seismik

Sentiasa Duduk Sebelah Wanita Dan 5 Lagi Tips Naik LRT Di KL

Ini merupakan tips yang paling terperinci pernah orang buat.

Cover image via www.kuala-lumpur.ws

Artikel ini telah ditulis oleh Aaron Tang melalui laman web mr-stingy.com dan diterjemah oleh SAYS atas keizinan. Aaron Tang juga merupakan salah seorang penyumbang artikel di SAYS.

Saya seorang pengguna tegar keretapi. Secara khusus, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuala Lumpur. Sudah 9 tahun saya menggunakan perkhidmatan ini.

Daripada pengalaman menaiki tren ini, saya belajar beberapa cara untuk mengoptimumkan perjalanan LRT. Bagaimana anda mendapatkan perjalanan yang paling murah dan paling selesa?

Untuk tujuan artikel ini, saya akan memberi tumpuan kepada aliran Kelana Jaya (dahulunya dikenali sebagai LRT Putra) sahaja.

1. Kos

Dulu, pengiraan kos untuk perkhidmatan ini agak mudah. Harga bagi Touch n 'Go adalah sama dengan tiket tunai. Dan jika anda selalu menggunakan LRT, pas bulanan mungkin lebih berbaloi.

Sebelum ini saya membayar RM2.40 sehala untuk perjalanan dari Kelana Jaya ke KLCC. Maksudnya RM4.80 bagi dua hala setiap hari, dan RM105.60 sebulan (andaian 22 hari bekerja). Disebabkan pas bulanan hanya RM100 (penggunaan tren tanpa had) - agak masuk akal untuk mendapatkan pas bulanan kerana lebih jimat.

Tetapi sudah tentu, Rapid KL terpaksa menukar tambang mereka pada Disember 2015. Kini kos tiket lebih mahal dan lebih rumit.

Harga tambang mulai Disember 2015

Dulu ada dua skim tambang (pas bulanan vs lain-lain), tapi sekarang dah ada empat. Di bawah saya senaraikan yang paling murah kepada yang paling mahal:

1. MyRapid Smart 30 Monthly
2. MyRapid Smart 7 Weekly
3. Tanpa tunai (sama ada MyRapid atau Touch n’ Go)
4. Token (tunai)

Rapid KL juga kini mengenakan "yuran langganan" setiap kali anda mengaktifkan pakej Smart 30 Monthly atau Smart 7 Weekly. Jadi, sama ada ia menjimatkan wang atau tidak bergantung kepada berapa hari anda gunakan LRT. Tambang adalah seperti di bawah:

Nasihat saya ialah:

1. Jangan sekali-kali menggunakan token sebab itu yang paling mahal.

2. Dapatkan kad MyRapid dengan harga RM10. Anda akan memerlukan kad ini untuk mengaktifkan sama ada pakej Smart 30 atau Smart 7. (Anda boleh menggunakan Touch n 'Go bagi urus niaga tanpa tunai, tetapi anda tidak boleh mengaktifkan pakej Smart 30 atau Smart 7 dengan Touch n' Go).

3. Kalau hari-hari anda gunakan laluan yang sama (lebih daripada 20 hari sebulan), aktifkan Smart 30 Monthly.

Sebagai contoh, saya gunakan laluan Kelana Jaya ke Ampang Park. Tambang adalah RM3.30 menggunakan Smart 30 dan RM3.70 menggunakan kad yang sama tanpa Smart 30.

Jumlah kos menggunakan Smart 30
= (RM3.30 x 2 hala x 20 hari)
= RM132

Jumlah kos tanpa menggunakan Smart 30
= RM3.70 x 2 hala x 20 hari
= RM148

Walaubagaimanapun, anda kena ingat kos pengaktifan Smart 30 adalah sebanyak RM10 setiap bulan. Jadi jumlah harga menggunakan Smart 30 sebenarnya ialah RM142 vs RM 148 (tanpa Smart 30). Anda masih dapat jimat RM6.

4. Jika anda tak selalu gunakan tren, pertimbangkan untuk guna kad MyRapid dengan sendirinya (tanpa mengaktifkan apa-apa). Anda boleh jimat mungkin 30 sen seminggu dengan mengaktifkan MyRapid 7 Weekly, tapi saya tak fikir itu berbaloi.

2. Tren 2 gerabak vs tren 4 gerabak

Sekarang jom kita bercakap tentang keselesaan. Dan dalam membincangkan keselesaan, saya akan mengambil kira dua perkara:

1. Anda lebih suka duduk daripada berdiri
2. Anda tak suka bergesel dengan orang yang tak dikenali

Aliran Kelana Jaya mempunyai dua jenis tren: 4 gerabak dan 2 gerabak. Setiap gerabak direka untuk 32 penumpang duduk dan 204 penumpang berdiri.

Jadi mengikut statistik, peluang anda untuk duduk adalah kurang daripada 16%. Tapi disebabkan anda nak duduk juga, di sini saya terangkan cara bagaimana anda akan sentiasa mendapat tempat duduk.

Pertama, sentiasa tunggu tren 4 gerabak. Pada waktu puncak, tren akan tiba setiap 3 minit. Jadi, walaupun tren 2 gerabak tiba berturut-turut, selepas 10 minit - anda akan dapat naik tren 4 gerabak. Tak rugi pun tunggu 10 minit.

Lagipun, tren 4 gerabak lebih sejuk daripada 2 gerabak. Dan tempat duduk yang paling sejuk ialah kerusi ketiga (tengah) dari akhir. Di sana, anda akan dapat penghawa dingin terus bertiup pada anda.

3. Sifat stesen LRT

Tidak semua stesen LRT mempunyai sifat yang sama bagi mendapatkan tempat duduk.

Jika anda mengambil LRT dari stesen akhir: Kelana Jaya (sehingga 30 Jun 2016) dan Gombak - kebarangkalian untuk mendapatkan tempat duduk adalah 100% memandangkan tren yang bertolak dari dua lokasi ini biasanya hampir kosong.

Jika anda tinggal berhampiran dengan stesen terakhir (contoh: Wangsa Maju), anda boleh mengambil tren ke arah Gombak - tunggu sehingga semua orang turun, kemudian baru anda dapat tempat duduk.

Ini adalah anggaran peribadi saya mengenai stesen yang seat-friendly sepanjang aliran Kelana Jaya:

4. Psikologi pengguna LRT di KL

Tapi macam mana pula kalau anda dalam keadaan tergesa-gesa, tinggal jauh dari stesen terakhir, dan tak ada masa untuk tunggu tren seterusnya? Macam mana kalau anda tak dapat tempat duduk? Ini apa yang anda perlu buat...

Ada dua hukum yang mengawal psikologi pengguna keretapi Malaysia:

1. Hukum inertia pengangkutan awam - Seseorang yang statik mungkin akan kekal statik. Seseorang yang suka bergerak mungkin akan terus bergerak.
2. Hukum ruang graviti peribadi - Walaupun dalam keadaan yang paling sesak, individu ini akan cuba mewujudkan sedikit ruang antara dia dengan orang sebelah.

Maklumat di bawah mungkin dapat membantu:

1. Hukum pertama memberitahu kita bahawa apabila orang ini dah dapatkan kedudukan mereka di dalam LRT (sama ada berdiri atau duduk), mereka kurang cenderung untuk bergerak. Jadi, walaupun anda tidak mendapat tempat duduk pada mulanya, tunggu sehingga ada orang bangun dan keluar daripada tren. Bila ini berlaku:

a. Orang-orang yang dah ada dalam tren biasanya tak akan bergerak dari kedudukan mereka.

b. Anda akan bersaing untuk mendapatkan tempat duduk dengan orang-orang yang baru memasuki LRT. Oleh kerana mereka sedang bergerak, mereka akan cari tempat duduk kosong. Saya lebih suka dapatkan tempat duduk bila sampai di satu stesen LRT yang ramai orang turun dan tak ramai orang naik.

Ini biasanya taruhan terbaik untuk mendapatkan kerusi.

2. Tapi kadang-kadang ada juga situasi di mana anda masih tidak boleh dapatkan tempat duduk. Jadi di mana anda harus berdiri untuk berasa selesa? Ini cadangan saya:

a. Jika anda suka pergi ke Zouk, mana-mana kawasan sekitar pintu tren dan pertengahan tren adalah tempat paling mudah untuk punggung anda bergesel dengan orang lain.

b. Pilihan saya adalah untuk berdiri di tengah-tengah lorong antara kawasan tempat duduk. Di sini, "ruang graviti peribadi" adalah paling tinggi. Orang sentiasa cuba mewujudkan ruangan peribadi antara mereka dengan orang lain. Lebih jauh anda daripada zon bergesel, lebih banyak ruang yang anda akan dapat.

Tren 2 gerabak. Tempat duduk berwarna biru.

Image via www.mr-stingy.com

Bonus tambahan, disebabkan anda dekat dengan kerusi - kalau ada orang bangun, anda terus dapat tempat duduk.

5. Sentiasa duduk sebelah wanita

Saya cadangkan tips ini bukan kerana saya seorang pervert atau lelaki miang yang suka berlaga bahu dengan wanita dalam LRT.

Kalau anda nak tahu, tren-tren yang lebih lama mempunyai ukuran kerusi standard kira-kira 16.5 inci lebar. Untuk tren baru pula, ukuran standard adalah sedikit lebih luas - hampir 17 inci lebar.

Orang semua pandang pelik bila saya buat benda ni.

Image via www.mr-stingy.com

Boleh kata, saya ini seorang yang agak slim, tapi bahu saya mencecah 19 inci lebar. Kalau letakkan empat lelaki berturut-turut di satu barisan kerusi, semua orang akan rasa macam sardin dalam tin.

Memandangkan kebanyakan wanita mungkin lebih slim daripada saya, dan 50% lelaki mungkin lebih besar daripada saya - ia membantu semua orang menjadi lebih selesa jika anda sentiasa memilih tempat duduk di sebelah seorang wanita.

Oh, wanita juga lebih wangi.

6. Penghujung tren adalah yang terbaik

Kalau anda tak ingat apa-apa langsung dari artikel ni, ingat satu benda: penghujung tren adalah yang terbaik. Kenapa?

1. Penghujung tren mempunyai "kawasan penyimpanan" tambahan di mana anda boleh meletakkan barang anda di atasnya. Walaupun ini merupakan tempat kawalan manual bagi sesebuah tren, ia biasanya dijadikan rak penyimpanan barang sementara.

Tolong jangan duduk atas tu macam lelaki ni.

Image via www.mr-stingy.com
2. Di sini view pun cantik. Rasa macam naik roller coaster murah.

3. Tempat duduk terbaik ada di penghujung tren. Masih ingat ukuran tempat duduk standard antara 16.5 - 17 inci? Kalau anda nak tahu, tempat duduk di penghujung tren ada sedikit ruangan ekstra dan lebih luas lebarnya. Selamat datang ke kelas pertama!

19 inci! Lebih luas daripada tempat duduk ekonomi Malaysia Airlines.

Image via www.mr-stingy.com

Lagi satu, ada juga tempat duduk "ekonomi premium" berukuran 17.5 inci lebar.

Dan disebabkan anda begitu baik kerana membaca artikel ini dari mula sampai habis - saya ada hadiah terakhir untuk anda:

Tren 4 gerabak.

Image via www.mr-stingy.com

Kalau ada wanita hamil datang berhampiran anda - sila abaikan segala benda yang saya explain di atas dan berilah tempat duduk anda kepadanya.

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Nak lebih tips? Baca SINI:

You may be interested in: