunia
Sejumlah 140,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka tahun ini, dan kebanyakannya hidup di kem-kem atau penempatan sementara. Myanmar menganggap mereka sebagai pendatang haram dari Bangladesh, walaupun ramai yang telah menetap di negara itu selama beberapa generasi.
Penderitaan warga Rohingya mendapat perhatian semula sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila sebuah bot dipenuhi lebih 300 orang ditemui terkandas di perairan Selat Melaka selepas ditinggalkan begitu sahaja.
Difahamkan, ramai di antara mereka ditipu oleh orang tengah, diperas ugut oleh broker dan "dibuang" ke laut secara paksaan.
Ini disebabkan kerajaan Bangladesh tidak menerima kepulangan mereka dengan tangan terbuka
Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menggelar pendatang Rohingya sebagai orang-orang "sakit mental" yang telah mencemarkan imej negara, dan dia berkata, mereka semua akan dihukum bersama-sama dengan orang tengah yang terlibat dalam perdagangan manusia
"Bersama-sama dengan orang tengah, hukuman juga perlu diberikan terhadap mereka yang keluar dari negara ini secara haram. Mereka mencalarkan imej negara ini malah menjerumus kehidupan mereka ke dalam bahaya."
"Saya fikir trend yang menyalahi undang-undang ini boleh dihentikan jika orang-orang yang berpindah secara haram ini dihukum," tegas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.
Tambah beliau, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menghantar penduduk mereka ke luar secara sah, masih ada individu yang berpindah dengan memberikan sejumlah wang besar kepada orang tengah
"Mereka sebenarnya ingin mengejar "lubuk emas" kerana mereka fikir mereka boleh mendapat sejumlah wang yang besar jika mereka pergi ke luar negara. Tetapi hakikatnya, hidup mereka menjadi tidak menentu."
"Kehidupan mereka akan menjadi lebih baik jika mereka melakukan sesuatu yang berfaedah melalui wang yang mereka serahkan kepada orang tengah itu."
"Helah ini sering memerangkap mereka. Kita perlu lancarkan kempen dan publisiti supaya mereka tidak lagi tertipu dengan memberikan wang mereka kepada orang tengah semata-mata untuk pergi ke luar negara dengan cara menyalahi undang-undang," tegas beliau lagi.
Sementara itu, puak Rohingya mungkin dapat memenuhi kriteria status pelarian di bawah undang-undang antarabangsa atas sebab mereka telah lama menghadapi diskriminasi dan penganiayaan serta dilucutkan hak asasi di Myanmar
Ini bermakna mereka berhak untuk mendapat penempatan semula di negara ketiga, dan Amerika Syarikat memikul peranan utama dalam usaha pemindahan golongan ini, diketuai oleh agensi pelarian PBB
Usaha ini, bagaimanapun, masih belum menjadi kenyataan
Buat masa ini, tidak ada negara yang bersetuju untuk memberi penempatan tetap kepada golongan Rohingya.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata negaranya tidak akan mengambil mana-mana pelarian.
Gambia dilapor bersedia untuk mengambil semua pendatang Rohingya, tetapi pakar mempersoalkan sama ada negara Afrika Barat itu, yang rakyatnya sendiri berhijrah ke seluruh negara Mediterranean dan Eropah, mempunyai kapasiti dan kredibiliti untuk menanggung kebajikan mereka.
Eropah juga mempunyai krisis pendatang yang perlu ditangani, dengan lebih daripada 1,700 pendatang dari Afrika dan Timur Tengah telah maut ketika cuba untuk memasuki Eropah melalui laut dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, dan lebih daripada 26,000 telah mendarat.
Dalam usaha lain, Malaysia meminta jaminan daripada kerajaan Myanmar untuk membantu menangani krisis kemanusiaan pelarian Rohingya di samping menekankan kepentingan Myanmar untuk menyelesaikan masalah itu
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah menerangkan perkara paling mendesak yang perlu dilaksanakan pada waktu ini adalah bagi Malaysia, Indonesia, Thailand dan Myanmar mencari jalan dan kata sepakat bagi membantu golongan tersebut.
Malaysia dan Myanmar telah berbincang mengenai langkah-langkah yang perlu diambil dengan segera oleh kedua-dua negara bagi menangani krisis yang melibatkan 7,000 orang pelarian dari Myanmar dan Bangladesh tersebut.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dan ASEAN dengan tema people-centred, perlu bersepakat memainkan peranan utama dalam menangani krisis ini yang telah mendapat perhatian serta liputan meluas oleh masyarakat antarabangsa,” ujar Anifah.
Sementara itu, Anifah menekankan bahawa masyarakat antarabangsa perlu turut memikul beban tanggungjawab bersama dalam isu tersebut dengan menghulur bantuan yang sewajarnya, khususnya bantuan kewangan, kepada Indonesia dan Malaysia.