5 Sebab Untuk Sayang Dan 1 Sebab Untuk Benci Harimau Muda
Selepas menanggung kekalahan memalukan ke atas tangan Vietnam 5-1 semalam, kita masih perlu sayangkan Harimau Muda.
1. Harimau Muda tak seteruk Liverpool
24 Mei lalu, Liverpool menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan keadaan yang memalukan selepas tewas 6-1 kepada Stoke City di Stadium Britannia. Jadi bila kita lihat pada skuad Harimau Muda, tak salah kalau kita nak cakap mereka adalah lebih baik daripada Liverpool. Sekurang-kurangnya mereka bolos dua gol sahaja pada separuh masa pertama, manakala Liverpool sudahpun ketinggalan 5-0 selepas 45 minit.
therakyatpost.com2. Nazmi Faiz tak main
Selain itu, Harimau Muda bermain tanpa pemain utama mereka iaitu Nazmi Faiz yang digantung enam perlawanan kerana meludah. Berbalik kepada Liverpool, pasukan itu tempoh hari membariskan pemain kesebelasan utama termasuk Steven Gerrard dan Coutinho tapi masih dibelasah oleh Stoke City.
3. Steven Gerrard pun pernah tersilap buat backpass
Steven Gerrard, lagenda Liverpool yang sangat disanjung tinggi oleh para pemain dan juga penyokong setia pasukan. Walaupun pernah tersilap membuat backpass sebanyak tiga kali - dua kepada Thierry Henry (2004, 2006) dan satu kepada Didier Drogba (2010) - beliau tidak pernah dibenci. Malah, beliau tetap dianggap sebagai salah seorang kapten pasukan terbaik dan paling berpengaruh di dunia.
4. Pasukan bola sepak Malaysia selalu lambat panas
Pasukan bola sepak Malaysia cukup dekat dengan pepatah moden popular 'hero kalah dulu.' Memang selalunya begitu. Contohnya pada kejohanan Sukan Sea 2009, Piala Aff Suzuki 2010, dan kejohanan Sukan Sea 2011. Mereka berhempas pulas untuk menang pada perlawanan pertama dan kedua, kemudian apabila berdepan misi "mesti menang", ada sahaja magic yang berlaku. Rata-rata penyokong yang dah nak putus asa tiba-tiba tak jadi. Mungkin juga para pemain kita sematkan ungkapan 'suffer first, enjoy later' dalam hati sanubari masing-masing.
5. Mereka tetap pasukan kesayangan kita
Para pemain kita semuanya rakyat Malaysia, jadi kenapa kita perlu membenci antara satu sama lain? Mana boleh kalau nak sokong pasukan kita masa mereka menang sahaja. Menang atau kalah itu kan adat permainan. Jadi kita sebagai penyokong perlu sentiasa ada di belakang pasukan kesayangan kita, walau apa jua terjadi. Mereka perlukan sokongan padu daripada rakyat jelata yang berbilang bangsa. Bak kata pepatah lagenda bola sepak negara Mokhtar Dahari yang berbunyi, 'If you're ashamed to stand by your colours, you better seek for another flag.' Tak gitu?
1. Kalau cakap tentang bola sepak Malaysia, yang perlu dibenci semestinya Persatuan Bola Sepak Malaysia atau FAM
Luahan seorang peminat tegar bola sepak Malaysia
Sejak Tuanku mengambil alih tampuk Presiden FAM pada 1984, Malaysia tidak lagi ke Olimpik. Sejak itu juga Malaysia telah ketinggalan tahun demi tahun kepada pasukan yang dulunya kita mudah untuk tewaskan seperti Korea Selatan, Jepun, Iran mahupun Kuwait.
Sejak Tuanku mengambil alih tampuk, Malaysia tidak lagi layak ke Piala Asia secara merit. Tidak lagi melepasi pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia. Laos, Myanmar, Vietnam sudah boleh tewaskan kita. Apakah itu Tuanku merasa 1 kemajuan?
Jika tahun 1960 sehingga 1980 kita menjadi pasukan digeruni di Asia pada ketika kemudahan, peralatan yang serba kekurangan, apatah lagi imbuhan puluhan ribu ringgit, kenapa bola sepak kita semakin mundur ketika arus peredaran zaman semakin membangun?
Maaf jika saya katakan kejuaraan piala AFF dan sukan SEA adalah bukan taraf kita jika dikaji siapa Harimau Malaya dahulu. Olimpik dan Piala Asia adalah medan sebenar pasukan kita. Sukan SEA dan Piala AFF sepatutnya adalah untuk barisan muda yang ingin timba pengalaman. Kita memiliki 1 skuad generasi emas, namun sejak Tuanku mengambil alih, kenapa tidak dapat kesinambungan dari pemain-pemain generasi emas ini?
Tidak logik kita ketandusan pemain sedangkan taraf pembangunan teknologi kita lebih baik dari Iraq, Syria mahupun Bahrain. Tapi kini mereka jauh tinggalkan kita. Apa bezanya berlatih di padang pasir seperti Iraq atau di tempat yang dilengkapi dengan gym, pool tapi kualiti masih jauh ketinggalan?
Maaf juga saya katakan, kerana berlatih dalam suasana perang yang membawa Iraq muncul juara Asia pada 2007. Malaysia yang gah disebalik stadium yang bertaraf dunia, teruk dibelasah. Apa beza dahulu dan sekarang? Jika dahulu kita gergasi Asia, sepatutnya sekarang kita sudah boleh mencapai tahap 20 pasukan terbaik dunia jika development yang Tuanku lakukan dengan cara yang betul dan ikhlas.
Apa yang Jepun lakukan sehingga mereka kini sudah boleh tewaskan Argentina? Layak ke Piala dunia 4 kali berturut-turut. Apa yang presiden mereka lakukan dan apa yang presiden kita tidak lakukan. Dan itu Tuanku kata bola sepak kita semakin MAJU? Apakah dengan kejayaan piala AFF Tuanku merasakan bola sepak Malaysia sudah sampai ke kemuncak prestasi? Tidak Tuanku. Itu baru permulaan kepada kebangkitan.
Apa yang Tuanku lakukan sehingga David Beckham atau Roy Keane sendiri tidak pernah mendengar tentang wujudnya pasukan bola sepak Malaysia ketika kunjungan mereka pada 2001? Presiden sebelum ini, Tan Sri Hamzah Abu Samah tidak pernah melepaskan peluang turun ke Stadium Merdeka untuk melihat anak-anak buahnya beraksi. Mengiringi mereka ketika menjulang kejuaraan Pesta Bola Merdeka 1978, memberi wang imbuhan hanya RM500 untuk setiap pemain, tapi dibalas dengan kejayaan ke Olimpik Moscow 1980 walaupun kita memboikot temasya itu. Adakah tuanku sering turun melihat anak-anak buah Tuanku beraksi walaupun persahabatan? Jarang sekali Tuanku.
Kita pernah dilabelkan oleh seorang wartawan Jepun yang meramalkan Malaya (ketika itu) bakal menjadi wakil Asia pertama ke Piala Dunia. Disebalik kemajuan yang terhidang, sayang bola sepak kita pula semakin mundur. USA yang kita tewaskan dahulu kini sudah melahirkan pemain bertaraf dunia, Croatia yang kita tinggalkan dahulu kini sudah melahirkan Luka Modric. Tiba masa untuk Tuanku berundur secara terhormat.
Pemain yang kita ada sekarang mempunyai mentaliti yang bagus, namun, jika salah pembangunan yang diberi, serta campur tangan orang-orang tuanku, makan tidak mustahil, skuad ini juga akan menerima nasib yang sama seperti era 90an dan 2000. Kejatuhan kita bermula dengan rasuah, tapi bukan itu alasanya kita tidak boleh bangkit jika Tuanku tidak sekat hajat Arwah Dato' Basri Akil dahulu yang ingin mewujudkan akademi di setiap negeri kerana kos yang tinggi.
Apakah dengan membayar jutaan ringgit kepada kelab EPL untuk 1 malam dilihat berbaloi dari melabur jutaan ringgit untuk jangka masa panjang? Apakah kita boleh menghasilkan pemain berkualiti dengan perlawanan hanya untuk 1 malam? Dimana pemikiran Tuanku yang ingin melihat bola sepak kita semakin maju jika terus begini?
Inilah masanya tuanku meletak jawatan. 3 pingat emas Sukan Sea, 2 kejuaraan Pesta Bola Merdeka dan 1 Piala AFF dibawah pemerintahan Tuanku amat kami hargai. Tapi saya sebagai peminat sejak zaman stadium Merdeka amat merindui jeritan ke Olimpik, kepuasan ketika menewaskan Korea Selatan, Jepun, meraikan kemenangan dengan memeluk pemain. Kehebatan itu sudah hilang Tuanku.
Sekian.