Ziyad Raih Pingat Perak Di Sukan Paralimpik Paris 2024, Tebus Kekecewaan Edisi Lalu
Tahniah Ziyad!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jaguh olahraga paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menamatkan cabaran di pentas Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan membawa pulang pingat perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual)
Menurut laporan Harian Metro, Ziyad mengesahkan perak miliknya dengan catatan 17.18 meter (m) pada lontaran ketiganya itu yang berlangsung di Stade de France.
Atlet negara berusia 34 tahun itu tewas dengan kehebatan atlet muda Ukraine Oleksandr Yarovyi yang mencatatkan 17.61m untuk berada di tempat pertama.
Walaupun tidak berjaya membawa pulang emas untuk negara di temasya kali ini, namun Ziyad harus berbangga kerana mampu menghadiahkan pingat perak, sekali gus memadam kekecewaan di Tokyo dulu.
Muhammad Ziyad turut mendedikasikan pingat perak dimenanginya buat bapa, Zolkefli Othman yang menyambut hari lahir ke-70 pada 1 September lepas
"Alhamdulillah, untuk sumbang perak ia lebih baik daripada tiada langsung. Bagi saya memang harapan tinggi untuk pingat emas namun saya tidak rasa kecewa sangat kerana sudah cuba beri terbaik tadi.
"Kisah yang menghantui saya (Tokyo 2020) akhirnya sudah habis. Lega rasanya kerana detik tersebut memang menghantui saya sejak tiga tahun lepas hingga saya tertekan dan kini saya dapat buktikan dengan pingat perak, macam mimpi pun ada.
"Saya tidak pernah terfikir untuk pencen lagi. Mungkin saya akan beraksi lagi untuk Sukan Paralimpik seterusnya dan bergantung pada keadaan badan saya ketika itu untuk cuba buat terbaik.
"Selepas ini, saya akan berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!