Teruk Dikecam & Siap Ada Kempen Boikot, Individu Ini Tampil Dedah Rahsia Jakel Kepada Umum
Jangan hanya kerana satu kesalahan, kita tak nampak semua kebaikan yang pernah dibuat oleh mereka.
Ketika ini, kecoh di media sosial isu boikot membabitkan gedung tekstil terkemuka, Jakel
Perkara itu mula berlaku susulan daripada tindakan Muzaffar Jakel yang telah memuatnaik satu kenyataan kurang menyenangkan terhadap orang Melayu baru-baru ini di laman Instastory miliknya.
Kenyataan itu telah menyebabkan masyarakat khususnya bangsa Melayu menjadi marah dan tidak puas hati kerana dianggap menghina kaum tersebut.
Dipercayai bahawa kenyataan Muzaffar itu dibuat selepas ramai pihak mengeluarkan rasa tidak senang dan risau jika wujudkan kluster terbaru seperti 'kluster Jakel' selepas kerajaan membenarkan hampir semua perniagaan kembali memulakan operasi pada 4 Mei 2020 termasuk syarikat itu.
Susulan daripada kontroversi itu, semalam Pengarah Urusan, Datuk Mohamed Faroz Jakel telah tampil memohon maaf kepada umum
Menerusi satu video yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi Jakel, Faroz yang juga merupakan abang kepada Muzaffar berkata bahawa sebenarnya dia turut tersinggung, terkesan dan marah dengan keterlanjuran kata-kata adiknya itu.
“Saya sebagai Pengarah Kumpulan mewakili seluruh kakitangan keluarga Jakel ingin memohon seribu kemaafan daripada seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu kita yang tersinggung dan berkecil hati dengan kenyataan oleh adik saya," katanya.
Ujar Faroz, reputasi perniagaan Jakel miliknya naik sehingga menjadi gedung terkenal adalah kerana sokongan orang Melayu dan tidak mungkin dirinya tergamak dan terfikir untuk menghina pelanggan yang telah memberikan mereka rezeki.
Rentetan daripada kontroversi itu, telah wujud kempen untuk memboikot gedung tekstil tersebut di media sosial khususnya Facebook
Melihat daripada senario yang berlaku itu, seorang individu telah tampil bagi mendedahkan 'rahsia' Jakel yang mungkin tidak diketahui umum sebelum ini.
Uthman Saad menerusi laman Facebook miliknya semalam berkata sebenarnya pihak Jakel khususnya Faroz telah banyak melakukan amal serta kebaikan kepada orang Melayu dan Islam di negara ini.
Sambil menegaskan bahawa posting yang dibuat olehnya itu tidak dibayar oleh mana-mana pihak, individu ini kemudiannya 'mendedahkan' beberapa kebaikan yang telah dibuat oleh syarikat tersebut.
Terpaksa dedahkan demi kebaikan bersama
Boikot Jakel? Tular hari ni tentang kes keluarga Dato Feroz menghina bangsa Melayu. Dan ramai melakukan kempen boikot Jakel kerana kesilapan ahli keluarganya itu.
Saya sebenarnya tak ingin nak tulis hal ni, tapi bila membaca mereka yang marah dengan post tersebut, rasa terpanggil juga untuk menulis. Maafkan saya Dato’ Feroz kalau Dato’ baca post saya ni, saya terpaksa dedahkan apa yang Dato’ sembunyikan selama ini demi kebaikan bersama.
Jakel terkenal dengan butik baju, kain dan karpet yang berkualiti di tanahair kita. Disebalik kisah jualan yang hebat, sebenarnya kita tak tahu bahawa duit keuntungan yang mereka dapat banyak disalurkan di madrasah-madrasah tempatan dan juga luar negara terutamanya di negara ketiga seperti Bangladesh dan lain-lain. Saya tak kenal Dato’ Feroz secara peribadi, tapi saya kenal seorang maulana yang dilantik oleh Dato’ Feroz untuk meluluskan permohonan bantuan dari mana-mana madrasah agar ia disalurkan pada tempat yang betul.
Mereka tak letakkan nama sebagai penyumbang
Tidak cukup dengan itu, majlis-majlis perhimpunan ulama dan sebagainya, antara penyumbang besar adalah Jakel, tapi mereka tak letakkan nama syarikat mereka sebagai penaja majlis. Hanya orang yang terlibat secara langsung dalam majlis itu sahaja yang tahu tentang ini.
Pada setiap Jumaat, Dato’ Feroz sedekahkan duit selepas habis solat Jumaat. Kadang-kadang beliau sendiri yang beri dan kadang-kadang melalui staf beliau.
Ini apa yang saya tahu, dan apa yang tak tahu itu entah berapa banyak lagi sumbangan beliau ke atas agama ini melalui harta yang beliau dapat. Yang membuat salah adalah salah seorang daripada keluarga beliau, tapi yang ajibnya perniagaan beliau yang hendak diboikot. Dan adakah kerana satu kesalahan itu terus menghilangkan segala kebaikan lain yang pernah beliau lakukan?
Bulan Ramadhan sepatutnya bulan sabar. Bulan didik nafsu amarah kita agar menjadi seorang mukmin yang sejati. Jangan biarkan berlaku permusuhan dalam bulan yang mulia ini. Si pelaku sudah pun minta maaf, apalah salahnya kita pun merendahkan hati untuk memaafkan atas ketelanjuran tersebut. Semoga Allah jaga hati kita dan tidak hancurkan pahala ibadah kita seperti pasir yang ditiup angin. Aaminn.. -uthmandaud-
P/s : Wallahi saya tak pernah dibayar oleh pihak Jakel untuk share tentang ni. Baik sebelum mahupun sekarang.