seismik

Tak Mustahil Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan 2 Bulan Lagi Jika Rakyat Masih Degil

Perintah Kawalan Pergerakan telah dilaksanakan sejak 18 Mac lalu dan sepatutnya dijangka berakhir 31 Mac 2020 ini.

Cover image via FMT

Kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu susulan daripada penularan wabak Covid-19 yang dilihat semakin membimbangkan

Image via Astro Awani

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelaksanaan perintah tersebut berkata ia bakal dilaksanakan selama 14 hari iaitu sehingga 31 Mac ini.

Susulan daripada perintah tersebut, pergerakan rakyat di seluruh negara diperketatkan malah pihak berkuasa polis dan tentera juga turut diturunkan bagi mengawal situasi negara ketika ini.

Namun begitu, seorang pakar virologi mengandaikan bahawa PKP yang kini sedang dilaksanakan mungkin boleh berlanjutan untuk tempoh dua bulan lagi

Image via Berita Harian

Memetik laporan Berita Harian, Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata lanjutan tempoh itu boleh berlaku jika rakyat masih bersikap degil mengingkari perintah kawalan dan juga mengabaikan pelaksanaan penjarakkan sosial ketika ini.

"Jika masih ada kelompok rakyat yang berdegil, situasi semasa yang memerlukan kita duduk di dalam rumah, boleh berlanjutan sehingga enam hingga lapan minggu lagi.

“Masalahnya, rakyat kita tiada disiplin seperti warga Korea atau Jepun. Ketika ke hospital semalam, saya lihat masih ada yang bersentuhan dan tidak menutup mulut ketika batuk,” katanya.

Sazaly berkata, tindakan puluhan ribu rakyat yang pulang ke kampung selepas perintah kawalan dikeluarkan juga turut menjadi faktor kepada kegagalan menamatkan penularan wabak Covid-19 di negara ini

Image via Amazing Nara

Beliau berkata, ia merupakan satu kesilapan apabila individu dari kawasan tinggi yang mempunyai jangkitan pulang ke kampung.

Katanya, rakyat seolah-olah tidak mengambil iktibar dengan kesilapan yang dilakukan Itali sebelum ini sehingga menyebabkan wabak Covid-19 di negara itu semakin kritikal.

"Adalah satu kesilapan apabila orang dari kawasan tinggi jangkitan, iaitu Kuala Lumpur dan Selangor, balik ke kampung.

“Kita seolah-olah tidak belajar pada kesilapan sama dilakukan Itali, yang akhirnya menyebabkan wabak coronavirus bertambah kronik di negara itu,” katanya lagi.

Sazaly seterusnya mencadangkan agar kerajaan mencontohi Korea, Jepun dan Taiwan dalam mengatasi wabak ini

Image via Berita Harian

Katanya, ketiga-tiga negara tersebut bertindak dengan cepat dan agresif melaksanakan ujian komuniti dengan mengerah jentera perubatan mereka membuat ujian dari pintu ke pintu.

"Ketika ini, kita masih menunggu orang sakit atau disahkan positif (melalui pengesanan kontak) datang ke hospital. Ibaratnya menunggu sama ada mangsa sakit, pulih atau meninggal dunia.

“Sekarang ‘darurat’ dan sedang berperang, tak boleh guna cara lama. Di Korea dan Jepun, mereka kerah jentera perubatan cari pesakit. Misalnya, Korea buat 20,000 ujian COVID-19 dalam sehari.

"Kita perlu masuk ke kawasan yang dikategorikan tinggi wabak dan uji semua orang dalam kawasan itu. Jika positif, ajar kaedah kuarantin dan terus beri ubat, tidak semestinya mereka perlu ke hospital," ujarnya.

Menurutnya, ujian komuniti tidak hanya ditugaskan kepada KKM sahaja, malah polis, tentera dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkelayakan juga boleh turut sama membantu.

Ingat, patuhi arahan dan sila duduk di dalam rumah. Teruskan mengikuti perkembangan mengenai Covid-19 hanya di SAYS Seismik!

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel berkenaan #COVID2019 di SAYS:

You may be interested in: