Gadis Ini Berjaya Peroleh 6A Dalam SPM Walaupun Terpaksa Menetap Di Pusat Snuker
Dia hanya mengambil masa dua bulan untuk memperolehi keputusan tersebut.
Khamis lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2016 telah pun diumumkan. Ramai antara mereka telah memperoleh keputusan cemerlang termasuk seorang pelajar yang bernama Farah Marcella.
Walaupun hidupnya serba kekurangan dan sering menghadapi banyak dugaan, pelajar SMK Seri Kota Puteri Pasir Gudang, Johor, ini telah mendapat keputusan yang cemerlang dengan memperoleh 6A.
Kisah hidupnya yang berkurang nasib baik ini telah dikongsikan oleh gurunya Puan Suraya Abdul Rahim di mana beliau menceritakan tentang kesusahan yang di alami oleh pelajarnya itu.
Melalui perkongsian beliau di Facebook, beliau menceritakan bahawa Farah dan adik-beradiknya telah ditinggalkan bapa dan sejak itu tiada tempat untuk berteduh.
Menurutnya lagi, Farah pernah dibuang sekolah ketika dia berada di tingkatan empat akibat masalah kehadiran. Namun, sewaktu di tingkatan lima, Farah telah mendaftar semula ke sekolah dan bersekolah seperti biasa.
Sewaktu di tingkatan lima, Farah juga pernah tidak hadir ke sekolah selama dua bulan. Ini kerana dia sibuk membantu ibunya dengan bekerja di warung menjual burger bagi mengurangkan beban yang ditanggung ibunya itu.
Ibunya pula merupakan seorang ibu tunggal dan sedang bekerja di sebuat pusat hiburan snuker. Disebabkan tiada tempat untuk berteduh, dia bersama ibu dan adik-beradiknya kini menetap di sebuat pusat hiburan snuker di Masai, Johor Bahru.
Sebagai seorang guru yang menyedari kesusahan yang dialami pelajar beliau, Cikgu Suraya telah mengambil inisiatif untuk membantu Farah dan menawarkan Farah untuk tinggal bersamanya selama dua bulan sebelum menduduki SPM.
Farah telah banyak ketinggalan dalam pelajaran. Oleh itu, dia tekad untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya bagi membalas budi gurunya yang telah membantu dia dan keluarganya.
Farah berhasrat untuk menyambung pelajaran dan mencapai cita-citanya bagi mengubah nasib keluarganya pada masa depan.
Semoga kisah Farah ini dapat memberi inspirasi kepada semua pelajar di luar sana. Dan kami berharap dia akan mempunyai kehidupan yang cerah di masa akan datang.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, anda bolehlah dapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Cikgu Suraya di laman Facebook milik beliau.