Selepas SPM, Ramai Orang Perlekeh Keputusan Saya Ambil Masscom Di UiTM. Ini Cerita Saya…

In My Humble Opinion...

    • Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak SAYS.

      says.com

  • Sejak pagi semalam saya scroll FB, boleh dikatakan hampir semua status dan post berkaitan SPM 2016. Memang sejak malam kelmarin lagi sudah ramai juga yang bercerita mengenai topik ini di Twitter.

    • Dan beberapa jam selepas itu, saya ternampak seorang rakan berkongsi swafoto bersama adiknya beserta senyuman besar seakan-akan menang sesuatu. Ya, adiknya berjaya memperoleh 9A untuk SPM tahun lalu. Bangga betul rasanya kan bila ada ahli keluarga kita berjaya memperoleh keputusan sedemikian rupa walaupun kita dulu macam so-so je?

      8,647 orang.

      Itulah bilangan angka calon yang mendapat semua A yang kita banggakan dan yang kita raikan. Tetapi bagaimana pula dengan yang lain? Bagaimana pula dengan mereka yang cukup-cukup makan? Dan bagaimana pula dengan mereka yang gagal dalam salah satu mata pelajaran?

      Ada masa depan tak mereka ni?

      says.com

  • Ramai yang kata ini hanyalah permulaan. Dan kalau anda perasan ramai abang-abang dan kakak-kakak berkata "welcome to the real world".

    • Yes ayat ni memang agak cliche sebab bila anda tamat saja pengajian di kolej atau universiti nanti, ini adalah ayat sama yang akan anda dengar lagi dan lagi.

      Habis sekolah dengar ayat ni, habis study ayat ni. Nak kerja pun dengar ayat ni?

      Pada saya real world itu bergantung jalan mana yang anda ambil. Setiap masa kita perlu bersedia sebab cabaran di depan kita tak tahu apa macam bentuknya. Teringat lagi waktu dapat keputusan SPM dulu. Sebagai science student waktu tu yang saya yakin dapat A hanyalah satu subjek iaitu Bahasa Melayu. Malulah kalau karangan saya dah dijadikan sebagai salah satu karangan contoh dalam batch tapi tak dapat A kan? Science subjects? Hmm lelap mata ajelah, lulus pun dah bersyukur. Yelah, bukan nak sangat masuk kelas sains pun tapi kena paksa dengan cikgu. Katanya masa depan lebih cerah di situ.

      Seperti yang dijangka, saya peroleh A+ untuk subjek BM saya. Subjek sains? Semua dapat C, C+. Jadilah janji kredit kan? Subjek lain tu biarlah rahsia. Sudah cukup saya katakan saya tersenyum besar dan terus call keluarga waktu tu.

      Kemudian datang cikgu pada saya dan bertanya, "Rozaidi lepas ni awak nak sambung apa? Dekat mana?". Saya gelengkan kepala tapi jauh di sudut hati saya memang tahu saya nak ambil apa. Cuma malas nak beritahu takut nanti direndah-rendahkan oleh cikgu.

      says.com

  • Bermulalah perjalanan saya mencari universiti mana yang saya mahu jejaki. Tapi sebenarnya memang saya dah lama target nak masuk UiTM sebab bidang masscom yang terbaik hanyalah di sana.

    • Saya isi borang UPU dan UiTM saya letakkan sebagai pilihan pertama. Asasi? Matrikulasi? Saya mohon juga tapi sekadar cukup syarat. Kata orang apply je semua. Selepas itu saya dapat surat temuduga UiTM. Waktu ni hati berkobar-kobar nak pergi walaupun matrikulasi sudah terlebih awal 'memanggil' saya ke sana. Tapi saya ketepikan dulu dan menghadiri temuduga tersebut.

      GAGAL. Saya gagal temuduga UiTM setelah memeriksa permohonan secara online. Saya redha dan cuba tenangkan hati pasti ada universiti lain yang akan panggil. Tetapi telahan saya meleset. Satu IPT pun tidak memanggil saya dan waktu itu hanyalah matrik yang membuka jalan saya untuk sambung study. Sedihnya hati waktu tu hanya tuhan saja yang tahu. Emak dan ayah memang dari dulu tak pernah halang minat anak-anak, namun jauh di sudut hati mereka, mak ayah mahukan saya masuk universiti. Tambah-tambah lagi ayah yang mahukan saya menjadi guru. Tapi apakan daya tak ada rezeki.

      Kawan-kawan yang mengetahui perkara tu turut terkejut. Kata mereka keputusan saya jauh lebih baik daripada mereka tetapi bagaimana saya boleh tidak dapat tawaran satu IPT pun? Bila diasak dengan soalan begitu, lagilah luluh hati ini.

      Sekarang saya hanya ada peluang satu saja iaitu matrikulasi. Saya pun mula berfikir, berjayakah saya di sana nanti?

      says.com

  • Kat matrikulasi ni belajar dia memang agak laju. Kadang-kadang stress sebab tak terkejar. Belajar pula sains, dah sah-sah buat saya sakit kepala.

    • Kawan datang dari macam-macam latar belakang. Ada yang dari MRSM, sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah harian biasa, sekolah agama dan macam-macam lagi. Duduk matrik ni tak kurang lebih macam duduk sekolah berasrama sebab hari-hari kena pakai formal ke kelas dari 8 pagi hingga 5 petang. Setiap hari Isnin ada perhimpunan dan apa yang membezakan hanyalah pelajar dibenarkan bawa handphone. Eleh, macam lah anda semua tak pernah bawa handphone zaman asrama dulu. So sama je kan?

      Kat sini belajar memang gila. Apa yang buat saya rasa bertambah gila, budak MRSM sraight A's pun kena extend satu semester sebab tak lepas pointer. Scary kan? Dekat sini anda akan jumpa kawan yang tak pernah nampak belajar tapi dapat 4 flat setiap kali semester. Anda akan jumpa orang yang study macam nak gila, tapi keputusan cukup-cukup makan je.

      To make is short, selepas setahun berhempas pulas, saya pun berjaya tamatkan matrikulasi dengan jayanya. Pointer tak payah tanyalah biasa-biasa saja. Tapi lepas lah kalau nak sambung study and ambil bidang sains lagi. Benda yang sama, bila kawan tanya "Jedi, kau nak sambung apa?" saya tetap jawab masscom dan mereka buat muka pelik.

      "Tak nak sambung benda lain ke?". Perbualan terhenti di situ. Malas saya mahu teruskan takut nanti saya sendiri yang down.

      Untuk pengetahuan anda semua, kebanyakan yang berjaya di matrikulasi ini adalah mereka yang berasal daripada sekolah biasa-biasa. Rakan matrik saya peroleh 4 flat walaupun dulunya bukanlah pelajar cemerlang di sekolah. Result SPM pun bukan lah hebat seperti pelajar daripada sekolah elit lain. Bukan seorang dua, tapi ramai. Cukup ramai.

      says.com

  • Habis zaman matrikulasi, akhirnya saya berjaya masuk UiTM dan ambil bidang komunikasi yang memang dah lama saya mahukan

    • Tetapi apabila cikgu dengar saya sambung masscom setelah tamat matrikulasi ada yang pelik.

      "Penat-penat masuk matrik, sambung masscom? Sambunglah sains." Saya tersenyum waktu itu dan saya tahu mana arah tuju saya. Lepas masuk unversiti, saya ingatkan dengan peroleh keputusan cemerlang dan anugerah dekan setiap semester sudah cukup membanggakan semua orang.

      Ternyata tidak. Terdapat suara-suara sumbang dari saudara-mara yang mempersoalkan tentang perkara tersebut. Katanya bidang ini senang dan mudah sebab itu saya mampu peroleh pointer tinggi setiap semester. Lagi-lagi bila belajar di UiTM. Ramai pandang kami ni sebelah mata je. Aduh, sakitnya hati waktu itu hanya tuhan saja yang tahu. Mereka tak tahu macam mana nak gila kita belajar. Tak cukup tidur, sakit kepala sama seperti pelajar kos lain. Tapi, Alhamdulillah emak dan ayah tetap gembira dan berasa bangga.

      Saya persetankan semua itu dan berasa lebih bersemangat. Akhirnya nah! Saya patahkan kata-kata mereka dengan peroleh ijazah kelas pertama. Dan perkataan itu tercatat pada skroll yang saya terima pada tahun lalu. Saya gembira kerana saya berjaya mengelakkan diri daripada membayar balik pinjaman PTPTN yang mana menjadi beban kebanyakan anak muda masa kini. Syukur tuhan itu ada.

      says.com

  • Dalam hidup ni, tak semua benda yang kita mahukan kita akan dapat dengan cepat. Mungkin anda perlu melalui jalan lain dahulu sebelum bertemunya.

    • Saya kini bekerja sebagai penulis. Dan baru setahun jagung bergelar penulis. Sesekali saya tersedar dahulunya penulisan saya dibaca hanya oleh rakan-rakan sekolah, tetapi kini ia boleh dibaca oleh semua masyarakat Malaysia. Alhamdulillah saya bebas hutang PTPTN, saya berjaya mendapat pekerjaan kurang dari 6 bulan selepas graduasi. Sedangkan masih ramai lagi rakan-rakan lain di luar sana menganggur tidak bekerja.

      Dari zaman sekolah, matrikulasi, hinggalah zaman universiti boleh saya katakan ramai yang memperlekehkan keputusan saya. Tapi dari situ jugalah saya berjaya belajar banyak perkara. Kekadang kita mahu lari dari sesuatu benda, tetapi benda itulah yang akan datang tak berhenti-henti. Contohnya seperti bidang sains yang terpaksa saya hadap berkali-kali walaupun saya tak mahukannya. Tetapi percayalah, disebabkan pengalaman ini juga yang menjadikan siapa saya hari ini.

      Disebabkan bidang masscom ini jugalah saya belajar banyak perkara baru. Kemahiran yang tidak semua orang ada. Selain menulis saya juga seorang freelance photographer. Saya sahut saranan Ahmad Maslan jalankan #2kerja. Alhamdulillah, pendapatan saya stabil, insha Allah tahun depan jumpa jodoh dah boleh kahwin. :P

      Sungguh saya katakan, jangan sesekali putus asa di tengah jalan untuk memilih jalan yang anda mahukan. Nasihat orang sekeliling itu memang penting tetapi anda tidak seharusnya mengikuti kehendak mereka. Cerita saya ini bukanlah cerita orang-orang berjaya dalam kehidupan, tetapi sekurang-kurangnya setakat ini saya sudah berjaya peroleh apa yang saya mahukan. Keputusan SPM bukanlah penentu segalanya tetapi azam dan usaha itulah yang anda perlu pegang.

      Rakan baik saya yang dahulunya bersedih kerana tidak mendapat pilihan lain selain bidang kulinari sewaktu degree pun kini sudah mencipta nama di luar negara. Bakal menjadi Chef pastri berjaya membawa nama Malaysia. Teman sekolah saya yang dahulunya tidak cemerlang dalam pelajaran pun kini berjaya dalam perniagaan. Pandu kereta besar di jalan raya. Tiada apa yang mustahil, yakin dengan apa anda lakukan.

      Oh ya, ingat dalam kita mengejar kejayaan, ibu bapa dan tuhan itu jangan kita lupakan.

      says.com

  • LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

  • Nah, baca lagi artikel yang best pasal UiTM:

Leave a comment