Takut Bila Dihantar Ke Pusat Asuhan? Ini Antara 5 Tanda Anak Anda Mungkin Didera Pengasuh
Take note, ibu bapa!
Ibu bapa yang kedua-dua bekerja membuatkan mereka tiada pilihan selain menggunakan khidmat pengasuh untuk menjaga anak-anak
Walau bagaimanapun, kes-kes penderaan kanak-kanak oleh pengasuh sering menjadi tajuk utama pada akhbar membuatkan ibu bapa menjadi risau dan paranoid sekiranya ia berlaku pada anak-anak mereka.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook bernama Redza Zainol telah menceritakan kisah bagaimana anak kepada sahabatnya telah didera di pusat asuhan.
Pada mulanya sahabatnya itu langsung tidak menyangka yang anaknya didera malah menganggap kesan luka yang terdapat pada badan anaknya hanyalah disebabkan terjatuh.
Namun selepas pengasuh itu sendiri mengaku perbuatannya, sahabat Redza terus menjadi trauma dan kecewa kerana lambat mengesan tanda-tanda yang anaknya itu telah didera.
Redza yang bekerja sebagai Pegawai Perubatan Pediatrik itu kemudiannya terus berkongsikan tanda-tanda anak kecil mungkin menjadi mangsa dera di pusat asuhan.
Baca perkongsian penuh di bawah:
Saya betul-betul tergamam bila kawan terdekat saya kongsikan cerita ni.
Bulan lepas, dia baru dapat tahu anaknya didera di sebuah pusat asuhan kanak-kanak. Sebab anaknya ni terlalu aktif, dia dicubit di badan sampai kulitnya merah dan lebam-lebam.
Awalnya, dia fikirkan mungkin si kecil tu cuma terjatuh. Langsung tak terdetik fikiran yang bukan-bukan.
Tapi lepas salah seorang pengasuh tu akhirnya mengaku dia yang dera, kawan saya ni terus jadi trauma. Hancur hati dia.
Sebenarnya dia paling kecewa sebab dia lambat nak kesan tanda-tanda yang anak dia ni dah didera.
Sepanjang minggu, anaknya banyak termenung dan jadi sangat pendiam. Bila berborak, nampak dia tak fokus dan matanya cuma pandang tembus muka mak ayah tanpa perasaan.
Bila dia bersemuka dengan pengasuh, barulah tahu perkara sebenar.
Kawan saya ni orangnya berpelajaran tinggi dan memang jaga anak sebaik-baiknya.
Yang buat saya sebak bila dia cakap apa guna belajar tinggi-tinggi tapi tak perasan pun anak sendiri kena dera. Allahu, saya cuma mampu mendengar je.
Saya nak kongsikan 5 tanda anak kita mungkin didera di tempat asuhan.
1) Mimpi buruk yang berulang-ulang.
- Selalunya anak tak dapat tidur malam yang nyenyak.
- Perkara yang menakutkan anak tu sentiasa menghantui anak sampai masuk ke dalam mimpi.
2) Regress.
- Maksudnya perkembangan anak tiba-tiba merosot.
- Anak umur 5 tahun, tiba-tiba berperangai macam umur 2-3 tahun.
- Contohnya: terkencing waktu malam, takut pada gelap dan menghisap ibu jari.
3) Pampers anak sentiasa penuh bila kita ambil anak dari tempat asuhan.
- Boleh jadi pengasuh kita jenis tak prihatin dan jarang tukarkan lampin anak.
- Satu lagi tandanya ialah ruam lampin yang berpanjangan.
4) Anak tiba-tiba jadi memberontak dan impulsif (sangat kurang sabar).
- Ini cara anak melindungi diri sendiri setelah didera berkali-kali.
5) Menjadi sangat takut bila nak dihantar ke pusat asuhan atau sangat takut bila ditinggalkan seorang diri.
- Mak ayah akan perasan anak jadi lebih “clingy” berbanding biasa. Dia akan ikut je mak ayah ke mana-mana.
Bantu saya sebarkan pada mak ayah yang lain. Biar kita semua jadi lebih peka dengan tanda-tanda kecil ni.
Kadang-kadang anak kita tak tahu cara nak mengadu. Kitalah yang kena bantu mereka.
Jemput follow FB Redza Zainol supaya tak terlepas info kesihatan kanak-kanak secara percuma di wall saya.
Lebih banyak info kesihatan kanak-kanak di Channel Telegram Dr Redza.
Info tambahan:
Kesan lebam pada lengan (warna merah) boleh terjadi bila si pelaku memegang kuat pada lengan anak ketika mendera anak.
Untuk anak umur bawah 9 bulan, kecederaan selalu ada pada bahagian muka. Boleh jadi ditampar dan dicubit.
Peha anak selalu jadi sasaran si pelaku. Peha akan dicubit, ditampar, digenggam kuat-kuat dan paling sedih dipulas sampai patah tulang kaki (tulang femur).
Semoga perkongsian ini memberi manfaat terutamanya buat ibu bapa yang menghantar anak kecil di pusat-pusat asuhan.