seismik

Ini Hukuman Yang Pihak Keluarga Mangsa Mahukan Terhadap Suspek Yang 'Membakar' Anak Mereka

"Sekiranya tujuh suspek memang bersalah, mereka harus dihukum mati."

Cover image via Daniel Chan/AP

Kisah kematian 23 pelajar tahfiz dan dua orang warden dalam satu kebakaran minggu lalu benar-benar memberi kesan terhadap rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi buat keluarga si mangsa

Berikutan kes tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, 7 suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun ditahan di sekitar ibu negara dua hari lalu.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan hasil pengecaman wajah seorang remaja melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sebelah sekolah tahfiz dan 6 suspek itu didapati positif dadah jenis ganja.

Mereka dipercayai khayal ketika memulakan kebakaran itu, manakala 2 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau dan motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham (akibat) ejek-mengejek di antara suspek dengan segelintir penghuni asrama tahfiz ini yang bermula beberapa hari sebelum kejadian.

CCTV Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sebelah sekolah tahfiz.

Image via BH Online

Pembongkaran mengenai suspek betul-betul mengejutkan orang ramai dan pelbagai pendapat telah dikeluarkan orang ramai akan hukuman yang patut diberikan terhadap mereka. Tetapi apa pula kata keluarga si mangsa?

Di bawah adalah senarai hukuman yang dituntut keluarga si mangsa:

1. "Mereka perlu dihukum mati!"

Image via NST

"Sekiranya tujuh suspek memang bersalah, mereka harus dihukum mati."

Itu adalah kata-kata Ermayani Normatias, 38, yang menyatakan kesedihannya terhadap nasib anaknya, Indrakurniawan Mohd Amirul, yang berjuang untuk hidupn di unit rawatan rapi di Hospital Kuala Lumpur (ICU).

Indrakurniawan, 11, adalah antara yang terselamat dari kebakaran di sekolah Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Pada ketika ini, dia mengalami luka terbakar 20 peratus dari leher ke punggungnya. Dia juga mengalami luka terbakar di tangannya dan kakinya patah selepas melompat dari tingkat tiga sekolah.

"Saya terkejut mendapati mereka hanyalah remaja, tetapi mampu melakukan perbuatan yang begitu dahsyat. Mereka seperti ekstremis dan pengganas.

"Tidak masuk akal bahawa mereka mempunyai mentaliti seperti itu pada usia muda. Saya mendapat tahu bahawa terdapat dua suspek telah mempunyai rekod jenayah lampau tetapi mereka telah dibebaskan dan tidak lagi melakukan jenayah lagi. Tidak ada jaminan mereka akan berubah menjadi lebih baik," katanya.

2. "Biar mereka meringkuk dalam penjara..."

Image via Harian Metro

Manakala menurut Noorazlina Bakry, 36, ibu kepada Muhammad Fahmie Abdullah, 11, dia sehingga kini tidak dapat memaafkan suspek-suspek tersebut.

Penemuan baru mengenai kes tersebut benar-benar mengejutkan beliau sekeluarga dan menyebabkan mereka tidak dapat mengawal kesedihan.

"Saya tidak akan memaafkan perbuatan mereka. Saya tidak mahu berjumpa apatah lagi memandang muka mereka.

"Saya mengharapkan keadilan ditegakkan, biar mereka meringkuk dalam penjara. Sanggup mereka buat begitu terhadap pelajar tahfiz pula tu," katanya.

3. " Hukuman penjara seumur hidup dan keluar nanti mereka mempelajari al-Quran..."

Image via NST

Menurut Norazizan Abd Razak, 46, bapa kepada Allahyarham Taufik Hidayat, 16, tak perlu ada kecaman untuk ibu bapa sebab beliau percaya tiada ibu bapa yang suruh anak mereka melakukan semua perkara tersebut.

"Kalau benar ia berlaku ketika mereka di bawah pengaruh ganja, saya tak rasa hukuman mati boleh memperbaiki keadaan.

"Mungkin dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan keluar nanti mereka mempelajari al-Quran dan insaf. Itu bagi saya. Tidak tahu kelurga lain macam mana," katanya.

Katanya, Muhammad Taufik pernah menyuarakan hasrat untuk berpindah ke sekolah lain hujung bulan lalu, selepas lima tahun menuntut di pusat berkenaan.

"Dia beritahu saya nak keluar dan cari tempat lain. Bukan apa, katanya ingin cari perubahan kerana dia dah agak lama di pusat ini.

"Saya tiada masalah dan beritahu dia lebih baik tunggu dan habiskan sehingga hujung tahun ini tetapi apakan daya, ajal menjemputnya terlebih dahulu," katanya.

4. "Serahkan segalanya kepada pihak berkuasa..."

Image via Harian Metro

Berlainan pula buat Emmy Farizah Abd Aziz, 37, ibu kepada dua pelajar tahfiz yang terkorban itu iaitu Azkar Abiedi F Zaska, 11, dan Azkar Dariemi, 8, serta anak saudaranya, Muhammad Afiq Haqimie Hairulizwan, 11, beliau redha dengan apa yang berlaku walaupun firasatnya sebelum ini kuat mengatakan ada unsur khianat.

“SAYA maafkan mereka, walau apa pun reaksi dan apa saya fikir ia tetap tidak dapat mengembalikan dua anak dan seorang anak saudara yang sudah pergi mengadap Ilahi.

"Dengan penangkapan tujuh remaja berkenaan, segala-galanya sudah terjawab dan misteri dua tong gas yang berada di tingkat atas juga merungkai semua persoalan orang ramai.

“€œSalah seorang suspek berkenaan jiran adik saya, Nor Azlin Abd Aziz dan setakat hari ini kami belum menerima apa-apa kunjungan lagi daripada keluarga mereka,”€ katanya.

Beliau sekeluarga menyerahkan kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk memutuskan hukuman setimpal yang patut dikenakan terhadap mereka.

Sumber: Harian Metro, NST.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Menarik di SAYS:

You may be interested in: