Umpama Taj Mahal, Suami Ini Bina Astana Minangkabau Untuk Isteri Tercinta. Romantik!
Rumah yang diberi nama Astana Az-Zahrah itu dilengkapi dengan rumah gadang, pejabat, dewan, bilik penginapan berserta beberapa kediaman lain.
Kalau dah cinta itu, lautan api sanggup di renangi dan gunung tinggi sanggup di daki...
Okay, mungkin tidaklah sebegitu 'dahsyat' untuk buktikan cinta pada seseorang. Tapi apa yang dimaksudkan daripada ayat di atas itu, ramai sanggup buat apa sahaja untuk membuktikan cinta kepada pasangan mereka.
Lain orang lain caranya untuk membuktikan cinta pada seseorang. Ada yang akan membawa pasangan mereka bercuti, ada juga yang sanggup berhabis duit membelikan pasangan mereka kereta, intan berlian, bahkan sebuah rumah, apa sahaja demi membuat pasangan mereka gembira.
Tetapi bagi seorang lelaki warga Australia ini cintanya terhadap isteri telah diterjemahkan dalam bentuk sebuah rumah resort berkonsepkan Minangkabau yang bernilai 4.5 juta!
Yusof Abdullah yang berusia 78 tahun itu telah membuat pelaburan besar membina rumah gadang dan beberapa kediaman bercirikan Minangkabau di Kampung Sri Rompin, sebagai tanda kasihnya buat isteri tercinta Zaharah Kidam, 79.
Menurut laporan Harian Metro, kediaman yang diberi nama Astana Az-Zahrah itu juga dibina sebagai penghargaan buat Zaharah yang sanggup mengikutnya menetap di Australia sejak tahun 1966 lagi sehingga membolehkannya memperolehi kerakyatan negara itu.
Pada masa yang sama, dia juga mahu mengekalkan warisan Penghulu Luak Jempol di kawasan itu.
“Meskipun kami di Australia tetapi isteri selalu memberitahu impiannya mahukan kediaman berkonsepkan ala resort dan lebih penting mengekalkan warisan keluarga.
“Bertunjangkan kasih sayang dan ikatan keluarga, saya memenuhi impian isteri. Saya bangunkan rumah ini di tanah seluas 1.6 hektar dengan belanja RM4.5 juta,” katanya.
Menurut Yusof lagi, Astana Az-Zahrah yang telah dibina sejak 2016 itu turut dilengkapi dengan rumah gadang, pejabat, dewan, bilik penginapan berserta beberapa kediaman lain
Yang menariknya setiap bilik dalam kediaman berkonsepkan Minangkabau itu telah diabadikan dengan nama arwah datuk dan adik-beradik isterinya.
Tambahnya lagi, tapak rumah berkeluasan 1.6 hektar berkenaan sebenarnya merupakan tanah milik bapa mentuanya yang sebelum ini terbiar dan mereka membangunkannya secara berperingkat.
“Walaupun sebelum ini ada yang anggap saya gila kerana membina kediaman berunsur Minangkabau seperti rumah gadang di Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia.
“Tetapi selepas siap, ia cantik melebihi jangkaan kami dan inilah tanda kasih sayang saya kepada isteri,” katanya yang memberitahu datuk kepada isterinya adalah Penghulu Luak Jempol Kesembilan iaitu Abdul Wahab Ibrahim.
Yusof dan Zaharah telah mendirikan rumah tangga di kota London, England pada tahun 1966 selepas Yusof memeluk agama Islam
“Sebelum itu kami berkenalan ketika sama-sama menuntut di Macquarie University, Sdyney pada 1964 dan isteri adalah anak kelahiran Kampung Bukit Laka, Bahau.
“Dia menukar kerakyatannya selepas kami berkahwin namun jiwa Melayu dan terikat adat masih menebal dalam dirinya,” katanya yang mengakui bangga apabila menjadi sebahagian daripada Adat Perpatih di Negeri Sembilan selepas mengahwini isterinya itu.
Sesiapa yang nak sweet escape sambil nikmati keajaiban alam itu bolehlah singgah ke astana ini. Harga pun not bad!
Di sana, anda boleh membuat pelbagai jenis aktiviti dan sukan seperti memancing, ber-camping, berenang, main ping pong, memanah dan lain-lain.
Bukan itu sahaja, di sana pun turut disediakan dewan serbaguna untuk pelbagai jenis acara atau upacara seperti sambutan majlis-majlis besar, perkahwinan dan ceramah.