“Saya Hanya Cari Rezeki Halal” - Mickey Mouse Tampil Beri Penjelasan, Bidas Tuduhan Meraba
Untuk mereka yang mungkin meragui tentang perbuatan yang dilakukan oleh jejaka di sebalik maskot Mickey ini, boleh baca penjelasan penuhnya terlebih dahulu.
Baru-baru ini tular di media sosial tentang jejaka di sebalik maskot Mickey yang telah dikatakan 'mengambil kesempatan' terhadap seorang gadis
Image via Twitter @kaachuuuuuuuu
Menurut perkongsian yang ditulis di laman Twitter oleh @kaachuuuuuuuu, gadis ini telah menyuarakan supaya orang ramai terutama anak gadis yang berkunjung ke Dataran Pahlawan, Melaka untuk tidak mempercayai individu di sebalik maskot Mickey yang dipakai oleh lelaki ini.
Baca kisah penuh di sini.
Bagi meredakan ketegangan yang semakin hangat tentang isu maskot Mickey ini, jejaka itu sendiri tampil memberikan penjelasan sebenar
Kenyataan itu telah dikeluarkan oleh portal Mstar bertujuan untuk menjernihkan keadaan yang kini semakin tegang. Tambahan lagi, lelaki yang dikenali sebagai Zulkifli atau K.G ini telah menafikan setiap tuduhan dilontarkan terhadapnya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur berusia 34 tahun itu menjelaskan bahawa dia hanya bekerja demi mencari rezeki halal buat keluarga. Malah, dia memberitahu pihak Mstar bahawa dia sudahpun bertunang dan sedang dalam proses mengumpul wang demi mendirikan rumahtangga tidak lama lagi.
"Saya cuma mencari rezeki, mengikut karakter. Saya pakai baju empat lapis dengan sarung tangan yang tebal." - Zulkifli.
Image via Tokopedia
Zulfikli memberitahu bahawa dia mempunyai kekurangan dari segi fizikal iaitu terlalu rendah dan tidak seperti orang lain. Sebab itulah dia sukar untuk mencari kerja dan terpaksa bekerja sebagai penghibur dengan memakai maskot Mickey dan hanya mengambil gambar serta upah dari orang ramai. Malah, selepas kejadian ini, dia menyuarakan rasa terkilan dengan tuduhan yang dilontarkan.
"Saya pakai empat lapis baju, tak ada nak raba-raba. Sekadar ingin bergambar dan letak tangan di pinggang. Tak ada kulit yang tersentuh, namun masih difitnah meraba. Dengan kostum yang tebal, saya boleh rasa ke?"
Berikut merupakan persoalan yang disuarakan oleh Zulfikli sendiri kerana berasa hairan dengan apa yang terjadi dan melibatkan dirinya sebagai seorang yang berkelakuan tidak senonoh kepada pengunjung yang hadir.
Ada juga pihak yang tidak berpuas hati kenapa dia menyembunyikan umurnya yang sebenar. Ini penjelasannya...
Zulkifli berkata dia mempunyai alasan tersendiri kenapa dia merahsiakan umurnya apabila disoal oleh orang awam. Ia kerana dirinya sering menjadi mangsa apabila acap kali dihina, diketuk kepala dan pelbagai lagi.
Malah, ada yang memukul kepala serta menarik tangannya. Ada juga yang memaki dirinya namun dia masih mendiamkan diri dan bersabar. Menurutnya lagi, dia tidak pernah memberitahu orang awam bahawa umurnya adalah 9 tahun, orang awam dikatakan telah membuat andaian tersendiri dan dia hanya mengangguk apabila ditanya.
"Dalam situasi seperti itu, takkanlah saya nak beritahu mereka bahawa umur saya 34 tahun?" jelasnya.
Semoga perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan segala cerita dan fitnah yang ditaburkan dapat dihentikan jika tiada sebarang bukti.
Untuk anda yang terlepas baca kisah ini, boleh baca di bawah:
Leave a comment