[VIRAL] Foto Gadis Berhijab Pegang Anjing Di Pulau Pinang Tersebar. Ini Kisah Sebenarnya
Adakah kempen 'I Want To Touch A Dog' kini merebak ke Pulau Pinang pula?
Beberapa hari lalu, sekeping gambar seorang wanita bertudung putih mendukung seekor anjing menjadi perbualan hangat penduduk di negeri Pulau Pinang
Aksi wanita itu yang mengenakan tudung berwarna putih, berbaju T dan berseluar jeans mula mendapat perhatian ramai dalam laman media sosial termasuk WhatsApp sejak beberapa hari lalu ekoran perbuatannya yang seolah-olah tidak sensitif dengan isu memegang anjing.
sinarharian.com.myDifahamkan, gambar berkenaan mula mendapat perhatian apabila Facebook Penang Kini bertindak memuat naiknya serta menyelitkan sedikit elemen provokasi
Dipercayai gambar berkenaan pada awalnya dikongsi sendiri pengendali laman sosial sebuah pusat beli-belah lokasi penganjuran pameran anjing berkenaan iaitu Penang Times Square.
Gambar terbabit kemudiannya turut dikongsi pengendali laman sosial Penang Kini.
Selain media sosial, isu kontroversi ini turut diterbitkan dalam beberapa keratan akhbar tempatan seperti Sinar Harian
Setelah menjadi semakin "panas", Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) diminta menyiasat dan mengambil tindakan tegas berhubung perkara terbabit
Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim berkata, Pemuda UMNO mahu pihak JAINPP mengambil tindakan tegas dan sewajarnya supaya perkara itu tidak berulang di Pulau Pinang.
"Kami kesal, kecewa, marah dan menyelar program berkenaan kerana merasakan seperti ada agenda tersembunyi pihak tertentu untuk meneruskan kesinambungan program yang mencetuskan kontroversi negara iaitu program 'I Want To Touch A Dog'," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rafizal juga berkata, penganjur dilihat seperti langsung tidak mengira sensitiviti umat Islam yang ada di negara ini dengan melaksanakan program itu secara terbuka
"Ini ditambah pula dengan gambar seorang perempuan bertudung yang mendukung seekor anjing dan saya percaya ia sengaja diviralkan oleh pihak tertentu seolah-olah ingin menyindir umat Islam."
"Kepada pihak tertentu yang ada agenda dan muslihat, kami minta mereka hentikanlah dan Pemuda UMNO Pulau Pinang tidak akan sesekali bertolenrasi serta berganjak daripada mempertahankan agama Islam," katanya.
Dalam masa yangs sama, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang mengesyaki terdapat tangan-tangan tersembunyi di kalangan orang bukan Islam yang telah mempengaruhi gadis itu untuk melakukan aksi tersebut
Kenyataan Media GPMS Pulau Pinang:
ISU GADIS BERGAMBAR MENDUKUNG ANJING - GPMS NEGERI PULAU PINANG SEDIH, KECEWA DAN KESAL
Assalamualaikum & Salam sejahtera
GPMS Negeri Pulau Pinang ingin melahirkan rasa sangat sedih, kecewa dan kesal terhadap tindakan seorang gadis mendukung anjing sempena program “Be A Paw Walker” yang dianjurkan di Penang Times Square baru-baru ini.
GPMS Negeri Pulau Pinang merasakan tindakan gadis ini sebenarnya adalah disebabkan terlalu ghairah dan terikut-ikut dengan tindakan gadis-gadis Islam ketika program “I Want To Touch A Dog” yang dianjurkan di Kuala Lumpur tahun lalu.
Gadis ini dilihat sengaja mahu mencetuskan rasa tidak senang dan membangkitkan kemarahan di kalangan ummat Islam apabila membenarkan gambarnya diambil oleh orang ramai khususnya di kalangan bukan Islam. Kesannya, gambar tersebut telah menjadi viral dan tindakan gadis ini juga telah mengundang fitnah terhadap agama Islam dan telah mengaibkan ummat di negara ini.
Tidak keterlaluan jika GPMS Negeri Pulau Pinang mengesyakki terdapat pihak-pihak tertentu atau tangan-tangan tersembunyi di kalangan bukan Islam yang telah mempengaruhi gadis ini untuk melakukan aksi tersebut dalam usaha mereka untuk sengaja melakukan provokasi menghina Islam dan membangkitkan kemarahan di kalangan ummat Islam.
Justeru, GPMS Negeri Pulau Pinang berharap agar pihak berkuasa khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Plau Pinang untuk menyiasat kejadian ini dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas gadis yang tersebut supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan.
GPMS Negeri Pulau Pinang juga ingin menasihati golongan belia Islam khususnya dan seluruh ummat Islam amnya agar berhati-hati dengan setiap tindakan yang dilakukan supaya tidak terjebak dengan perkara atau tindakan yang boleh menyusahkan diri kita atau memalukan serta menghina agama Islam. Sewajarnya kita menfaatkan masa lapang yang ada dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan yang boleh mendatangkan pahala daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah.
Sekian, terima kasih.
AZDY BIN MOHD ARSHAD
Pengerusi Biro Agama
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Pulau Pinang
Persoalannya, apakah situasi sebenar ketika gambar berkenaan diambil? Benarkah program ini diasaskan oleh orang Melayu Islam? Begini ceritanya.
Menurut SuaraTV, gambar kontroversi itu diambil ketika kempen 'Be A Paw Walker’ atau 'Opt To Adopt' diadakan di Penang Times Square baru-baru ini. Ia dianjurkan oleh sekumpulan pelajar dari Han Chiang College di Pulau Pinang.
Kempen ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penjagaan anjing liar sebagai haiwan peliharaan. Program ini turut mendapat kerjasama dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ‘Save Our Strays (SOS)'.
Ia juga diadakan bagi menggalakkan kasih sayang dan menghapuskan pandangan negatif terhadap haiwan liar terutamanya anjing.
Penolong Ketua Projek, Tang Ching Yee ketika dihubungi SuaraTV berkata sepanjang kempen tersebut diadakan hanya seorang gadis Melayu yang datang
“Seingat saya, sepanjang kempen itu berlangsung hanya seorang sahaja gadis Melayu yang datang, dia datang pada hari Ahad (8 Mac) bersama seorang rakan lelaki berbangsa Cina."
“Dia tidak ambil anjing liar untuk bela, hanya datang untuk bergambar sebelum beredar tidak lama selepas itu” jelas Tan.
NGO 'Save Our Strays (SOS)' ternyata berang dengan kenyataan fitnah yang dikeluarkan laman Penang Kini terbabit dan menggesa mereka untuk memohon maaf dengan segera
Setelah perkara sebenar dibongkar, laman Penang Kini mengambil keputusan untuk memohon maaf kerana telah menimbulkan salah faham dikalangan orang ramai
Meskipun begitu, SOS masih tidak berpuas hati dengan permohonan maaf tersebut. Mereka meminta Penang Kini mengeluarkan kenyataan maaf secara rasmi di media.
Apa pula kata orang ramai? Berdasarkan pemerhatian kami, majoriti netizen mencemuh tindakan fitnah Penang Kini tersebut sambil menyokong kenyataan SOS yang menggesa mereka memohon maaf secara rasmi.
Ya, begitulah kisahnya. Nasihat kami, jika ternampak sesuatu yang mencurigakan, usahlah kita membuat andaian yang bukan-bukan dan terus menabur fitnah. Siasat dahulu sumbernya dan pastikan ianya sahih sebelum bertindak untuk memberitahu orang ramai.
Bak kata pepatah, "Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata buruk padahnya."
Jadikan isu ini sebagai satu pengajaran kepada kita semua agar menjadi lebih berhemah selepas ini di laman sosial. Kita sudah pun berada di tahun 2015. Jadi, perkara sebegini tidak seharusnya berulang lagi pada masa akan datang.