Projek RTS Hubungkan JB-Singapura Akan Diteruskan, Kos Kini 36% Lebih Rendah
Terdapat penjimatan sebanyak RM1.77 bilion dari segi kos keseluruhan projek
Malaysia bakal ada sistem tren baru!
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura akan diteruskan.
Terdapat penjimatan sebanyak RM1.77 bilion dari segi kos keseluruhan projek. Kos baru adalah RM3.16 bilion berbanding kos asal RM4.93 bilion yang ditetapkan kerajaan terdahulu.
Penjimatan sebanyak 36 peratus itu sebahagiannya disebabkan Sultan Johor mengecualikan kos pengambilan tanah baginda
Selain itu, kerajaan berjaya mencapai penjimatan menerusi cadangan sistem rel yang lebih murah menggunakan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) berbanding cadangan asal iaitu Transit Aliran Massa (MRT).
Tun M menegaskan bahawa tanah milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Bukit Chagar yang akan menjadi lokasi Stesen RTS di Johor Bahru itu sebelum ini milik Kerajaan Persekutuan.
Projek RTS bagaimanapun tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor
Beliau berkata, satu-satunya cara untuk menyelesaikan kesesakan itu untuk jangka panjang adalah dengan membina sebuah lagi jambatan.
“Paling mudah ialah bina sebuah lagi jambatan. Kita nak bina jambatan tapi Singapura tak setuju walaupun selama ini Johor sangat bermurah hati dengan mereka kerana bekalkan air dengan harga murah," kata Tun M.
Projek ini akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sistem yang dicadangkan itu akan sama dengan sistem LRT di kawasan Lembah Klang.
Setiap tren mempunyai kapasiti untuk mengangkut 10,000 penumpang dalam masa satu jam sehala ketika waktu puncak.
Perjalanan dari Bukit Chagar ke Woodlands akan memakan masa 30 minit sahaja.
RTS dijangka siap pada 2024
Anthony Loke menjangka kerja pembinaan akan bermula hanya selepas tiga perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua negara pada awal tahun depan.
Perjanjian yang dijangka ditandatangani adalah perjanjian dua hala yang dipinda, perjanjian usaha sama, dan perjanjian konsesi tunggal.