#UMNO2014: Hala Tuju, Strategi Dan Harapan UMNO Kepada Rakyat
Perhimpunan Agung UMNO 2014 menutup tirai pada hari Sabtu, 29 November 2014 selepas lima hari diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Perhimpunan Agung UMNO 2014, Berakhir Dengan Mesej Tegas Dan Lantang Presiden UMNO Bahawa Hak Keistimewaan Orang Melayu, Raja Dan Agama Islam Yang Termaktub Dalam Perlembagaan Negara, Tidak Boleh Dipertikaikan Lagi
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata seluruh rakyat Malaysia perlu berhenti berbalah mengenai perkara berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada usaha memajukan negara.
"Kebebasan pun ada had. Kebebasan bukan mutlak. Tak boleh hina agama Islam, tak boleh cabar hak istimewa Melayu, tak boleh persoal sistem Raja-Raja Melayu, askar Melayu dan kita jaga kepentingan kaum lain."
"Jadi, amanlah kita. Asyik berbalah memanjang...kerja lain tak jadi. Saya nak kita memberi fokus bahawa kita majukan negara Malaysia tercinta ini. Kita nak bawa Malaysia ke depan. (Bukan) asyik berbalah saja."
Perdana Menteri Turut Menyelar Amalan Nepotisme Pihak Pembangkang Yang 'Mengorbankan' Anggotanya Yang Tidak Bersalah Semata-Mata Untuk Memberi Laluan Kepada Orang Lain Untuk Memegang Jawatan
Datuk Seri Najib Tun Razak:"(Pembangkang) boleh pula suruh wakil rakyat (mereka) letak jawatan (sebab) isteri nak bertanding. Suruh menteri besar (MB) yang tak ada kesalahan letak jawatan sebab isteri nak jadi MB. Inilah nepotisme terbesar. Kenapa kita tak persalahkan dia. Seranglah pembangkang."
Dalam pada itu, Najib turut menempelak pakatan pembangkang yang disifatkan sebagai ibu segala rasuah kerana cuba menawarkan sejumlah wang yang besar kepada seorang pemimpin UMNO untuk membawa Anggota Parlimen BN menyertai pembangkang pada 2008.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin Memberi Amaran Bahawa UMNO Dan Barisan Nasional (BN) Akan Kehilangan Kedudukan Jika Tiada Inisiatif Baru Dilaksanakan Untuk Menjadikan Parti Itu Kekal Relevan
Tan Sri Muhyiddin Yassin: “(Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13) BN mempunyai 44 kerusi ‘kelabu’, yang mana kita menang antara 0.1 hingga 5.9 peratus majoriti sahaja. Hanya dengan penurunan undi dua peratus sahaja, maka akan jadi 103 kerusi parlimen, kurang daripada 112 (majoriti minimum) dan BN akan kalah."
“Dua peratus bukan banyak, kalau saudara kira bahagian parlimen, kalau undi sekian banyak, kiralah dua peratus turun, maka kita akan ada dalam keadaan amat berbahaya."
“Hanya lebih kurang 39 bulan sahaja lagi, tempoh sebelum PRU mesti diadakan. Soalnya dalam tempoh singkat ini apakah inisiatif baharu yang boleh kita laksanakan untuk kembalikan keyakinan, betulkan persepsi, yang dah dibahas usul di peringkat sayap Puteri, Pemuda dan Wanita."
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal Mencadangkan Strategi ‘Retain’ Dan ‘Regain’ Bagi Memastikan Kemenangan Barisan Nasional (BN) Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ‘retain’ bererti memberi fokus kepada kawasan yang perlu kekal menang dan ‘regain’ pula dengan memfokuskan kawasan yang perlu ditawan kembali dalam PRU14.
“Kedua-dua gerak kerja ini membawa pendekatan yang berbeza namun kedua-duanya perlu bergerak berasaskan kepada cawangan di bahagian dan negeri."
"Ini kerana berdasarkan statistik daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dari Jun tahun lepas sehingga September lepas, hanya sejumlah 5,939 pengundi telah didaftarkan oleh UMNO seluruh negara berbanding DAP sebanyak 9,309 pengundi."
“Parti-parti komponan cukup membimbangkan yang mana MCA hanya 256 (pengundi didaftarkan), MIC (266), Gerakan (373) berbanding pula dengan Pas (1,775) dan PKR (2,103)."
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Menjangka Rangkaan Modul Latihan KERIS 2314 Bakal Menjadi Senjata BN Untuk Mendapatkan Kembali Majoriti Dua Pertiga Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Nanti
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata modul pengkaderan dan tarbiah itu bertujuan melahirkan Jil-UMNO (generasi pewaris kepimpinan masa depan UMNO) dalam usaha meremajakan parti keramat orang Melayu itu.
KERIS yang dimaksudkan adalah ‘Karisma.Ehsan.Rasional.Iltizam.Setia’.
“Bagi nombor keramat 2314 itu pula, 2.3 adalah sasaran kita untuk menebus kembali jumlah kerusi sebanyak dua pertiga pada PRU14 setelah dua penggal kita gagal, manakala 14 adalah sempena PRU14."
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Menjelaskan Konsep Peremajaan Parti Bukan Sekadar Menggantikan Orang Lama Dengan Orang Muda, Sebaliknya Diterjemahkan Dalam Konteks Menyeluruh
Mengambil contoh pilihan raya umum di India untuk jawatan perdana menteri yang ditandingi calon berusia 64 tahun dan seorang lagi calon berusia 40 tahun baru-baru ini, Khairy Jamaluddin menegaskan faktor mesra golongan muda dengan memanfaatkan teknologi baharu dan media sosial membolehkan calon 64 tahun daripada Bharatiya Janata Party (BJP) menewaskan pesaingnya yang jauh lebih muda.
“Peremajaan itu tidak semata-mata pada umur, peremajaan itu dalam konteks yang lebih menyeluruh. Bila tengok cara mereka (calon di India) berkempen, calon lama telah membawa diri macam orang muda dengan menggunakan media sosial, Facebook, Twitter dan polisi yang mesra orang muda, cergas dan dinamik."
“Calon muda pula tak tunjuk keremajaannya, tidak melibatkan diri di media sosial, polisi pun ditakuk lama, akhirnya gelombang pengundi muda yang tentukan keputusan pilihan raya tersebut telah memberi sokongan kepada calon umur 64 tahun."
Khairy turut memberi contoh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disifatkannya telah melalui proses peremajaan apabila mempunyai ramai pengikut di media sosial, termasuk mengikuti trend semasa bergambar ‘selfie’.
“Bukan saya minta pemimpin-pemimpin lama, ketua-ketua bahagian pakai seluar ketat, baju sendat dan sarung kaki merah jambu macam saya, itu bukan autentik, itu dah lunatik. Peremajaan itu juga tidak terhad kepada orang muda dalam UMNO, orang lama dalam UMNO saya yakin boleh melakukan peremajaan tersebut."
“Peremajaan tak bermakna laluan percuma orang muda dilantik itu dan ini… kalau tak layak memang tak layak. Kalau kita layak kita patut menerimanya. Buat kerja dengan baik, tolong bahagian kuatkan parti dan kalau ada rezeki Alhamdulillah. Itu yang kami faham tentang peremajaan, bukan rampasan kuasa. Itulah yang kita faham cara orang Melayu yang penuh dengan kesabaran dan hormat kepada orang lama."
Khairy berkata gandingan pemimpin lama dan baharu diperlukan bagi terus memperkukuh dan mengarusperdanakan parti supaya dapat meraih kembali sokongan rakyat khususnya orang muda.
Pergerakan Wanita UMNO Memohon Kerajaan Memberi Kuasa Kepada Peguam Negara Sebagai ‘Penjaga Kepentingan Awam’ Bagi Mempertahankan Tanah Rizab Melayu Di Seluruh Negara
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ia bertujuan membolehkan tanah rizab Melayu yang dibatal oleh pihak berkuasa negeri untuk tujuan pembangunan wajib diganti oleh kerajaan negeri berkenaan.
“Daripada rekod (tanah rizab Melayu) semakin hari semakin terhakis. Ada negeri bukan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), apa akan jadi pada tanah rizab ini? Wanita UMNO meminta Perdana Menteri untuk menguruskan pindaan perlembagaan supaya memberi kuasa kepada Peguam Negara sebagai ‘custodian of the public interest’ untuk berkuasa membuat petisyen kepada mana-mana negeri di mana tidak ada ganti wajib atau ganti semula tanah rizab Melayu."
Beliau berkata pihaknya khuatir kegagalan mempertahankan tanah rizab Melayu bakal memberi kesan besar kepada anak cucu orang Melayu.
Puteri UMNO Mencadangkan Kerajaan Supaya Melaksanakan Potongan Gaji 10 Peratus Ke Atas Semua Pekerja Lelaki Di Sektor Awam Dan Swasta Yang Sudah Berkahwin Untuk Dikreditkan Terus Ke Dalam Akaun Isteri Mereka
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata langkah itu bertujuan menjamin golongan wanita yang berkahwin mendapat nafkah dan menguruskan rumah tangga dengan lebih baik.
“Ramai juga wanita di luar sana nasib tidak terbela kerana tidak mendapat nafkah sewajarnya daripada suami mereka. Oleh yang demikian saya berpendapat mungkin Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kewangan dapat berbincang mengenai cadangan ini."
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan memperkenalkan langkah tersebut untuk pegawai ATM berpangkat Leftenan Muda dan ke atas yang dikenakan potongan menerusi Peruntukan Paksa ATM dan dikreditkan ke dalam akaun isteri.
Wakil Kelab UMNO Luar Negara Moscow, Nur Farhana Mohd Anuar Mencuri Tumpuan Apabila Menyatakan Program Anjuran UMNO Kebanyakannya 'Syok Sendiri'
Penuntut tahun kelima First Moscow State Medical University, Rusia, Nur Farhana Mohd Anuar menarik perhatian apabila menyatakan program anjuran UMNO terlalu ‘syok sendiri’, stereotaip, kurang mesra golongan muda, tidak strategik kerana kebanyakannya dianjurkan semata-mata untuk memenuhi tuntutan program tahunan.
Dalam perbahasannya selama 15 minit, beliau dengan lantang berkata UMNO tidak boleh berbangga dengan jumlah anggota yang ramai iaitu 3.47 juta orang kerana mendakwa belum tentu semua anggota itu adalah ‘orang UMNO’.
“Anggota UMNO sepatutnya menjadi ‘orang UMNO’ yang akan berjuang demi bangsa, agama dan negara. Ramai mahasiswa muda mempunyai persepsi bahawa UMNO tidak mempunyai idea yang segar dan tiada idea baharu, matlamat serta perjuangan parti juga semakin pudar."
Nur Farhana juga berkata bagi mendekatkan orang muda dengan UMNO dan meremajakan parti keramat orang Melayu itu, UMNO perlu mengadakan program bersifat interaktif, termasuk menggunakan media sosial, selaras dengan 'hyperconnectivity' atau kesalinghubungan digital yang ditekankan UMNO.
Beliau turut mencadangkan agar laman web UMNO dan kerajaan direka dengan ringkas supaya mudah diakses walaupun sekadar menggunakan telefon bimbit manakala semua dasar diterangkan menggunakan grafik supaya anak muda dapat memahaminya dengan mudah.
Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Maznah Hamid Menggesa Kerajaan Mewujudkan Semula Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MeCD) Bagi Memperkasakan Agenda Ekonomi Bumiputera
Datuk Maznah Hamid: “Wanita mengatakan MeCD adalah lambang Melayu dan ia wajib diwujudkan. Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini perlu diletakkan di bawah satu bumbung pemantauan. Tidak ada gunanya rumah yang indah tanpa berpenghuni, ibarat kapal tidak bernakhoda."
“Begitu juga dengan penglibatan Bumiputera di dalam industri halal yang perlu dipertingkatkan. Akibat daripada kurangnya penglibatan Bumiputera dan tiadanya pemantauan, maka berlaku salah guna sijil halal yang berleluasa ketika ini. Maka wanita amat berharap agar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberi perhatian serius terhadap industri makanan halal."
MeCD dibubarkan pada April 2009 dan beberapa agensinya termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Johor, Dr Adham Baba Meminta Kerajaan Menggubal Dasar Baru Yang Dikenali Sebagai Dasar Pembangunan Usahawan Nasional (DPUN) Bagi Memberi Nafas Baru Kepada Perdagangan Bumiputera
Dr Adham Baba berkata dasar itu haruslah mempunyai strategi menyeluruh bagi membantu orang Melayu mendapat akses modal dari institusi kewangan dan modal teroka, akses kepada pasaran domestik dan global termasuk kaedah pemasaran dalam talian serta media sosial.
“Amat penting juga, aspek latihan dan bimbingan termasuk teknikal dan vokasional, kemahiran insaniah dan pementoran diusahakan, dan ini hendaklah mengambil kira keperluan ‘last mile’ untuk memenuhi permintaan dan pulangan pasaran kepada anak muda."
Selain itu Dr Adham berkata kerajaan juga diminta menggubal dasar pemilikan ekuiti bumiputera dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan meluaskan sasaran pegangan ekuiti itu melebihi 30 peratus. Ini bagi membolehkan bumiputera memperoleh lebih banyak pegangan ekuiti dan menjamin kedudukan kaum berkenaan.
Pada 12 Jun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata pemilikan ekuiti bumiputera adalah sebanyak 24 peratus.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar Menegaskan Kerajaan Perlu Meneliti Realiti Kehidupan Rakyat Berpendapatan Rendah Dan Tidak Hanya Berbangga Dengan Statistik Berhubung Peningkatan Pendapatan Isi Rumah
Mohd Iskandar Jaafar: “Walaupun kita sudah bekerja bertungkus lumus, kadang-kadang kita rasa sedih…tiba-tiba keluar dalam suratkhabar, di kaca televisyen, purata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia meningkat RM5,900, amboi…"
“Betullah menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 kita kena ada statistik yang menunjukkan kita bergerak ‘in progress’ tetapi bila rakyat dengar mereka tanya pendapatan ini pendapatan siapa?"
“Di tempat saya hari ini, harga getah cukup teruk, ada pernah sampai RM1.60 sekilogram, semalam saya telefon di kampung tanya berapa harga getah hari ini, katanya RM1.70 sekilogram, seminggu motong (menoreh) getah tak dapat sampai RM50 pun. Makanya kita tidak boleh terlalu bergantung kepada statistik untuk nak meyakinkan kepada rakyat bahawa beban sara hidup mereka ini sudah dibantu."
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Machang, Kelantan, Rahimah Mahamad Berasa Sedih Dengan Isu Kebiadaban Dan Perbuatan Menghina Para Pemimpin Yang Nyata Tidak Lagi Mencerminkan Budaya Masyarakat Negara
Rahimah Mahamad berkata pihak terbabit melakukan pelbagai penghinaan seperti memijak gambar pemimpin negara, mengubah lirik lagu Negaraku dan mengibarkan Jalur Gemilang secara songsang.
“Dulu ada adik, kakak macam ini? Ada? Tidak ada… Saya amat sedih sekali…sedih…sedih…Patutkah gambar pemimpin kita Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diletakkan selipar di muka…dan macam-macam lagi benda yang pelik-pelik dilakukan."
“Saya sedih…kalau di Kelantan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang bekerja begitu kuat siang malam, dibuat patung (menyerupai) beliau yang kemudian ‘digode’ (sebat). Apa salah Mustapa yang bawa balik macam-macam projek ke Kelantan."
Selain itu Rahimah menarik perhatian mengenai isu penggunaan bahasa Melayu di negara ini yang semakin hambar lebih-lebih lagi apabila banyak singkatan bagi program kerajaan dilihat cenderung menggunakan bahasa Inggeris.
“Contohnya kita lebih gemar menyebut RTC (Rural Transformation Centre) untuk Pusat Transformasi Luar Bandar, bukannya PTD, demikian juga bangunan tempat kita berhimpun ini, kita popularkan dengan PWTC (Putra World Trade Centre) untuk Pusat Dagangan Dunia Putra dan bukannya PDDP. Justeru Wanita cadangkan supaya trend dan kecenderungan ini dihentikan demi memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara."
Datuk Seri Najib Tun Razak Menutup Tirai Dengan Menyampaikan Mesej Penting Sebagai Pedoman Kepada Anggota Parti Itu Bagi Menghadapi Cabaran Untuk Terus Menjadikan UMNO Kekal Relevan
Najib mengingatkan orang Melayu supaya tidak berbalah sesama sendiri dan memperkukuhkan serta meneruskan roh perjuangan UMNO bagi masa depan bangsa Melayu.
Ucapan penuh bermakna oleh Najib selama hampir sejam itu bukan sahaja didengar 2,752 perwakilan UMNO dari seluruh negara, malah turut disiarkan secara langsung menerusi radio dan stesen televisyen tempatan.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan kita. Perjuangan kita ini hendaklah, saudara sekalian…"
“Jika rosaknya UMNO, maka tersingkirlah kita."
“Jika terbuangnya UMNO, maka hanyut la kita."
“Percayalah jika kuatnya UMNO, pasti terjamin kita."
“Jika hebatnya UMNO, pasti berjaya kita."
“Maka, yakinlah, saudara sekalian dengan mata hati, segala tindakan telah diperhalusi, usah dipertikai beri kepercayaan separuh hati."
“Hilangkan resah, Hilangkan gelisah, janji yang dilafaz pasti tiada dimungkiri."
“Segala keputusan dan tindakan kepentingan Melayu dan Bumiputera tidak pernah kami lupakan."
“Saudara perwakilan, tariklah nafas dan tariklah bersama roh perjuangan, tariklah bersama nafas keberanian, tariklah bersama nafas keyakinan."
“Jadilah kita barisan hadapan untuk pertahankan tindakan dan keputusan yang dibuat oleh parti."
“Jadilah kita barisan hadapan untuk pertahan maruah parti dan usah biarkan ia dicemari."
“Berjanji, berjanjilah selagi hayat dikandung badan, selagi mentari bersinar parti UMNO kita diperkukuhkan, Melayu dan Bumiputera kita pertahankan, Islam kita muliakan, Malaysia tercinta kita makmurkan."
“Maju UMNO, Maju Melayu, Maju Bumiputera, Maju BN, Maju Malaysia”.