seismik

“Jangan Terlalu Percaya Janji Kerajaan" - Pesanan Akhir Tunku Abdul Rahman Pada 1988

Pesanan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra yang boleh digunakan rakyat pada hari ini.

Cover image via Facebook

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra seolah-olah mampu meramal masa depan dalam video ini

Image via YouTube

Dikatakan dirakam sempena Hari Kemerdekaan Negara pada tahun 1988, video ucapan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra ini seakan memberi gambaran apa yang berlaku pada pemerintahan hari ini sebenarnya telah terjadi sejak sekian lama.

Video ini kembali trending setelah dimuat naik dan dikongsi di Facebook. Ironinya, segala yang dikongsikan Tunku pada tahun 1988 itu seakan sama dengan situasi yang melanda Malaysia pada ketika ini.

Dalam video berdurasi hampir 9 minit tersebut, Tunku memberi pesanan kepada rakyat agar cepat sedar dan bangkit untuk menegakkan keadilan

Dengar pesanan Tunku bermula pada durasi 5 minit 45 saat dan ke atas dalam video penuh di bawah:

Beliau turut berpesan kepada rakyat untuk tidak terikut-ikut dengan apa yang dijanjikan oleh pemerintah negara

“Saya kena berpesan kepada saudara-saudara saya dan juga kepada mereka yang bersatu padu selama ini, jangan ikut apa yang didakyahkan oleh pemerintah pada hari ini," pesan Tunku.

Tunku juga menambah, rakyat harus menggunakan akal fikiran dan berfikir tentang apa yang dilakukan kerajaan sama ada betul atau tidak

“Fikir sendiri betul atau tidak apa yang mereka buat. Jangan ikut begitu saja dan gunakanlah akal dan fikiran.

"Apa yang berlaku yang baik semua mereka buat, apa yang tak baik semuanya dilakukan lawan mereka.

"Dan jika ada apa-apa yang mereka buat tidak baik mereka akan elokkan dan 'bubuh' salah pada orang lain yang menentang mereka,” kata Tunku.

Tambah Tunku lagi, akhbar-akhbar tidak lagi mempunyai kebebasan bersuara kerana segala-galanya dikawal oleh pihak kerajaan

“Akhbar-akhbar sudah tidak mempunyai suara, bila akhbar tegur diorang tutupkan. Ini menunjukkan orang yang melawan mereka tidak ada kuasa langsung. Segala-galanya dikawal oleh pihak kerajaan," ujar Tunku.

Selain itu, Tunku juga mengingatkan rakyat bahawa kuasa sebenar di negara ini adalah rakyat.

Rakyat harus memilih ketua yang mampu memerintah dengan betul jika tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku pada negara ini.

“Yang memegang kuasa di negara ini ialah rakyat jelata. Jadi kalau tidak timbang perkara ini dengan sewajarnya negara ini akan rosak. Undi ditangan rakyat dan rakyat yang memilih pemimpin yang memimpin negara.

“Rakyat timbang lah sendiri kerana ‘lampu ajaib’ itu ada di tangan rakyat, gunalah akal dan gunakanlah kekuatan itu untuk memelihara negara Malaysia yang dikasihi ini,” katanya.

“Bukan kita sahaja yang bergantung pada negara ini malah keturunan kita semuanya bergantung pada pemerintahan negara ini.

Kalau selamat, kalau merdeka ini ada makna atau diberikan makna, selamatlah mereka sampai akhir zaman.”

“Saya cuma hendak membela negeri ini. Ini negeri kita. Di sini kita lahir, di sini juga kita mati. Biar saya mati dalam perjuangan asalkan saya tidak lepas tangan.

“Saya doa semuanya akan selamat," kata-kata Tunku yang mengakhiri video tersebut.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baca juga:

You may be interested in: