Pemuda Malaysia Kayuh Basikal Ke Mekah Dari Banting, Rentas 6 Buah Negara Sejauh 2,600KM
Dia mahu menunaikan umrah dan tinggal selama sebulan di tanah suci Mekah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Siapa sangka, aktiviti mengayuh basikal yang dahulunya merupakan satu hobi kini bertukar menjadi misi besar buat seorang pemuda dari Banting, Selangor yang mengambil keputusan untuk berbasikal bagi menunaikan umrah di Mekah, pada bulan Ramadan nanti
Aqil Misnan, 30, dalam satu temuramah bersama SEISMIK berkata, dia mendapat idea untuk melakukan misi tersebut selepas terinspirasi dengan individu-individu yang turut melakukan perkara sama seperti @ariyami dan @purnamarafli_dari Indonesia dan @ahmad.bin.isa dari Malaysia.
Image via @aqilmisnan (Instagram)
Menurut Aqil, bagi memastikan dia bersedia dari segi mental dan fizikal untuk misi tersebut, dia telah membuat persiapan tiga bulan lebih awal. Setiap hari Aqil akan mengayuh basikal sejauh 40 kilometer hingga 50 kilometer, berserta dua hari rehat dalam seminggu selama tiga bulan.
Sudah mengayuh basikal selama dua bulan melalui 4 negara
Kayuhannya bermula dari kampung halamannya di Kanchong Darat, Banting Selangor terus ke Kuala Perlis dan kemudiannya memasuki Laos. Dari Boten Laos, Aqil meneruskan kayuhannya sehingga ke Kunming lalu menaiki keretapi ke Xinjiang, China.
Bagaimanapun, ketika di Xinjiang dia terpaksa menaiki kapal terbang ke Dubai atas faktor cuaca yang terlalu sejuk sehingga mencecah -13 darjah celsius yang mungkin akan memudaratkan dirinya jika meneruskan kayuhan.
"Kalau ikutkan, dari Xinjiang saya akan terus berkayuh sehingga memasuki Kazakhstan dan Uzbekistan, dari Uzbekistan barulah saya akan menaiki kapal terbang untuk ke Dubai, tetapi atas faktor cuaca, saya terpaksa batalkan rancangan saya itu", katanya.
Terpaksa jual kereta X50 kesayangannya untuk menampung kos misi ini dan mendapat sokongan yang kuat dari keluarga, rakan-rakan dan pengikut di media sosial
Image via @aqilmisnan (Instagram)
Aqil turut memberitahu dia mempunyai sedikit simpanan untuk misi kayuhan ini dan selebihnya dia telah menjual kereta X50 miliknya untuk memastikan dia mempunyai kewangan yang cukup untuk keperluan sepanjang kayuhan.
"Dari segi kewangan saya telah menjual kereta X50 milik saya. Perbelanjaan yang diperlukan anggaran dalam RM20 ribu sehingga RM30 ribu tapi saya sediakan RM50 ribu untuk hotel, makan, dan selebihnya untuk kecemasan", katanya kepada SEISMIK.
Apabila ditanya tentang bagaimana reaksi keluarga ketika kali pertama memaklumkan hajat berkenaan, jujur dia mengatakan keluarganya terkejut dan agak sukar menerima pada mulanya atas faktor risau akan keselamatan dirinya. Bagaimanapun, lama-kelamaan mereka menerima keputusan itu dan memberi sokongan yang penuh.
Rakan-rakan malah pengikut media sosial Aqil juga kelihatan memberikan sokongan tanpa henti kepada pemuda berkenaan setiap kali dia membuat hantaran tentang misi kayuhannya di media sosial.
Kayuh basikal sejauh 20km dalam keadaan gelap gelita dan kenal dengan kawan-kawan baru sepanjang perjalanan adalah antara pengalaman yang tak akan dilupakan
Image via @aqilmisnan (Instagram)
Aqil memberitahu antara pengalaman yang paling tak boleh dilupakan adalah saat dia terpaksa mengayuh basikal sejauh 20 kilometer dalam keadaan yang gelap gelita tanpa lampu jalan ketika melewati Thailand.
"Ketika itu saya mengayuh basikal sejauh 138 kilometer dari Thung Song ke Surat Thani, Thailand dan setibanya saya di 20 kilometer terakhir, sudah masuk waktu malam dan keadaan sangat gelap. Pada awalnya saya agak takut tetapi saya tetap meneruskan perjalanan sehinggalah saya tiba ke hotel," katanya.
Dalam pada itu, pemuda ini juga melalui banyak pengalaman manis antaranya dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru malah diberikan makanan, tempat tidur percuma dan keperluan duit. Selain itu, memori yang menarik buatnya adalah apabila dia mendapat keluarga angkat ketika berada di Perlis dan United Arab Emirates (UAE).
Image via @aqilmisnan (Instagram)
Image via @aqilmisnan (Instagram)
Image via @aqilmisnan (Instagram)
Harapannya semoga menjadi inspirasi buat anak muda yang hilang semangat dan motivasi
Aqil turut berkongsi misi ini telah mengajarnya banyak perkara dan lebih kepada self-learning. Harapan besarnya adalah untuk memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang hilang semangat dan motivasi sepertinya sebelum ini yang gagal mencari tujuan hidup.
Ketika artikel ini ditulis, Aqil kini berada di Abu Dhabi dan berbaki lebih kurang 1,800 kilometer sahaja lagi untuk sampai ke Mekah.
Jumlah kilometer kayuhannya lebih kurang dalam 2,600 kilometer melalui 6 buah negara.
Semoga maju jaya Aqil. Kami doakan anda berjaya selamat tiba ke tanah suci Mekah seperti yang dirancang. Amin
Lihat perkongsian route overview seperti di bawah:
Image via @aqilmisnan (Instagram)
Image via @aqilmisnan (Instagram)
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Leave a comment