Sakit Perut Belah Kanan: Appendisitis Atau Bukan? Ini Perkara Penting Yang Anda Kena Tahu

Pernah rasa?

Sakit perut yang teruk adalah sebab paling kerap pesakit berumur 15 tahun ke atas datang ke jabatan kecemasan

Image via blogspot.com

Dalam sebahagian besar kes, pesakit akan mengadu sakit perut sebelah kanan. Walaupun appendisitis adalah penyebab utama keadaan ini, pelbagai jenis penyakit berkaitan gastrousus, saluran kencing, dan anggota reproduktif wanita boleh menjadi puncanya.

Abdomen atau perut?

Bahagian abdomen (biasa disebut sebagai perut) manusia merujuk kepada ruang badan antara dada dan pelvis (peha). Abdomen mengandungi semua organ pencernaan termasuklah perut, usus, pankreas, hati, dan hempedu. Selain itu, abdomen juga mengandungi buah pinggang dan limpa.

Image via webmd.com

Oleh itu, ketidakselesaan atau rasa sakit pada abdomen mungkin berpunca daripada pelbagai organ yang terletak pada bahagian badan ini. Ini termasuklah masalah pada organ perut atau organ lain. Sakit perut sebelah kanan bukanlah merujuk kepada sakit pada organ bernama perut di dalam abdomen, sebaliknya merujuk kepada sakit pada bahagian kanan abdomen.

Apa itu appendisitis?

Apendisitis adalah sebab utama pembedahan abdomen di dunia. Keadaan ini merujuk kepada keradangan akut pada apendiks atau usus buntu, iaitu tisu kecil yang berada di pertemuan usus besar dan usus kecil. Keradangan ini menyebabkan rasa sakit perut sebelah kanan.

Keadaan ini memerlukan perhatian perubatan segera. Doktor anda mungkin menentukan bahawa pembedahan untuk membuang apendiks anda adalah perlu untuk menghalang organ daripada pecah dan menyebabkan komplikasi lain. Jika apendisitis anda teruk, doktor anda mungkin mengeluarkan apendiks anda dengan serta-merta.

Image via ytimg.com

Punca-punca lain sakit perut sebelah kanan

Punca-punca ini adalah penyebab paling biasa bagi kesakitan pada bahagian bawah abdomen anda. Walaupun anda mungkin berasa tidak selesa di sebelah kanan, kesakitan ini juga boleh berlaku di sebelah kiri anda.

1. Gas

Gas dalam usus anda berpunca daripada makanan yang tidak dipecahkan sepenuhnya. Semakin banyak makanan yang tidak tercerna, semakin banyak gas yang akan dihasilkan tubuh anda. Apabila gas terkumpul, ia boleh menyebabkan sakit perut, kembung perut, dan tidak selesa pada perut.

Sendawa dan buang angin biasanya memberikan kelegaan. Malah, adalah biasa bagi seseorang untuk mengeluarkan gas sehingga 20 kali sehari.

Walau bagaimanapun, gas yang berlebihan mungkin merupakan tanda gangguan pencernaan, seperti diabetes atau intoleransi laktosa. Sebab-sebab lain untuk perut bergas termasuklah menelan lebih banyak udara daripada biasa, terlebih makan, gula-gula getah, dan merokok.

2. Ketidakcernaan (Dispepsia)

Dispepsia yang disifatkan sebagai rasa senak biasanya berlaku selepas anda makan atau minum sesuatu. Sakit biasanya berlaku di bahagian atas abdomen, walaupun ia mungkin berlaku di bahagian bawah.

Masalah ketidakcernaan ringan akan hilang dengan cepat dan boleh dirawat dengan ubat-ubatan tanpa preskripsi. Tetapi jika simptom berterusan selama lebih daripada dua minggu, anda harus berjumpa doktor untuk menolak kemungkinan masalah pencernaan yang lain.

3. Hernia

Hernia berlaku apabila bahagian badan atau organ dalaman menolak melalui tisu atau otot yang memegangnya. Terdapat beberapa jenis hernia, yang kebanyakannya berlaku di abdomen. Setiap jenis boleh menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan di kawasan yang terjejas.

4. Jangkitan buah pinggang / ginjal

Jangkitan buah pinggang disebabkan oleh bakteria yang biasanya berasal dari pundi kencing, ureter, atau uretra. Satu atau kedua-dua buah pinggang anda boleh terjejas disebabkan jangkitan. Walaupun anda mungkin merasa sakit perut belah kanan, ketidakselesaan daripada jangkitan buah pinggang lebih kerap berlaku di belakang, sisi, atau pangkal paha.

Apabila tidak dirawat, jangkitan buah pinggang boleh menyebabkan kerosakan kekal. Sekiranya anda melihat sebarang simptom, anda harus segera berjumpa dengan doktor.

5. Batu karang ginjal

Batu karang ginjal adalah adalah pengumpulan keras mineral dan garam yang terbentuk dalam buah pinggang anda. Anda mungkin tidak merasakan kesakitan sehingga batu ginjal mula bergerak atau masuk ke saluran yang menghubungkan buah pinggang dengan pundi kencing anda.

Apabila ini berlaku, anda akan merasakan kesakitan yang teruk di bahagian belakang dan sisi, di bawah tulang rusuk, dan di seluruh bahagian bawah perut dan pangkal paha. Tahap kesakitan dan lokasi rasa sakit boleh berubah apabila batu karang bergeser dan bergerak melalui saluran kencing anda.

Image via hellosehat.com

6. Sindrom usus iritabel

Sindrom usus iritabel atau IBS adalah penyakit kronik yang menjejaskan usus besar. IBS menyebabkan kekejangan, kembung perut, gas, cirit-birit, sembelit, sakit perut, perubahan pergerakan usus dan lendir dalam najis.

Punca IBS tidak diketahui, walaupun beberapa faktor telah dikenalpasti. Ini termasuklah pengecutan usus yang lebih kuat daripada biasa dan kelainan pada sistem saraf organ pencernaan anda.

7. Penyakit radang usus

IBS tidak harus dikelirukan dengan penyakit radang usus (IBD). IBD adalah sekumpulan gangguan pencernaan yang menyebabkan perubahan pada tisu usus dan meningkatkan risiko kanser kolorektal.

Kolitis ulseratif dan penyakit Crohn adalah dua penyebab utama IBD. Kedua-dua keadaan kronik menyebabkan keradangan dalam saluran penghadaman anda, yang boleh membawa kepada sakit perut.

Sakit perut sebelah kanan dalam wanita

Sesetengah punca sakit perut sebelah kanan hanya menjejaskan wanita. Keadaan ini secara amnya lebih serius dan memerlukan perhatian perubatan. Selain 7 punca di atas, wanita boleh mengalami sakit perut sebelah kanan disebabkan punca lain. Punca-punca berikut juga boleh menyebabkan rasa sakit di sebelah kiri.

1. Senggugut

Kekejangan haid (dysmenorrhea) atau senggugut adalah simptom haid. Senggugut boleh berlaku sebelum atau semasa haid anda. Kekejangan paling kerap dirasai di bahagian bawah abdomen, di mana rahim anda mencgecut untuk menyingkirkan lapisannya.

2. Endometriosis

Walaupun senggugut adalah simptom biasa haid, ia juga boleh disebabkan oleh masalah endometriosis. Endometriosis berlaku apabila lapisan yang biasanya tumbuh di dalam rahim terbentuk di luar organ tersebut.

Endometriosis adalah keadaan yang menyeksakan dan kronik bagi ramai wanita, dan boleh menyebabkan kemandulan. Jika anda mengesyaki endometriosis mungkin menjadi sebab sakit perut anda, rujuk kepada doktor. Lebih cepat keadaan dirawat, lebih kurang komplikasi.

Image via pinimg.com

3. Sista ovari

Sista ovari adalah kantung berisi cecair yang terdapat pada vari. Kebanyakan sista tidak menyebabkan rasa sakit atau ketidakselesaan, dan akhirnya akan hilang sendiri. Tetapi sista ovari yang besar, jika pecah, boleh membawa kepada simptom yang serius.

4. Kehamilan luar rahim

Kehamilan luar rahim atau ektopik berlaku apabila telur yang disenyawakan menempel pada salah satu tiub fallopian, sebelum sempat sampai ke rahim.

Selain sakit perut, ia boleh menyebabkan pendarahan faraj, sakit antara bahu dan tangan, kencing yang menyakitkan atau pergerakan usus yang menyakitkan, serta cirit-birit.

Jika kehamilan ektopik pecah, anda juga mungkin mengalami pening kepala, keletihan, dan muka pucat.

Image via Wiki How

5. Penyakit radang pelvik

Penyakit radang pelvik (PID) berpunca daripada penyakit kelamin yang tidak dirawat. PID boleh menyebabkan kesakitan di bahagian bawah abdomen, dan juga demam, lendir faraj yang berbau, dan pendarahan semasa hubungan kelamin, serta rasa terbakar semasa buang air kecil.

6. Kilasan ovari

Kilasan ovari berlaku apabila ovari anda, dan kadangkala termasuklah tiub fallopian, menjadi terpusing, memotong bekalan darah kepada organ ini. Keadaan ini boleh menyebabkan sakit abdomen yang teruk dan memerlukan pembedahan untuk membetulkan belitan ovari.

Image via imgur.com

Sakit perut sebelah kanan dalam lelaki

Sesetengah punca sakit perut sebelah kanan hanya memberi kesan kepada lelaki sahaja. Keadaan ini secara amnya lebih serius dan memerlukan rawatan perubatan. Ini termasuklah hernia yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki iaitu hernia inguina atau angin pasang.

Selain itu, kilasan buah zakar (testicular torsion) yang berlaku apabila buah zakar terpusing hingga menghalang aliran darah juga boleh menyebabkan sakit perut di samping rasa sakit dan bengkak yang teruk pada buah zakar.

Bila saya patut berjumpa doktor?

Image via lelakisihat.com

Bahagian kanan perut anda adalah rumah kepada sebahagian daripada kolon anda dan bagi sesetengah wanita, ovari kanan. Terdapat pelbagai keadaan yang boleh menyebabkan anda berasa tidak selesa pada bahagian perut kanan anda. Dalam kebanyakan kes, sakit perut belah kanan tidak perlu dibimbangkan dan akan hilang sendiri dalam satu atau dua hari.

Tetapi jika anda mengalami ketidakselesaan yang berterusan, anda perlu berjumpa dengan doktor terutamanya jika anda mengalami sebarang simptom berikut:

  • sakit atau tekanan pada dada
  • demam
  • najis berdarah
  • mual dan muntah berterusan
  • kulit yang kelihatan kuning (penyakit kuning)
  • rasa sangat sakit apabila anda menyentuh abdomen anda
  • perut bengkak

Jika anda merasakan simptom-simptom ini, anda perlu segera ke bahagian kecemasan.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh SAYS atas keizinan.

Hello Doktor: Laman web rasmi | Facebook

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Leave a comment