Bersediakah Kita Ke Arah Aspirasi Bebas Asap Serta Larangan Merokok & Vape Sepenuhnya?
Satu laporan menunjukkan bahawa kadar merokok Malaysia hanya menurun sebanyak 1.5% dari 2015 hingga 2019.
Umum sedia maklum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mencadangkan undang-undang tembakau baharu dengan memasukkan rokok, vape, dan produk tembakau lain ke dalam satu kategori
Justeru, ia secara tidak langsung melarang aktiviti merokok atau penggunaan produk tembakau alternatif lain, jika rang undang-undang tembakau diluluskan.
Ini termasuk usul 'Generasi End Game' yang mengharamkan penjualan rokok, produk tembakau, dan vape terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005.
Image via Utusan Malaysia/Faisol Mustafa
Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata sekiranya cadangan yang bakal diperdebatkan di Parlimen dalam masa terdekat ini diluluskan dan dikuatkuasakan dengan berkesan, ia boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan lebih baik secara ketara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Begitupun, menurut CodeBlue, Malaysia telah ketinggalan di belakang sasaran dengan 21.3% kadar merokok pada 2019, hampir 3% lebih tinggi daripada matlamat 18.5% untuk tahun itu.
Malah, laporan 2020 kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) menunjukkan bahawa kadar merokok Malaysia hampir tidak menurun, hanya menurun 1.5% antara 2015 dan 2019.
Dianggarkan 4.9 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas masih merokok pada masa ini, seperti yang dilaporkan dalam Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019
Hal ini menimbulkan beberapa persoalan daripada segi pelaksanaan dan penguatkuasaan jika undang-undang larangan merokok dan pengharaman produk tembakau lain dan vape dalam kalangan perokok dan generasi muda diluluskan kelak.
Melihat dengan situasi Malaysia sekarang, pada pendapat penulis, Malaysia masih belum bersedia untuk larangan sepenuhnya terhadap produk tembakau dan juga pengharaman penjualan vape, ini antara sebabnya:1. Larangan menyeluruh sebegini mungkin menyaksikan peningkatan produk pasaran gelap seperti lambakan rokok seludup
Image via Berita Harian
Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok berkemungkinan mendapat inspirasi daripada dasar New Zealand's Generational End Game polisi yang dilaksanakan. Perbezaannya ialah versi New Zealand telah mengikuti pendekatan berperingkat dari 2011, dan hanya akan mula mengharamkan rokok bagi mereka yang berumur 14 tahun ke bawah pada 2027.
Mengambil New Zealand sebagai contoh sekali lagi, mereka mengambil langkah untuk melengkapkan larangan merokok, seperti menaikkan harga rokok secara mendadak dan melarang penjualan produk vape kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun. Namun begitu, mereka masih melihat vape sebagai satu cara untuk membantu perokok menghentikan tabiat tersebut.
Sekiranya Malaysia mengkategorikan rokok dengan produk tembakau lain dan vape, pendekatan ini secara langsung telah mengabaikan hakikat bahawa produk tembakau alternatif adalah tidak sama dengan rokok. Dengan mengharamkan produk rokok dan vape secara terang-terangan, ia berkemungkinan akan membawa kepada ledakan pasaran gelap, kerana pengguna biasa mungkin menggunakan produk haram seperti rokok seludup.
Sebaliknya, peraturan yang betul untuk produk pengurangan bahaya seperti vape harus ditetapkan sebagai alternatif untuk perokok. Bahkan terdapat banyak kajian yang telah menunjukkan bahawa produk alternatif adalah berbeza dan mempunyai impak yang rendah berbanding rokok konvensional.
2. Industri vape bakal terjejas dan nasib perniagaan yang dipelopori oleh orang Melayu dan Bumiputera bakal terkubur
Image via Kosmo!
Menurut laporan, Presiden Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas berkata, industri tempatan rata-ratanya terdiri daripada usahawan Bumiputera dan polisi ini akan memberikan kesan dalam jangka masa panjang.
Nasib industri yang bernilai RM2.27 bilion serta 15,000 pekerja dan 3,000 perniagaan vape di Malaysia akan terjejas sekiranya kerajaan tidak memberikan pertimbangan yang sewajarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Mohamad Neezam Talib berkata, rokok dan vape adalah dua barangan yang berbeza dan tidak sepatutnya disamakan dalam satu kategori yang sama dalam larangan ini.
Sebaliknya, produk vape adalah alternatif yang kurang risiko kepada rokok dan mampu membantu perokok tegar berhenti merokok.
3. Larangan drastik sebegini juga boleh membawa ke arah 'pengharaman' kepada larangan lain
Image via Forbes
Salah satu hujah yang ditimbulkan oleh orang ramai ialah jika polisi larangan rokok dan produk vape ini dilaksanakan kelak, ia juga boleh membawa ke arah pengharaman barangan lain yang tidak sihat, seperti alkohol dan gula.
Jika kerajaan menyatakan sebab kesihatan dalam mengharamkan merokok dan vape, oleh itu perlulah dinyatakan bahawa terdapat penyakit tidak berjangkit yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol, termasuklah kanser, penyakit hati dan pankreatis.
Apatah lagi penyakit-penyakit yang dicetuskan oleh pengambilan gula. Untuk pengetahuan semua sebanyak 50.1 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan dengan 19.7 peratus daripada mereka menghadapi obesiti gula berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiti Kebangsaan.
Secara keseluruhannya, 'Generational End Game' adalah aspirasi mulia tetapi ia amat penting sekali untuk membezakan kategori rokok dan produk tembakau lain atau vape ini.
Image via News18
Disclaimer: Artikel ini ditulis berdasarkan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak SAYS Seismik.
Ingin luahkan rasa pendapat dan pandangan peribadi? Anda juga boleh hantarkan artikel sebagai pembaca SAYS Seismik dengan emailkan ke stories@says.com.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Leave a comment