Tekanan & Gula Darah Tinggi Sebab Tak Makan Ubat, Penjelasan Nenek Ini Buat Ramai Terkedu
Mujur cucunya memberi solusi yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini!
Salah satu sebab berlakunya pertengkaran di antara pegawai penjagaan kesihatan dan pesakit adalah keberatan pesakit untuk mengambil ubat yang telah diberikan
Masalah ketidakpatuhan ini berbeza mengikut setiap pesakit yang mana ada pesakit yang langsung tidak mengambil ubat-ubatan serta ada juga yang memakan semua ubat yang telah diberikan namun pada kuantiti yang bukan seperti yang disarankan.
Perkara seperti ini barangkali pernah berlaku pada ahli keluarga kita sendiri yang memilih untuk tidak mengambil ubat-ubatan.
Terdapat beberapa punca mengapa perkara ini terjadi. Sesetengah orang tidak percaya terhadap bahan bukan semulajadi manakala selainnya percaya tubuh badan berupaya sembuh dengan sendirinya.
Ada juga yang mendakwa kesan sampingan ubat yang diberi sangat berbahaya, serta ada juga yang secara sengaja tidak mengambilnya kerana tidak faham cara pengambilan yang betul.
Seperti yang diceritakan dalam satu perkongsian di laman Twitter oleh seorang gadis ini tentang mengapa neneknya tidak memakan ubatan yang disuruh oleh pegawai kesihatan
Semuanya bermula apabila gadis yang dikenali sebagai Rohayu itu melihat ubat-ubatan yang diberikan pegawai perubatan kepada neneknya seolah-olah tidak bersentuh menyebabkan bacaan tekanan darah serta paras gula darah neneknya tinggi.
Rohayu yang pada mulanya 'membebel' memikirkan kos ubat-ubatan itu yang mahal akhirnya terkedu apabila mendapat tahu bahawa neneknya tidak mengambil ubat-ubatan tersebut disebabkan tidak tahu membaca dalam tulisan rumi.
Rohayu kemudiannya disuruh neneknya itu untuk menulis arahan pengambilan ubat tersebut dalam tulisan jawi. Selain itu, gadis itu juga mengambil inisiatif menulis jadual pengambilan ubat bagi memudahkan neneknya.
Ekoran tularnya tweet tersebut, ramai rupanya mempunyai ahli keluarga yang mengalami dan berdepan situasi sama
Sebenarnya perkara ini berlaku disebabkan kurangnya komunikasi di antara pesakit dan pegawai perubatan
Namun untuk menyalahkan pegawai kesihatan mahupun ahli farmasi sepenuhnya, tidak boleh, kerana terdapat beberapa faktor yang menghalang seperti kesesakan yang berlaku di dalam hospital atau klinik, terlalu ramai pesakit, ataupun pesakit itu sendiri yang malu untuk bertanyakan kepada pegawai perubatan.
Walau bagaimanapun, ada sahaja pegawai perubatan dan ahli farmasi yang cuba sedaya upaya mereka untuk membuatkan pesakit mereka memahami cara pengambilan ubat dengan betul, lebih-lebih lagi sekiranya terdapat halangan dari segi bahasa atau tulisan, iaitu dengan cara melukis.
Apa-apa pun sekiranya kita mempunyai ahli keluarga yang sedang dalam proses pemulihan dan perlu mengambil sebarang ubat-ubatan, sebagai orang yang paling rapat, kita sendiri harus kerap dan rajin bertanyakan kepada mereka tentang pengambilan ubat-ubatan itu serta jikalau mereka memerlukan sebarang pertolongan.