seismik

211 Kes Kebakaran Pusat Tahfiz Direkod Dalam Dua Tahun, Ini Antara Kronologi Sejak 2007

Kenapa banyak sangat kes?

Cover image via Sinar Harian

Kebakaran bangunan asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara semalam adalah antara kebakaran terbesar melibatkan kematian yang tinggi di negara ini iaitu seramai 25 orang

Terdapat pelbagai spekulasi berkaitan kejadian kebakaran yang meragut nyawa 25 orang termasuk dua orang warden asrama itu. Ada yang berpendapat kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat yang mana dibuktikan dengan kehadiran dua buah tong gas di bahagian luar asrama berkenaan.

Tidak kurang juga yang percaya bahawa kejadian tersebut berlaku adalah disebabkan litar pintas dari bahagian atas bangunan asrama terbabit. Malah, ciri-ciri keselamatan bangunan asrama itu turut dipertikaikan orang ramai.

Image via Astro Awani

Namun, berdasarkan rekod dari Bernama, kebakaran terbesar membabitkan pusat tahfiz telah berlaku pada 22 Sept 1989 yang mana menyaksikan lapan buah asrama Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah (Pondok Pak Ya) di Yan, Kedah hangus terbakar.

Dan dalam kebakaran itu, seramai 27 orang pelajar sekolah terkorban dalam keadaan yang sungguh menyayat hati dan jenazah mereka dikebumikan di tanah perkuburan khas "27 Syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya" di Padang Lumat, Yan.

Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah atau 'Pondok Pak Ya' di Kedah terbakar.

Image via Berita Harian

Berikut adalah beberapa kronologi kejadian kebakaran melibatkan pusat tahfiz dari tahun 2007 sehingga 2017:

TAHUN 2007

7 Ogos: Seramai 12 pelajar Sekolah Menengah Agama Darul Makmur di Pekan, Pahang tidak dapat menduduki ujian lisan al-Quran Sijil Sekolah Menengah Agama (SMA) setelah bangunan sekolah mereka musnah dijilat api dalam kejadian pada pukul 4.45 pagi.

Kebakaran itu mengakibatkan empat buat kelas, sebuah bilik komputer, bilik guru dan bilik pengetua termasuk wang tunai RM8,500 hangus.

22 Sept: Sebuah kebakaran memusnahkan 40 pondok di Sekolah Pondok Bandar Hilir di Teloi, Sik, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana kejadian berlaku pada musim cuti persekolahan.

22 Okt: Sebuah blok asrama yang menempatkan 96 murid di Sekolah Nurul Hidayah Al-Quran Maahad Tahfiz Pasir Putih hangus dijilat api, namun kesemua pelajar selamat kerana mereka ketika itu menghadiri kelas.

Kebakaran Maahad Tahfiz Al Quran Nurul Hidayah berlaku pada jam 10.20 pagi, 22 Oktober 2007.

Image via Asubja

TAHUN 2009

1 Jan: Kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan dua tingkat di Sekolah Madrasah Darul Hikmah, di Kota Kinabalu menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


TAHUN 2010

22 Jan: Sekolah Pondok Lubuk Tapah, pusat agama dan pendidikan tertua di Kelantan musnah dalam kebakaran.

25 Julai: Seorang pelajar berusia lapan tahun di sekolah agama swasta di Hulu Langat rentung setelah terperangkap dalam kebakaran pukul 1.30 pagi yang memusnahkan bangunan menempatkan Pusat Pengajian Hayatul Ulum.


TAHUN 2011

16 Jan: Tingkat atas bangunan Sekolah Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah setinggi dua tingkat di Km3, Jalan Sungai Korok, Lebuh raya Sultan Abdul Halim di Alor Setar musnah dalam kebakaran kira-kira 10.50 pagi.


TAHUN 2012

25 Jan: Sebuah asrama pelajar lelaki di Sekolah Menengah Agama Nadzah, Bukit Besar di Yan, Kedah hangus dalam kebakaran dipercayai akibat litar pintas sebelum merebak ke seluruh bilik dan memusnahkan katil, tilam dan segala kelengkapan pelajar.

9 Sept: Tingkat dua sebuah bangunan yang menempatkan asrama dihuni 25 pelajar Maahad Tahfiz Assyifa di Kampung Kolam, Kuala Ibai di Kuala Terengganu, terbakar dalam satu kejadian ketika pelajar solat Zuhur di surau berhampiran.

Pada 1996 dan 2005, berlaku kebakaran di sekolah yang sama membabitkan sebuah blok asrama pelajar perempuan.

Maahad Tahfiz Assyifa mencatat 3 kes kebakaran berasingan.

Image via blogspot.com

TAHUN 2013

15 Jun: Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat Sungai Petani, maut manakala dua rakannya cedera dalam kebakaran di asrama Maahad berkenaan.

4 Julai: Sejumlah 81 pelajar Sekolah Menengah Agama Kunak di sini tinggal sehelai sepinggang selepas asrama sementara yang menempatkan pelajar lelaki musnah dalam kebakaran.

15 Jun 2013, Maahad Tahfiz Al-Baraqah di Tikam Batu, Sungai Petani terbakar dan seorang pelajar ditemui rentung.

Image via Berita Harian

TAHUN 2014

14 Feb: Sebanyak 17 pelajar Maahad Tahfiz Muhammadiah, Bukit Rangin di Kuantan tinggal sehelai sepinggang apabila bangunan madrasah dua tingkat yang turut menempatkan asrama mereka musnah dalam kebakaran.


TAHUN 2015

6 Mei: Sebuah premis yang menempatkan barang keperluan pelajar Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Ribat Assyafie di Taman Murni Perdana di Dungun musnah dalam kebakaran.

13 Mei: Sebuah bangunan yang menempatkan asrama bagi 26 orang pelajar Tahfiz Khairul Kalam di Jalan Kebun, Shah Alam terbakar.

29 Julai: Tiga pelajar Sekolah Agama Raudhatut Tahfiz di Km 2, Jalan Gunung Jerai di Guar Cempedak melecur dalam kebakaran bangunan asrama mereka.

28 Ogos: Sebuah asrama Madrasah Tahfiz Al-Zahra di Kampung Ladang, Gelang Patah di Johor Baharu terbakar kira-kira 6 pagi.

21 Okt: Kebakaran memusnahkan 70 peratus Sekolah Agama Al Ummi Tahfiz al-Quran di Labuan, bagaimanapun semua pelajar dan gurunya selamat.

Kebakaran asrama Tahfiz Khairul Qalam di Jalan Kebun pada jam 7.10 pagi, 13 Mei 2015.

Image via Astro Awani

TAHUN 2016

18 Jan: Bangunan dua tingkat termasuk asrama menempatkan 30 pelajar Madrasah Tahfiz Al-Redzuan musnah dalam kebakaran di Kampung Dato Ahmad Razali, di Dengkil.

3 Mac: Asrama pelajar Maahad Tahfiz at-Tijarah di Jalan Bukit Idaman 8, Bukit Idaman di Selayang, antara yang musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat.

7 Mac: Seramai 60 pelajar Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi hilang tempat tinggal apabila asrama mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 40, Sabak Bernam.

11 Mei: Sebuah bangunan dua tingkat asrama Madrasah Tahfiz Al-Quran Raudhatul Ulum, Bagan Selat, di Butterworth musnah dalam kebakaran manakala penghuninya terselamat.

18 Jun: Asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh yang menempatkan lebih 50 penghuni hangus dalam kebakaran, bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan melaporkan ini kebakaran kedua di lokasi sama selepas yang pertama pada Julai 2016)

22 Sept: Sebuah pondok lama di Maahad Tahfiz Daril Naim, Pangkal Kala, Melor, di Kota Bharu, musnah terbakar.

7 Mac 2016, kebakaran Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi Batu 40.

Image via Sinar Harian

TAHUN 2017

13 Jan: Seorang murid tahfiz cedera dalam kebakaran asrama Pondok Nurul Iman di Kampung Tanjung Batu, Nenasi, Pekan.

16 Jan: Seramai 113 pelajar Pusat Pendidikan Islam an-Nuur atau lebih dikenali Pondok an-Nuur di Pantai Sepat, Kuantan hilang tempat tinggal selepas asrama mereka musnah terbakar. (Ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian pertama pada tahun 2006, juga melibatkan asrama pelajar)

7 Feb: Seramai 73 pelajar perempuan Sekolah Agama Maran di Pahang tinggal sehelai sepinggang setelah asrama kediaman mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran.

28 Feb: Sebanyak 40 pondok kediaman yang menempatkan 100 pelajar berumur antara 15 dan 30 tahun di Pondok Al-Baghdadi, Tumpat hangus terbakar, namun kesemua pelajar terselamat.

Sebanyak 40 pondok kediaman pelajar di Pondok Al-Baghdadi di Jalan Jal Besar, Tumpat hangus pada 28 Feb 2017.

Image via Hafiz Adnan/Facebook

17 April: Sebanyak 10 pondok kediaman pelajar Pusat Pengajian Pondok Seri Permai, Permatang Sungkai di Pasir Puteh, Kelantan musnah dalam kebakaran menyebabkan kerugian kira-kira RM161,000.

30 April: 30 pelajar Mahaad Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah Mukim Lalang, Banggol Chicha, Pasir Mas tinggal sehelai sepinggang apabila asrama penginapan mereka musnah dalam kebakaran.

3 Julai: Bilik stor di bawah tingkat asrama yang didiami 68 pelajar perempuan di Sekolah Agama Maahad Al-Islah di Teluk Intan, Perak musnah dijilat api.

4 Julai: 18 pondok penginapan Madrasah Addiniah Al-Latifiah di Pengkalan Hulu, Kelantan yang menempatkan 66 penuntut musnah dalam kebakaran.

30 Julai: Dua blok asrama yang menempatkan 100 pelajar lelaki Maahad Tahfiz Al-Barakah di Sepang musnah dalam kebakaran.

Maahad Tahfiz Al-Barakah di Sepang musnah dalam kebakaran pada 30 Julai.

Image via Berita Harian

14 Sept: Seramai 23 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di Kuala Lumpur. Kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas yang berlaku di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.

23 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung.

Image via Facebook

Menurut laporan bomba, sebanyak 211 kes kebakaran telah direkod dalam masa dua tahun sahaja. Jadi apakah langkah terbaik yang sepatutnya diambil?

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Kejadian kebakaran bangunan asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara semalam:

You may be interested in: