8 Produk ‘Islamik’ Ini Bukti Orang Kita Berniaga Sambil Tunggang Agama. Akhir Zaman!
Nak tunggang sampai bila?
Cover image via SAYSMinggu lalu, orang ramai tidak henti-henti bercakap mengenai satu topik yang sangat hangat di media sosial iaitu 'Valet Doa'
Kedengaran memang agak pelik, bagaimana doa pun boleh **'divaletkan'**?
[Valet Doa](http://says.com/my/seismik/valet-doa) merupakan satu servis untuk mendoakan hajat-hajat seseorang secara terus di Masjidil Haram, Mekah. Servis ini direka khas bagi sesiapa yang mempunyai hajat yang *urgent*, tetapi tidak dapat untuk ke Mekah dalam masa terdekat.
Image via Valet_Doa/Facebook
Namun, kalau diperhatikan, zaman sekarang ni memang sudah banyak 'servis' sebegini rupa. Yang membezakan adalah jenis dan bentuk kegunaannya saja. Antaranya:
1. Valet doa
Seperti yang kami ceritakan sebentar tadi, valet doa ini adalah satu servis di mana anda boleh mengupah seseorang untuk membacakan doa secara terus di Masjidil Haram, Mekah. Servis ini dicipta khas untuk mereka yang tidak berkemampuan ke Mekah tetapi mempunyai beberapa hajat yang ingin dikabulkan.
Valet Doa diasaskan oleh Nasrin Harin, 40, atau lebih dikenali dengan nama Haji Arin yang mana servis ini telah ditubuhkan pada 31 Januari 2017 yang lalu.
Pakej bermula dari RM250 sehingga RM5,000 bergantung kepada lokasi doa dibuat dan jumlah doa yang dipohon. Semakin banyak doa, semakin tinggi caj yang dikenakan.
Jadi agak-agak kalau kita bayar untuk 5 doa, berapa doa yang akan dikabulkan? Hmm…
Image via Valet_Doa/Facebook
2. Sapuan Sunnah
Geleng kepala pun ada kami dibuatnya tatkala melihat iklan sebegini. Produk yang dijual adalah produk seks dan model yang digunakan pula adalah 'ala-ala' perempuan berniqab dari timur tengah.
Kami sendiri pun tak faham 'Sapuan Sunnah' apa yang dimaksudkan. Tapi yang penting pendekatan dan bahasa yang digunakan amat memalukan.
Image via Auni Ameera/Facebook
3. Milo + Air Zam Zam
Image via Melayu Baru/Twitter
Seperti kita tahu, air zam zam memang banyak khasiatnya. Ia merupakan air dari telaga yang terletak di kawasan Masjidil Haram, sebelah tenggara Kabah, berkedalaman 42 meter. Disebabkan air ini hanya boleh diperolehi di tanah suci Mekah, jadi untuk menarik pembeli, satu gerai yang menjual air milo telah menjual air minuman tersebut yang dicampurkan bersama air zam-zam. Gambar ini telah tersebar luas di laman sosial sejak tahun lepas lagi.
4. Baju Melayu Sunnah
Image via www.kabarmakkah.com
Bukan saja 'Sapuan Sunnah', Baju Melayu pun ada yang dijual dalam versi sunnah. Berdasarkan gambar di atas, katanya tukang jahit pernah bermimpi berjumpa nabi. Jadi agaknya setelah bermimpi, tukang jahit terus mendapat ilham menghasilkan Baju Melayu ini.
Hmm… tapi musykil juga bagaimana pula ia boleh dipanggil sunnah? Mungkin ada yang kurang jelas, sunnah dalam Islam bermaksud sikap, tindakan, ucapan dan cara Rasulullah SAW menjalani kehidupan sehariannya. Contohnya, memakan kurma sewaktu bersahur dan berbuka di bulan Ramadan. Jadi bagaimana pula Baju Melayu ini boleh dilabelkan sebagai sesuatu yang 'sunnah'?
5. Telur Halal
Image via SAYS
Yang ini pula telur yang dijual dengan cop 'Halal'. Pening kepala pun ada tatkala membaca penerangan dan info mengenai telur ini. Katanya ayam-ayam yang menghasilkan telur ini telah diperhatikan pergaulannya agar tidak terlibat dengan pergaulan dan seks bebas.
***"Kami menjamin setiap penjantan hanya boleh membuahi 4 indukan sesuai syari'ah."***
Hmmm sungguh musykil bagaimana pula telur ini diklasifikasikan sebagai halal. Jadi, ayam kampung kat kampung kita tu boleh makan ke tidak?
Tapi ramai yang kata, ini *troll* sahaja.
6. Ayam terapi Al-Quran
Bukan sekadar telur, ayam juga kini dijual setelah diterapikan dengan ayat suci Al-Quran. Katanya, [ayam-ayam dibela dalam gelombang Al-Quran.](http://says.com/my/seismik/ayam-terapi-al-quran) Wow agak *rare* dan *power*, tapi bagaimana mereka lakukannya?
Ayam ini juga dikatakan boleh membuat minda kita jadi lebih tajam kalau kita makan. Bukan itu sahaja, kesihatan kita pun akan bertambah baik dengan memakan ayam-ayam terapi ini.
Menurut sumber, selepas semua ayam ini siap disembelih dan dibersihkan, peniaga akan simpan dalam bilik sejuk beku dan ketika itu, ayam berkenaan akan melalui proses terapi dengan alunan bacaan ayat Al-Quran dan Ruqyah.
Berbeza dengan harga ayam biasa, ayam-ayam yang digelombangkan dengan bacaan Al-Quran ini dijual pada harga RM14 sekilo. Dua kali ganda daripada harga ayam biasa.
Image via www.facebook.com
7. Air terapi gelombang azan
Image via mr-liey.blogspot.my
Kalau ayam pun dah digelombangkan dengan Azan, tak kan air pun kita tak nak gelombangkan? Katanya air ini sangat bagus diminum dan diedarkan oleh Furqan Network Marketing.
Cuma kami tertanya-tanya bagaimana air ni dibuat ?
Di azan kan setiap botol?
Di azan kan dalam tangki air?
Di azan kan dalam kolah air?
Di azan kan dalam kolam?
Di azan kan di sungai?
Kalau begitu, bagaimana pula dengan air kolam masjid yang hari-hari terima gelombang azan? Itu belum lagi dengan gelombang surah Al-fatihah yang imam bacakan setiap kali solat. Mesti lebih mahal kan?
8. Air terapi Al-Khodafi
Image via SAYS
Jika anda fikir air terapi azan tak cukup bagus, anda boleh dapatkan air Al-Khodafi ini. Katanya air ini boleh merawat saka, sihir, santau dan gangguan mental kerana keistimewaannya. Air ini dirawat dengan kaedah Nano Hydronium serta mengandungi pelbagai bahan baik seperti sarang anai-anai (yang sudah makan 22 juzuk ayat Al-Quran) dan air hujan malam Jumaat 10 Muharam. WOW!
Yang kami pelik, kalau malam Jumaat 10 Muharam tu tak hujan, macam mana pulak diorang nak dapatkan?
Serius geleng kepala dan layak diberi facepalm. Isu ini turut dikemukakan olehseorang pengguna Facebook, Auni Ameera dalam satu post yang dimuat naiknya minggu lalu.
Dalam *post* tersebut, beliau berkata ramai Melayu muslim kini menunggang agama tanpa rasa bersalah. Baca di bawah:
Image via Auni Ameera/Facebook

