[SHARE] 7 Sebab Kenapa 95% Orang GAGAL Laksanakan Azam Tahun Baru
Setiap tahun buat azam tahun baru tapi selalunya mesti tak berjaya untuk selesaikan. Kenapa agaknya?
Tak lama lagi, kita akan melangkah ke tahun baru. Seperti biasa, semakin hampir dengan tahun baru, semakin ramai orang yang mula senaraikan azam tahun baru mereka. Contohnya seperti dalam gambar di bawah ini:
Sangat cliche kan? Tapi macam mana dengan azam tahun ini? Dah selesai ke belum? Seperti kebanyakan orang, mana-mana azam tahun ini yang masih belum selesai pastinya akan dibawa ke tahun hadapan. Perasan tak?
Persoalannya, kenapa azam tahun baru bagi 95% orang di dunia hanya sekadar satu senarai yang tidak bermakna? Berikut adalah sebab-sebabnya:
1. Kita membuat terlalu banyak azam pada satu-satu masa
Dalam hal ini, memang tak boleh salahkan sesiapa. Semangat berkobar-kobar dalam diri ketika senaraikan azam tahun baru menyebabkan kita menulis terlalu banyak azam, yang mana kadang-kadang agak mustahil untuk dicapai.
Maklumlah, semua orang pun nak jadi lebih baik kan? Cuma kadang-kadang kita terlepas pandang kepada keupayaan kita untuk melakukan segala yang disenaraikan.
2. Kita hanya sekadar menulis tetapi tidak bekerja keras untuk benar-benar mencapainya
Berhenti merokok? Mula bersenam? Makan secara sihat? Lebih keseimbangan dalam hidup? Secara dasar, azam-azam ini bunyinya memang bagus. Tetapi adakah kita benar-benar mahukan kesemuanya? Atau sekadar menulisnya bagi memenuhi segenap ruang yang ada pada permukaan kertas?
3. Kita tidak mulakannya dengan segera, sebaliknya berlengah-lengah
Selepas senarai dah lengkap, kalau boleh kita taknaklah terus jump atau mulakannya serta-merta. Sebaliknya, kita biarkan masa menentukan sama ada kita bersedia atau tidak. Selalunya, kita akan tunggu the perfect moment untuk memulakan sesuatu. Betul tak?
Dan akhirnya, sampai ke sudah masa itu tidak muncul. Kita pun mula menyalahkan keadaan sekeliling atau masa kerana tidak mengizinkan kita untuk melakukan perkara-perkara yang sepatutnya kita lakukan.
4. Kita terikut-ikut. Apa yang orang lain senaraikan, itu juga yang kita nak.
Ini antara perkara yang paling biasa terjadi. Orang lain nak kahwin, kita pun nak kahwin. Orang lain nak beli kereta baru, kita pun nak beli kereta baru. Orang lain nak kumpul RM20 ribu setahun, kita pun nak kumpul RM20 ribu setahun. Kita terlalu sibukkan perihal orang lain sehingga perihal sendiri tidak terjaga.
Ya, mungkin bagus jika kita ikut jejak langkah rakan-rakan kita yang mahu menyimpan lebih banyak wang demi masa hadapan. Tetapi lihat semula dan tanyakan pada diri sendiri adakah jumlah yang disasarkan itu realistik dan boleh dicapai.
5. Kita tidak bersedia untuk gagal ketika cuba untuk mencapainya
Antara persoalan yang selalu bermain di fikiran sebelum kita mula melakukan sesuatu ialah, "Macam mana kalau aku gagal? Apa yang patut aku buat selepas itu?".
Takut pada kegagalan itu memang lumrah manusia yang tak dapat kita elakkan. Selagi minda kita terperangkap dengan persoalan sebegini, selagi itulah kita akan rasa takut untuk mencuba sesuatu kerana kita tidak bersedia untuk gagal. Dan akhirnya, kita tetap akan gagal kerana langsung tidak mencuba.
Jadi dari sini, mungkin sesetengah kita merasakan, "Kalau aku buat pun aku gagal, lebih baik aku tak payah buat terus. Sama je."
6. Kita berhenti sebelum sampai ke garisan penamat
Berbeza pula untuk hal ini. Kita dah cuba tetapi berhenti di pertengahan jalan. Kenapa agaknya? Adakah kerana ia membosankan? Adakah kerana kita berputus asa? Mungkin juga.
Ia bergantung kepada tahap ketahanan seseorang sebenarnya. Mungkin kita dah cuba sedaya upaya tetapi masih tidak membuahkan hasil. Mungkin juga kita berhenti percaya bahawa kita mampu melakukannya selepas beberapa percubaaan yang gagal. Oleh itu, kita membuat keputusan untuk berhenti di tengah jalan. Rugi kan?
7. Kita tidak ada motivasi atau komitmen
Kita selalu ada azam yang tidak membawa apa-apa makna dan cuba menjadikannya satu kenyataan. Masalahnya, azam yang kekurangan asas makna dan kaitan peribadi inilah yang akan menghabiskan tenaga kita.
Pada awalnya, pasti kita ada sedikit motivasi yang membawa kita untuk memulakan sesuatu. Namun begitu, motivasi itu tidak pernah kekal. Apa yang kita perlukan sebenarnya ialah sesuatu yang lebih asas, lebih utama dan lebih penting kepada kita. Itulah satu-satunya cara untuk mendapatkan booster yang akan menolak kita ke hadapan.
Jadi, adakah perlu untuk seseorang mempunyai azam tahun baru? Ia semua bergantung kepada diri kita sendiri. Sama ada kita mahu mencapainya atau tidak, segalanya terletak dalam genggaman tangan kita. Apa-apa pun, selamat maju jaya!