"Saya Akan Bikin Sampai Jadi" - Ezuwan Ismail Optimis Mahu Bangkit Semula Menyanyi
"Insya-Allah, suara saya tidaklah seteruk pengasas jenama produk lain" - Ezuwan Ismail.
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Selepas lapan tahun membina nama dan populariti, pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail turut menerima tempias kontroversi apabila terjun ke bidang nyanyian
Pernah dikecam ketika mula merakamkan single Semalam Sahaja ciptaan Asfan Shah untuk projek khas bersama E1 Band di samping Ariff Imran (kiri) dan Zulyasrani.
Image via @ezuwanismail (Instagram)Pada 2019, dia yang terkenal dengan tagline atau hashtag 'Tukang Jahit Termahir Malaysia' pernah muncul dengan projek khas nyanyian bersama E1 Band di samping Zulyasrani dan Ariff Imran.
Dua single, Semalam Sahaja dan Rindu Lebaran menjadi bukti bakat kelahiran Kelantan ini mahu berkongsi bakat yang ada biarpun dikecam hebat.
Pelakon popular, Rozita Che Wan atau Che Ta sendiri pernah dikatakan menyindir bapa kepada dua cahaya mata itu dengan perlian suara tercekik sudu.
Tapi hakikatnya, kerjaya nyanyian diceburi itu dilihat gagal meninggalkan impak. Ibarat berlalu sepi, hingga dia kembali fokus sebagai pereka fesyen.
Bagai jatuh ditimpa tangga di saat kerjaya nyanyian dianggap hambar, perniagaan fesyen juga bergelut sejak dua tahun lalu apabila wabak pandemik Covid-19 menyerang dunia
"Tapi pandemik yang muncul tiba tiba tanpa diduga pernah hampir buat saya terduduk dan stres. Bayangkan operasi butik di Taman Dagang, Ampang tak boleh dibuka.
"Jualan baju di atas talian pun tak jalan ketika era pandemik. Tahun lalu masih ada yang nak membeli. Tahun ini lagi 'sakit' sebab kuasa membeli tiada walaupun diberi harga promosi.
"Jelas orang tak sanggup habiskan duit untuk tempah baju 'custom made' atau beli yang sedia pakai.
"Majlis kahwin pun tak boleh dibuat. Jadi baju kahwin pun pernah sampai tak ada permintaan langsung," katanya yang pernah menjadi eksekutif jualan senior di beberapa buah butik jenama mewah sekitar 2010 sebelum bergelar pereka fesyen.
Tahun lalu, suami kepada Zahie Omar ini 'terpaksa' berjinak jinak dengan dunia perniagaan makanan menjual juadah viral di bawah jenama Mok Neko termasuk karipap mini, ketupat, murtabak dan kek coklat.
"Mahu atau tak, saya juga seperti pereka fesyen lain dan juga semua orang terpaksa cari alternatif lain untuk survival. Staf seramai sembilan orang di butik, saya tak buang. Tapi mereka dibayar gaji pokok saja.
"Realitinya, kuasa membeli makanan ada. Jualan aneka makanan dijual menjadi dan berterusan hingga sekarang. Yang paling laku keras ialah karipap mini.
"Lucunya apabila saya berniaga makanan ada yang sampai tahap anggap saya sudah gulung tikar sebagai pereka fesyen," ujarnya yang juga pernah menjadi graduan bidang Diploma Seni Fesyen dan Rekaan di sebuah kolej tempatan dari 2002 hingga 2004.
Percaya setiap yang terjadi pasti ada penyelesaian, tak pernah terlintas nak tutup butik dan tinggalkan kerjaya pereka fesyen
"Sampai tahap sekarang walau apa terjadi, saya tak pernah terlintas nak tutup butik dan tinggalkan kerjaya pereka fesyen. Itu sudah jadi seperti darah daging dan nyawa saya. Sayang kalau saya mengalah kena fikir positif. Insya-Allah ada jalannya.
"Malah saya optimis menambah cawangan butik yang kedua di negeri kelahiran sejak September tahun lalu. Sudah setahun lebih beroperasi dan masih 'survive'.
"Malah saya beruntung golongan VIP termasuk kerabat Kelantan yang jadi pelanggan tetap. Antaranya isteri Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM) Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra, Yang Amat Mulia (YAM) Che Puan Sofie Louise Johansson," katanya.
YAM Che Puan Sofie Louise Johansson turut mencemar duli menyaksikan pertunjukan fesyen koleksi HagiaSoultan by Ezuwan Ismail di KLFW 2021 baru baru ini.
Image via @ezuwanismail (Instagram)Dalam pada itu, Ezuwan mengakui ada ketikanya dia pernah rasa mahu berhijrah dengan keluarga tersayang ke luar negara.
"Kadang kadang fikir kalau segala galanya menjadi semakin teruk termasuk perniagaan butik, saya mahu saja 'migrate' ke London dan tinggalkan semua yang ada di sini.
"Saya nak hidup normal di sana. Dapat kerja waktu pejabat pun cukup. Hujung bulan tunggu gaji masuk akaun bank.
"Pernah juga berseloroh dengan Che Ta apabila saya mesej ke telefonnya ajak buka restoran di sana dan jadi rakan kongsi. Kalau jadi, best juga," katanya.
Tetap berdegil mahu menyanyi meskipun berhadapan skeptikal dengan pandangan ramai termasuk haters dan netizen
"Ikutkan tahun ini saya muncul dengan single raya solo berjudul Lambaian Pagi Syawal ciptaan S Atan dan lirik Kopratasa. Sudah rekod pun 10 Mac lalu.
"Tapi saya rasa kena tunda ke tahun hadapan. Kalau tak dipromosikan di arus perdana dan hanya untuk projek koleksi pakaian rekaan sendiri pun okey saja," ujarnya.
Katanya lagi, dia optimis dan tidak mahu terus terbeban dengan skeptikal dengan pandangan ramai termasuk 'haters dan netizen.
"Saya jenis yang tidak cepat mengalah atau 'tak makan saman'. Kalau nak buat sesuatu, saya akan pastikan bikin sampai jadi. Ada yang cakap saya tak perlulah menyanyi dan fokus saja kerja hakiki.
"Tapi saya peduli apa. Saya mungkin bukan penyanyi hebat yang ada vokal 'power'.
"Saya tetap nak nyanyi. Cakap dan kecam apa saja, insya-Allah suara saya tidaklah seteruk pengasas jenama produk lain," katanya.