Sumbangan Kecil Seorang Marhaen Kepada Kerajaan Ini Membuat Rakyat Lain Ingin Turut Serta
"Dengan rela hati saya memberi sumbangan."
Pada 21 Mei 2018, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengumumkan hutang kerajaan Malaysia telah mencecah nilai RM1 trilion
Tun Dr Mahathir berkata, kewangan negara kini sudah dicabul dengan begitu besar sehingga kerajaan menghadapi masalah penyelesaian hutang yang meningkat kepada RM1 trilion dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
Jumlah itu merangkumi 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia setakat 31 Disember 2017.
Dari jumlah itu juga, RM686.8 bilion merupakan hutang kerajaan persekutuan.
Memandangkan jumlah itu terlalu besar, seorang rakyat Malaysia memutuskan untuk memberi sumbangan secara sukarela kepada kerajaan bagi membayar hutang tersebut
Sekeping gambar memaparkan dua wang kertas RM50 serta sepucuk surat telah viral di media sosial sejak dua hari lalu yang menunjukkan seorang rakyat Malaysia prihatin telah menawarkan untuk memberi sumbangan wang tunai kepada kerajaan.
Dalam surat yang ditulis kepada Jabatan Perdana Menteri itu, seorang rakyat Malaysia bernama 'Sabahbathi Rajalingam' dari Kampung Asahan di Batang Berjuntai, Selangor berkata beliau dengan rela hati memberi sumbangan.
"Dengan rela hati saya memberi sumbangan bagi membantu kerajaan membayar hutang negara. Walaupun sumbangan ini terlalu kecil, saya percaya usaha saya ini sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung kerajaan baru," tulis surat berkenaan.
Setelah viral, ramai rakyat Malaysia yang lain ingin turut serta dalam membantu membina semula negara.
Malah, ada yang mencadangkan agar kerajaan menyediakan akaun khas untuk rakyat salurkan dana terus ke tangan pihak berkuasa.
Semakin ramai rakyat Malaysia yang menyokong idea itu dan menawarkan sumbangan wang tunai untuk membantu membayar hutang negara.
Menariknya, ini bukan pertama kali rakyat Malaysia memainkan peranan dalam membantu kerajaan dari segi sumbangan dana
Mungkin ramai tidak mengetahui sebenarnya Tunku Abdul Rahman sebelum ini bergelut mencari dana untuk ke London bagi menuntut kemerdekaan.
"Saya ni nak pi London bersama-sama Raja-Raja Melayu, UMNO tak dak duit, saya pun tak dak duit, saya jual istana, ayahanda duk murka. Ayahanda suruh saya jadi Raja, saya tak mau, saya nak jadi Presiden UMNO, nak bagi Malaya merdeka," kata Tunku Abdul Rahman sambil menangis air mata bercucuran.
Bersaksikan dewan Meng Seng, seorang wanita dalam lingkungan usia 22-23 tahun telah membuka gelang emas perkahwinan yang baru setahun dipakainya untuk didermakan bagi memberi dana untuk Tunku Abdul Rahman ke London.
Bertitik tolak dari itu, ramai yang berada di dalam dewan itu turut mendermakan barang kemas, wang dan jam tangan untuk mencukupkan dana untuk Tunku mengadakan perundingan kemerdekaan.
Kutipan derma tidak terhenti di situ, mereka telah pergi ke seluruh pelosok negeri untuk mendapatkan dana. Derma yang disebut 'Derma Merdeka' ini mendapat sokongan rakyat jelata.
Walaupun rakyat Tanah Melayu pada ketika itu hidup dalam kemiskinan kerana cengkaman penjajah, namun mereka tetap memberikan sumbangan dalam menjayakan misi rundingan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman.