seismik

Inilah Bagaimana Surah Hud Beri Ilham Untuk Saya Berikan Nama Anak Ketiga

Salah satu tanggungjawab sebagai bapa, dan ibu, kepada seseorang anak adalah menamakan anak dengan nama yang baik.

Cover image via Syahr Musafir/Facebook

Artikel ini ditulis oleh Dr Syahr Musafir di laman Facebook, kemudian diambil dan dikongsi semula di SAYS atas kebenaran beliau.

Saya suka membaca kisah-kisah inspirasi dan salah satu caranya adalah melalui pembacaan al-Qur'an, yang sentiasa menjadi ubat mujarab untuk memujuk hati sendiri dan memulihkan keadaan.

SURAH HUD
Orang yang rapat dengan saya pasti tahu saya sangat suka membaca Surah Hud dan saya akan ulang-ulang baca maksud ayat-ayatNya dalam surah ini. Surah Hud ini diturunkan pada amul huzn (tahun kesedihan) iaitu tahun kematian Abu Talib dan Khadijah, serta bersekali dengan tekanan berat yang dihadapi oleh kaum muslimin ketika itu sehinggakan Syed Qutb mengulas dalam 'Tafsir Fi Zilalil Qur'an'nya bahawa gerakan dakwah pada waktu itu seolah-olah terhenti apabila tidak seorang pun orang kafir menganuti agama Islam sepanjang tempoh ini.

Surah Hud, pada ayat 12 menceritakan situasi ketika itu; "Maka boleh jadi kamu hendak meninggalkan sebahagian dari apa yang telah diwahyukan kepadamu dan sempit kerananya dadamu, kerana khuatir mereka akan mengatakan, Mengapa tidak diberikan kepadanya perbendaharaan (kekayaan) atau datang bersama dia malaikat? Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan dan Allah Pemelihara segala sesuatu?”.

facebook.com
Image via tafsirq.com

Penentangan terhadap Islam ketika itu amat dahsyat sehingga digambarkan dada Rasulullah SAW menjadi sempit. Dalam Sirah Ibnu Ishak, Urwah bin Zubair mengungkapkan sebuah kisah di mana seorang kafir menumpahkan tanah di atas kepala Rasulullah SAW. Lalu baginda masuk ke dalam rumah dalam keadaan tanah masih mengotori kepalanya. Salah seorang puteri baginda menghampiri baginda sambil menangis dan membersihkan kotoran itu dari wajah dan kepala Rasulullah s.a.w. Baginda kemudiannya berkata: Jangan menangis puteriku, sesungguhnya Allah melindungi ayahmu. Sebelum ini orang Quraisy tidak pernah menyakitiku hingga kematian Abu Talib." Cubalah bayangkan kesedihannya...

Berderet-deret kisah para nabi dan rasul yang diceritakan dalam Surah Hud ini - kisah Nabi Nuh (ayat 25-49), Nabi Hud (ayat 50-60), Nabi Solleh (ayat 61-68), Nabi Ibrahim dan Nabi Lut (ayat 69-83), Nabi Syuaib (ayat 84-95) dan Nabi Musa (ayat 96-99). Maka, terlalu banyak pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya. Antaranya adalah hakikat bahawa dakwah ini sudah bermula sejak beribu-ribu tahun yang lalu, sejak zaman Nabi Idris dan Nabi Nuh AS lagi dan seruannya sama iaitu TAUHID.

Kisah-kisah nabi memaparkan bahawa setiap perjuangan ini DITOLAK oleh masyarakat, dan setiap rasul menunjukkan kepada kita CARA MENGHADAPINYA iaitu yakin pada Allah SWT dan istiqamah meneruskannya. Sekaligus ini menerangkan kepada kita nilai-nilai targhib (galakan) supaya kita tetap menyebarkan kebenaran dan tarhib (ancaman) bahawa para penentang agama Allah SWT pasti diazab suatu masa nanti. Sebagaimana ayat 121 & 122 Surah Hud menyebut, "Dan katakanlah kepada orang yang tidak beriman: Buatlah apa sahaja menurut kemampuanmu, sesungguhnya Kami juga berbuat sesuatu. Dan tunggulah (akibat perbuatanmu)"

facebook.com
Image via tafsirq.com

Sesungguhnya dunia ini HANYALAH medan perjuangan yang penuh dengan ujian. Dan akhirat adalah sebaik-baik tempat kita melihat hasil daripada setiap perjuangan kita.

Kisah-kisah yang diceritakan dalam Surah Hud ini satu per satu membuatkan saya jatuh cinta pada para rasul Allah SWT. Lebih-lebih lagi kisah-kisah ini mententeramkan Nabi Muhammad SAW dalam mengharungi ujian menyebarkan Islam, yang mana Rasulullah SAW telah berjaya menghadapinya sehinggalah Islam sampai kepada kita pada hari ini.


KISAH NABI HUD DAN KAUM 'AD
Setelah kehancuran masyarakat kaum Nabi Nuh melalui banjir besar (boleh baca sirah Bahtera Nuh), kaum 'Ad adalah manusia baru yang Allah SWT berikan banyak kelebihan terutamanya rupa paras fizikal yang hebat (Surah al A'raf: ayat 69), harta kemewahan seperti bangunan tinggi (Surah al Fajr: 7-8) yang dibanggakan (Surah Asy Syu'ara: 128-129), nikmat melimpah-ruah (Surah Asy Syu'ara: 130-134) dan sebagainya. Namun, kaum 'Ad menentang dan mempersoalkan segala apa yang diseru oleh Nabi Hud AS (Surah al A'raf: 65-68, bersambung di Surah Hud: 52-57, Surah al A'raf: 70-74) dan akhirnya diazab dengan pedih melalui angin taufan (Surah al Ahqaaf: 24) selama 8 hari 7 malam (Surah al Haqqah: 6-8).

Salah satu inspirasi yang digambarkan daripada kisah Nabi Hud AS adalah tahap kemewahan masyarakat pada zamannya itu boleh diibaratkan seperti zaman kini. Mereka berbangga-bangga dengan kemodenan pertanian dan ciptaan bangunan mereka yang tinggi-tinggi. Zaman kita pula, arus kemodenan teknologi yang amat pesat dan juga manusia berlumba-lumba menjadi golongan paling tinggi tidak kiralah dalam bidang apa pun. Nabi Hud AS telah mempersembahkan bahawa baginda telah menghadapi kaum yang sombong dan keras kepala itu dengan penuh kesabaran, ketabahan dan kelapangan dada. Baginda tidak sesekali membalas ejekan dan kata-kata kasar mereka dengan kekasaran tetapi menolaknya dengan kata-kata yang halus yang menunjukkan bahawa baginda dapat menguasai emosi dan tidak sampai kehilangan akal atau kesabaran.

facebook.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via www.isains.com

KISAH BURUNG HUD HUD DAN NABI SULAIMAN AS
Kisah burung Hud-hud dengan Nabi Sulaiman AS yang bukan sahaja menguasai dunia manusia tetapi juga dunia jin, haiwan termasuk burung-burung adalah sangat unik dan penuh iktibar. Seekor burung hud-hud yang melakukan kerja dakwah tanpa ada perintah terlebih dahulu. Ini merupakan tindakan memanfaatkan fursah (peluang) untuk menjalankan misi dakwah.

“Dan dia (Sulaiman) memeriksa burung-burung lalu berkata, “Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir. Sungguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras, atau benar-benar menyembelihnya kecuali jika benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang.” Maka tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata, “Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya; dan kubawa kepadamu dari negeri Saba suatu berita penting yang diyakini. Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar.” (Surah an Naml: 22-23)

Burung hud hud telah menunjukkan ciri yaqdzah (sedar tentang misi), diqqah (teliti) dalam beramal dan himmah (semangat), kecerdasan dan kecemerlangan pemikiran yang mencari inisiatif untuk menyampaikan risalah Islam dengan cara luarbiasa, beserta keberanian bertindak.

“Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah; dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk. Agar mereka tidak menyembah Allah yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bumi dan yang mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan.” (Surah An Naml: 24-25)

facebook.com
Image via news sabiluna

Wanita atau raja yang memerintah kaum Saba’ yang disebutkan dalam ayat itu dikenal dengan nama “Balqis” yang masa pemerintahannya adalah satu masa dengan pemerintahan Nabi Sulaiman. Balqis adalah seorang puteri berketurunan Ya’rub bin Qahtan yang telah berjaya membawa rakyat Saba’ mengecapi kemakmuran dan ketenteraman sehingga disayangi oleh rakyatnya dan dikenali sebagai “Malikatus Saba'” (Ratu Saba’: The Queen of Sheba).

Hasilnya daripada kisah burung hud hud ini, seluruh kerajaan menerima hidayah lalu mentauhidkan Allah SWT melalui asbab burung hud hud yang mempertemukan Ratu Balqis dengan Nabi Sulaiman AS.

facebook.com

DENGAN INI KAMI MENAMAKAN PUTERA KAMI...

Salah satu tanggungjawab sebagai bapa, dan ibu, kepada seseorang anak adalah menamakan anak dengan nama yang baik. Alhamdulillah kami direzekikan seorang anak lelaki yang selamat dilahirkan pada 15 Disember 2016 yang lalu, awal 2 hari daripada tarikh jangkaan iaitu 17 Disember. Alhamdulillah, bayi dan ibu berada dalam keadaan sejahtera wal-afiat.

Dengan segala doa, inspirasi dan setinggi-tinggi tawakkal kepada Allah SWT kami mengambil sempena nama HUD ini buat putera kami dan disekalikan dengan suatu kalimah istimewa yang membawa maksud "Kemuliaan dan Terhormat" yang baik, kami MENGHADIAHKAN nama yang cukup baik ini buat mujahid kami;


HUD EIZAZ bin 'Syahr Musafir'

"Eizaz (atau Izaz)" bererti "Mulia dan Terhormat" sepertimana maksud nama "Aziz" yang selalu kita dengar.

Alhamdulillah, Allah SWT jualah sebaik-baik pemberi ilham yang telah memberi ilham nama "Hud Eizaz" ini kepada saya sejak saya berusia 19 tahun (ya, 19 tahun), menganugerahkan saya seorang bidadari yang mithali sebagai isteri (yang menyetujui cadangan nama ini), merezekikan kami dengan kehadiran dua orang puteri solehah ST & IY yang cerdik seterusnya kelahiran seorang putera HE sebagai cahaya mata ke-3 kami. In-syaa-Allah, Allah SWT jualah sebaik-baik penjaga dan kami bertawakkal Allah SWT memberi hidayah dan taufik kepada kami untuk membesarkan anak-anak ini sebagai hamba-hambaNya yang 'abid dunia & akhirat. Aameen.

facebook.com

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Menarik di SAYS:

You may be interested in: