Inisiatif Murni Ad Diniah Sumbang Kit Pengurusan Jenazah Percuma Ini Dipuji
Mengingat mati itu sendiri satu ibadah.
Kematian itu adalah sesuatu yang pasti dilalui oleh semua makhluk hidup tanpa terkecuali
Mengingat mati itu sendiri satu ibadah. Hal ini kerana dengan mengingati kematian, kita akan menjadi orang yang senantiasa bertaubat dan menyesali kesalahan yang kita lakukan.
Malah beberapa tahun kebelakangan ini, menjadi trend ramai pengusaha menjalankan perniagaan dengan menjual kit pengurusan jenazah untuk lelaki dan wanita sebagai tuntutan Fardu Kifayah sesama insan.
Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah juga tak terkecuali menjalankan kempen amal pengagihan set kain kafan dan pengurusan jenazah atas paksi kebajikan.
Image via Ad Diniah
Penaung pertubuhan berkenaan, Ustaz Zakaria Awang berkata kempen sumbangan set pengurusan jenazah termasuk kain kafan itu tercetus sebagai usaha amal kebajikan yang tidak pernah ada noktahnya.
"Kita mudahkan urusan atau ringankan beban orang, insya-Allah urusan sendiri juga akan dipermudah. Berbuat baik dan menambah pahala sendiri tiada garis penamatnya.
"Perkara yang dihadapi dan dilalui bagi setiap yang hidup kadangkala menjadi kesulitan tanpa diduga. Contohnya pihak masjid dan keluarga si mati.
"Jadi tercetuslah idea pihak kami dalam pengagihan set pengurusan jenazah ini. Malah saya memuji ada golongan artis dan ustaz selebriti yang menggunakan pengaruh mereka menjual set seumpama itu," katanya.
Lebih 300 set kelengkapan berkenaan diagihkan kepada masjid yang memerlukan
Kempen ini sudah memasuki bulan ketiga dan sudah lebih 300 set kelengkapan berkenaan diagihkan kepada masjid yang memerlukan.
"Selepas tiga bulan kempen ini berlangsung, lebih 20 buah masjid sekitar Kajang dan di Pantai Timur sudah menerima agihan set kelengkapan pengurusan jenazah itu.
"Kebiasaannya, kita akan dapatkan semua senarai masjid termasuklah di Semenyih dan Negeri Sembilan. Malah kita juga berhubung dan merujuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid.
"Jika masjid berkenaan ada menguruskan jenazah dan perlukan set kelengkapan jenazah kita akan utamakan kepada masjid memerlukan," katanya.
Image via Ad Diniah
Tambah Ustaz, komunikasi antara masjid yang menerima agihan akan berterusan.
"Kebiasaannya masjid yang menerima sumbangan berkenaan akan memaklumkan sama ada ia sudah diguna pakai.
"Malah, jika menerima panggilan dari mana-mana masjid memerlukan, pihak kami akan aturkan agihan sumbangan dengan menghantar wakil untuk sesi pengagihan tersebut
"Bahkan di sebelah Pantai Timur, kami turut mempunyai staf dan wakil yang akan menjadi wakil untuk mengagihkannya set kelengkapan terbabit. Ia merangkumi Kota Bharu (Kelantan), Kemaman (Terengganu) selain Johor," katanya.
Sasar pengagihan pengurusan jenazah termasuk kain kafan lebih 10,000 set
"Isyarat mati itu tak mampu ditebak. Namun, usaha kempen ini sebagai pemudah cara. Dalam set kain kafan dan pengurusan jenazah ini merangkumi ini 20 barangan termasuk telekung, air mawar, dan alat kelengkapan pemandi jenazah seperti apron, sarung tangan dan sebagainya.
"Kebiasaannya kita mendapatkan kelengkapan ini di kedai berbeza. Ada kedai yang tidak menjual semua kelengkapan dan keperluan diperlukan. Jadi itu agak menyukarkan.
"Pihak kami mengambil masa sekitar dua minggu sekurang-kurangnya untuk menyediakan 100 ke 100 set lain. Kos satu set adalah RM300," katanya.
Image via Ad Diniah
Atas paksi mengajak lebih ramai melakukan kebaikan dan menggandakan pahala, Ad Diniah juga mengalu-alukan sumbangan dan infak orang ramai dalam mengimarahkan kempen.
"Sekiranya orang ramai ingin menyumbang atau menginfaq kelengkapan jenazah ini boleh hubungi Ustazah Hazwani selaku pegawai bertanggungjawab di talian 011-55066972. Atau boleh layari sumbangankainkafan.com
"Bagi pihak yang sudi membantu dalam hal sebegini, mudah-mudahan kita dapat meringankan beban golongan memerlukan termasuk asnaf, pihak masjid dan pengurusan.
"Harapan kami sumbangan dan infaq bantuan ini dapat menjadi asbab kepada suatu gejala pahala yang besar dengan mempermudah urusan kematian ialah urusan fardhu kifayah.
"Kalau kita dapatkan melaksanakan pengurusan ini, kita akan memiliki pahala yang melebihi dari ibadah dan amalan sunat," katanya.
Didatangkan dengan kain sudah sedia berjahit dan dipotong
Ditanya mengenai keunikan set pengurusan jenazah ini berbanding dengan set yang lain, Zakaria berkata ia didatangkan dengan kain sudah sedia berjahit dan dipotong.
"Ia lebih memudahkan pihak masjid atau keluarga si mati. . Proses jadi lebih cepat dan menjimatkan masa serta memudahkan urusan menguruskan jenazah," katanya.
Untuk rekod pertubuhan ini diusahakan sejak 1985 dan kini genap usia yang ke-37. Ia bermula dengan program korban dan aqiqah di Malaysia termasuk ke Kemboja.
Pertubuhan yang memiliki 32 staf ini rancak menyalurkan bantuan wakaf Al-Quran, pam air, tandas, basikal dan banyak lagi.
Kini dikembangkan pula dengan pengagihan kit atau set pengurusan jenazah. Bahkan ada pembelian set berkenaan dibeli untuk disimpan di rumah.
Image via Ad Diniah
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Leave a comment