Siap Boleh Tempah Melalui Airbnb, Bas Lama UM Ini Diubahsuai Jadi Tempat Penginapan. Wow!
Rekaan dalamannya serius cantik dan kemas.
Pernah tak korang naik bas kemudian pergi ke sesebuah tempat yang destinasinya jauh sangat dan kemudian tertidur? Mesti pernah kan?
Tak pun korang mungkin tertidur ketika nak melancong ke negeri sebelah utara. Dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis mesti ambil masa yang lama. Confirm tidur sepanjang perjalanan.
Tapi kali ini, pengalaman tidur dalam bas tak akan sama seperti dulu lagi. Kalau korang nak tahu, di Rumah No.2 Universiti Malaya (UM), berhampiran dengan Fakulti Bahasa dan Linguistik ini sebenarnya tersedia sebuah bas yang diubahsuai untuk dijadikan bilik penginapan.
Bilik penginapan yang lengkap dengan katil, penyaman udara, ruang tamu dan 'dapur kecil' itu pula kini sudah boleh ditempah melalui Airbnb.
Rekaan dalamannya yang cantik dan kemas nyata mendapat maklum balas positif daripada orang ramai
Menurut laporan, projek itu adalah idea bekas Naib Canselor (Pembangunan) UM, Prof Faisal Rafiq Mahamd Adikan sejak tahun 2016. Bas itu tidak lagi digunakan pada tahun 2013 dan sudah bertahun-tahun tersadai.
Pelajar sarjana sains, Siti Norasiah Abd Kadir memberitahu universiti pada asalnya mahu melupuskan sahaja bas berkenaan.
Lagi pun, Prof Faisal Rafiq tahu tentang kewujudan dua kumpulan dalam Sekretariat Makmal Hidup dan Kelestarian UM iaitu Water Warriors dan Rimba Project yang melaksanakan insiatif kelestarian di universiti berkenaan.
“Jadi, beliau tanya jika kami boleh lakukan sesuatu dengan bas itu. Saya rasa universiti masih mempunyai nilai sentimental dengan bas tersebut. Idea ini juga boleh menunjukkan usaha kemapanan dan kreativiti kakitangan UM,” katanya.
Secretariat itu bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Harta Benda (JPPHB) bermula tahun lalu.
Dua individu penting yang terlibat dalam projek berkenaan ialah arkitek JPPHB, Nurul Husna Abd Rahman dan Nurul Fitrah Mohd Ariffin Marican dari Rimba Project
Kontraktor kemudian ditugaskan untuk kerja-kerja ubah suai yang memakan masa selama enam bulan.
Bas itu sepatutnya dilancarkan pada April, tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sudah mula dibuka untuk tempahan, bas itu dilihat mampu menjana pendapatan dan menyokong usaha kelestaraian oleh pihak universiti.
Sejak sewaan dibuka, Siti Norasiah memberitahu maklum balas yang diterima sangat memberangsangkan.
“Ia memang satu ruang yang unik, tetapi kami tidak menjangka begitu ramai yang berminat. Kami gembira kerana ramai yang berkongsi mengenai bas ini,” ujarnya.
Selain itu, tetamu juga boleh menikmati pemandangan kehijauan dan difahamkan rumah tersebut turut mempunyai taman yang menempatkan beberapa ekor arnab serta ayam
Meskipun selepas diubahsuai, hanya satu kemudahan sahaja tak dapat diletakkan di dalam bas berkenaan iaitu tandas.
Namun tetamu boleh menggunakan tandas yang disediakan di rumah berhampiran dan ianya hanya beberapa langkah saja daripada bas tersebut.
Berikut antara gambar lain yang dikongsikan Siti Norasiah di laman Facebook Rumah No.2 Universiti Malaya :
Jadi, korang tunggu apa lagi? Cepat buat tempahan sekarang kalau tak nak terlepas 'tidur' di dalam bas ini.