Peneraju Industri Halal Malaysia Yang Diboikot Oleh Orang Ramai Serta Kesannya
Penting untuk difahami bahawa McDonald’s Malaysia beroperasi sebagai entiti bebas yang dimiliki sepenuhnya oleh umat Islam.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi SAYS Seismik.
Pusat Kajian Halal di Universiti Malaysia sentiasa mengemaskini maklumat industri halal dalam negara dan juga setiap pemain utama industri halal yang menyokong perkembangan halal dalam negara
Dalam artikel ini, fokus kes kajian adalah terhadap syarikat gergasi dengan jenama antarabangsa iaitu, McDonald’s Malaysia menjadi contoh teladan dalam mempromosikan standard halal yang tinggi.
Pihak kami telah melaksanakan banyak program bersama serta menjalankan kajian terperinci terhadap tatakelola halal dan struktur syarikat ini.
Sejak pengambilalihan operasinya oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd pada tahun 2017, McDonald’s Malaysia telah dimiliki sepenuhnya oleh umat Islam melalui Lionhorn Pte Ltd, sebuah syarikat berpusat di Arab Saudi dan anak syarikat kepada Reza Group.
Status ini menjadikan McDonald’s Malaysia sebuah syarikat milik Muslim sepenuhnya. Oleh itu, McDonald’s Malaysia menitikberatkan nilai-nilai Islam dalam setiap aspek operasinya termasuklah penyumbang yang besar kepada industri halal di negara ini.
Sistem jaminan halal yang komprehensif
Image via McDonald's Malaysia
McDonald’s Malaysia adalah antara syarikat pertama yang menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak tahun 1990-an.
Setiap restoran McDonald’s Malaysia mematuhi garis panduan halal yang ditetapkan oleh JAKIM, termasuk penggunaan bahan mentah halal dan proses penyediaan makanan yang diaudit secara berkala.
Pembekal-pembekal daging, dari luar negara seperti Australia dan New Zealand mempunyai sijil halal dari badan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM dan Tanda Kesihatan Veterinar dari Jabatan Veterinar Malaysia.
Bagi jaminan keselamatan makanan juga, McDonald’s Malaysia memastikan agar pembekal patuh kepada peraturan Supplier Quality Management System (SQMS).
Selain itu, McDonald’s Malaysia telah mengimplementasikan Sistem Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dalam operasi mereka.
HACCP adalah sistem pengurusan keselamatan makanan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang memastikan bahawa makanan yang disediakan memenuhi standard keselamatan dan halal.
Rantaian pembekalan halal dan sistem keselamatan makanan
McDonald’s Malaysia juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan piawaian halal negara, khususnya MS1500, yang merupakan standard halal Malaysia untuk makanan dan minuman.
Sebagai salah satu syarikat yang aktif dalam industri halal, McDonald’s Malaysia menyumbang kepakaran dan pengalaman mereka dalam membantu memastikan standard ini relevan dan memenuhi keperluan pengguna Muslim.
Peranan ini menunjukkan komitmen McDonald’s Malaysia dalam memastikan integriti halal di semua peringkat industri.
Image via McDonald's Malaysia
Struktur halal dalaman yang kukuh
Untuk memastikan pematuhan halal yang konsisten, McDonald’s Malaysia mempunyai struktur halal dalaman yang kukuh. Syarikat ini mempunyai Jabatan Halal khas yang bertanggungjawab untuk mengawasi semua aspek operasi berkaitan halal.
Selain itu, McDonald’s Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman yang berfungsi untuk memastikan semua keputusan dan proses mematuhi standard halal. Mereka juga mendapatkan khidmat penasihat halal luaran yang terdiri daripada pakar-pakar syariah untuk memberi pandangan dan nasihat mengenai isu-isu teknikal halal.
Jawatankuasa Halal Dalaman juga bertanggungjawab memastikan pematuhan halal di setiap peringkat operasi. Mereka juga mendapatkan panduan daripada Penasihat Halal Luar untuk memastikan integriti halal terus terpelihara.
Image via Malaysiakini
Setiap pembekal McDonald’s Malaysia diwajibkan mendapatkan pensijilan halal daripada JAKIM atau badan pengiktirafan halal yang diiktiraf. Proses audit yang ketat dilakukan ke atas pembekal untuk memastikan bahan mentah yang digunakan benar-benar halal dan bebas daripada sebarang unsur syubhah.
Ini termasuk pemeriksaan berkala ke atas kilang pembekal, memastikan keseluruhan rantaian bekalan mematuhi standard halal. Dalam konteks bekalan ayam, McDonald’s Malaysia hanya menggunakan ayam yang disembelih oleh penyembelih yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam.
Penyembelihan ini dilakukan menggunakan pisau khas yang tidak dikongsi, dan pisau ini ditukar setiap enam bulan bagi menjamin penyembelihan yang halal dan berkualiti.
Program kesedaran halal
McDonald’s Malaysia juga memastikan operasi di restoran mereka memenuhi standard halal yang tinggi.
Semua 13,000 kru yang bertugas di lebih daripada 300 restoran di seluruh negara telah menerima suntikan tifoid, mempunyai sijil pengendalian makanan, dan telah divaksin sepenuhnya untuk Covid-19.
Mereka juga menjalani latihan intensif bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan terpelihara sepanjang masa.
Mengikut polisi halal McDonald’s, setiap restoran mesti mempunyai sekurang-kurangnya dua kru beragama Islam di dapur sepanjang masa operasi bagi memantau pematuhan halal.
Setiap bahan mentah yang digunakan diperiksa secara terperinci untuk memastikan ia mematuhi standard halal.
Kesan positif terhadap ekonomi negara
Sebagai salah satu penyumbang utama dalam industri makanan segera, McDonald’s Malaysia memberi impak besar kepada ekonomi negara.
Dengan lebih daripada 400 pembekal tempatan, syarikat ini membelanjakan kira-kira RM1.4 bilion setiap tahun untuk bahan mentah yang diperoleh secara tempatan.
Langkah ini bukan sahaja menyokong pembekal tempatan, tetapi juga membantu mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Image via Malaysiakini
Isu boikot terhadap McDonald’s Malaysia
Isu boikot terhadap McDonald’s sering timbul sebagai reaksi terhadap konflik global. Namun, penting untuk difahami bahawa McDonald’s Malaysia beroperasi sebagai entiti bebas yang dimiliki sepenuhnya oleh umat Islam.
Tidak terlibat dengan sebarang konflik oleh McDonald's Israel yang dahulunya dimiliki oleh Alonyal Limited. Pihak pemilik ini telah menyumbang makanan percuma kepada tentera Israel yang menjadi punca boikot besar-besaran seluruh dunia Islam.
Hasilnya, McDonald's Corporation telah bertindak membatalkan hak operasi Alonyal bagi McDonald’s Israel walaupun syarikat tersebut telah membina empayar McDonald's selama 30 tahun, dengan 225 cawangan di sana.
Selaku entiti bebas dan dengan tindakan McDonald's Corporation, tindakan boikot ke atas Mcdonald’s Malaysia dilihat menggugat peranan salah satu penyumbang besar kepada industri halal negara. Ia juga telah menjejaskan ekonomi tempatan.
McDonald’s Malaysia sebelum ini mempunyai 23,000 pekerja dan kini hanya 13,000 sahaja, termasuk golongan asnaf, OKU, dan warga emas, dan menyokong lebih 400 pembekal tempatan.
Jumlah peluang kepada pekerja dari golongan asnaf, OKU dan warga emas turut berkurang sekitar 40% daripada sebelum boikot, ini benar-benar menyukarkan golongan ini untuk terus mendapat peluang kerjaya.
Image via Berita Harian
Image via Berita Harian
Selain itu, McDonald’s Malaysia telah membayar zakat sebanyak RM12 juta sejak tahun 2017 dan menyumbang kepada pelbagai inisiatif kebajikan melalui Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia).
Inisiatif seperti Rumah Ronald McDonald dan program pendidikan telah memberi manfaat kepada ribuan rakyat Malaysia. Ditambah dengan peruntukan sekitar RM20 juta setahuan bagi tujuan kebajikan khususnya komuniti masjid dan umat Islam. Ini telah berlangsung dari sejak tahun 2017 lagi.
Dengan komitmen tinggi terhadap halal dan sumbangan besar kepada masyarakat serta ekonomi negara, McDonald’s Malaysia adalah contoh bagaimana sebuah syarikat boleh memanfaatkan nilai-nilai Islam untuk kebaikan bersama. Oleh itu, adalah wajar untuk kita terus menyokong usaha mereka demi pembangunan masyarakat dan negara.
Penulis Prof Madya Dr Zalina Zakaria adalah Pengarah Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC) di Universiti Malaya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Leave a comment