seismik

Ini 4 Fakta Mengenai Imam Fadi Yang Ditembak Mati Oleh Ejen Negara Asing Di Kuala Lumpur

Beliau merupakan seorang lelaki yang sangat pendiam dan hanya suka meluangkan masa bersama keluarga.

Cover image via Aqsa Syarif / Facebook

Seorang pensyarah universiti swasta dan juga imam yang berasal dari Palestin ditembak mati di luar kondominium di Jalan Gombak, Setapak pada 21 April ketika beliau sedang berjalan ke surau untuk menunaikan solat Subuh

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Harian Metro, Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya menerima maklumat berhubung lelaki Arab berusia 35 tahun yang telah ditembak mati dipercayai oleh dua lelaki yang menaiki motosikal berhadapan kondominium itu pada jam 6 pagi ketika beliau sedang berjalan untuk ke surau berdekatan.

Siasatan awal telah mendapati suspek yang menaiki motosikal melepaskan lebih 10 das tembakan. Pemeriksaan awal menunjukkan empat kesan tembakan telah dikesan pada bahagian badan mangsa.

Dr Fadi yang baru berusia 35 tahun telah meninggalkan 3 orang anak dan seorang balu selepas kejadian tersebut.

Antara laporan lain, Dr Fadi dikatakan telah ditembak mati oleh ejen negara asing. Namun, ianya bukan kerana dendam.

Kerajaan Malaysia telah mengesyaki bahawa pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) iaitu Dr Fadi M R Albatsh ada kaitan dengan ejen perisikan negara bermusuhan dengan Palestin, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau juga berkata, "Siasatan awal mendapati perbuatan itu dilakukan dua lelaki berkulit putih yang menaiki motosikal berkuasa tinggi jenis BMW 1100 kuasa kuda (CC).

“Saya turut berdukacita terhadap kematian Fadi yang berdasarkan maklumat Polis Bukit Aman adalah rakyat Palestin yang sudah 10 tahun menetap di Malaysia dan pakar dalam bidang kejuruteraan elektrik serta roket.

“Kematian beliau mungkin ada kaitan dengan perisikan dari negara luar yang mengesyaki Fadi mempunyai saham daripada sumbangan melatih pelajar UniKL (dalam membuat roket) atau menjadi liabiliti dengan sebuah negara bermusuhan dengan Palestin,” kata Zahid.

Polis Malaysia juga telah menubuhkan pasukan khas siasatan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa untuk menyiasat kes ini dengan lebih lanjut

Ahmad Zahid juga berkata bahawa polis mempunyai tanggungjawab untuk menahan kedua-dua suspek itu kerana perbuatan berkenaan dilakukan di Malaysia dan mangsa adalah pemastautin tetap di negara ini.

Beliau berkata, "Siasatan polis membabitkan pelbagai aspek termasuk mendapatkan bantuan polis antarabangsa (INTERPOL), polis ASEAN (ASEANAPOL) dan agensi perisikan asing."

Menurut para pelajar Dr Fadi, beliau sering berkongsi cerita mengenai negara Palestin dan bercakap tentang keluarganya serta penindasan orang Palestin

“Saya pernah mengikuti kuliahnya ketika saya dalam proses menyiapkan projek tahun akhir. Dia seorang yang amat baik kepada semua pelajarnya.

“Dia kerap berkongsi kisah keluarganya dan penindasan rakyat Palestin dan sering memaklumkan kepada kami betapa bangganya beliau dilahirkan di Palestin.

“Pejabatnya dipenuhi dengan poster mengenai Gaza dan perjuangan warga Palestin menentang kekejaman rejim Zionis. Saya amat terkejut mendengar berita pembunuhannya,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Berikut merupakan 4 fakta tentang arwah Imam Fadi:

1. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, Imam Fadi adalah seorang jurutera elektrik yang pakar dalam pembuatan roket

Dr Fadi sepatutnya pergi ke Turki pada petang Sabtu untuk menghadiri persidangan antarabangsa. Beliau juga mempunyai hubungan dengan organisasi perisikan sebuah negara dan telah aktif dalam NGO Islam untuk memperjuangkan Palestin, kata Zahid.

2. Hamas, pihak berkuasa pemerintahan De Facto di Gaza berkata salah seorang anggotanya telah "dibunuh" di Malaysia.

'Palestinian Islamic Resistance Movement' bagaimanapun menuduh Mossad iaitu ejen perisikan Israel yang melakukan pembunuhan itu.

Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh BBC, Hamas menyifatkan Dr Fadi sebagai "martir" - istilah yang biasanya digunakan untuk orang yang dibunuh oleh gerakan Israel.

Dr Fadi terkenal dengan inovasi saintifiknya dan telah menghadiri banyak persidangan antarabangsa mengenai tenaga di Jepun, England dan Finland. Beliau juga merancang untuk mengetuai satu lagi persidangan mengenai tenaga di Turki.

The Star Online melaporkan Hamas mengatakan bahawa Dr Fadi telah menyumbang kepada pembangunan sektor tenaga Malaysia. Beliau mencipta dan membangunkan beberapa set teknikal dan mineral yang digunakan untuk menjana elektrik.

Sementara itu, Al Jazeera melaporkan seorang jurucakap Hamas telah mengesahkan bahawa Dr Fadi adalah ahli organisasi Hamas.

3. Keluarganya secara langsung menuduh Mossad menjadi angkara pembunuhan tersebut

"Kami menuduh Mossad Israel yang membunuh anak kami," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak keluarga Dr Fadi.

Keluarganya bersama pemimpin kanan Jihad Islam, Khaled al-Batash menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk melakukan penyiasatan yang menyeluruh dan cepat ke atas pembunuhan itu dan menangkap mereka yang bertanggungjawab sebelum pembunuh dapat melarikan diri.

4. Menurut Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), kepakaran teknikal Dr Fadi yang menjadikannya sasaran penjahat

Ketua Pegawai Eksekutif Kemanusiaan Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar juga percaya bahawa kebijaksanaan Fadi dalam bidang kejuruteraan mungkin menjadi sebab beliau dibunuh.

Menurut beliau, Fadi adalah seorang lelaki yang mempunyai keluarga sederhana dan seorang jurubahasa Quran yang sempurna. Beliau juga mempunyai tiga orang anak berusia antara lima bulan dan enam tahun. Selain itu, beliau tidak mempunyai musuh yang diketahui yang ingin membunuhnya.

"Jadi, satu-satunya perkara yang saya percaya yang membuat pembunuhan ini berlaku adalah kepakarannya teknikalnya. Beliau mempunyai PhD dalam kejuruteraan elektrik. Penting juga, bagi mereka (rakyat Palestin) untuk membina semula Gaza," katanya kepada Malaymail.

Menurut MyCARE, "Kehilangan Dr Fadi tidak melemahkan kami bahkan menguatkan untuk terus berkerja untuk ummah sehingga nafas terakhir inshaallah."

[TERBARU] Pihak Polis telah mengeluarkan lakaran wajah suspek yang dikatakan menembak mati Dr Fadi dalam kejadian tersebut

Suspek pertama

Image via Twitter @NST_Online

Suspek kedua

Image via Twitter @NST_Online

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh New Straits Times Online, IGP Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata bahawa lakaran gambar kedua lelaki yang disyaki menembak pensyarah Palestin Dr Fadi Albatsh telah war-warkan di setiap pintu masuk dan keluar negara untuk memudahkan siasatan lanjut dilakukan.

Apa-apa pun, kami mendoakan semoga Almarhum ditempatkan bersama para syuhada. Amin.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Antara perkongsian lain di SEISMIK:

You may be interested in: