Tak Dapat Hadir Konvo Anak Sebab Kena Strok Di UK, Lelaki Perlu Dana RM367k Untuk Pulang
Sahrom masih terlantar di hospital setelah 3 minggu.
Hari terindah seorang pelajar untuk menyambut graduasi bertukar mimpi ngeri setelah bapanya diserang strok secara mengejut beberapa hari sebelum majlis berlangsung
Pelajar Malaysia, Nur' Amalina Sahrom, 28, yang melanjutkan pelajaran di Loughborough University, United Kingdom sepatutnya menghadiri majlis graduasinya pada Isnin, 17 Disember 2018.
Sambutan graduasi itu menjadi lebih istimewa apabila bapanya, Sahrom Ahmad, 58, terbang dari Malaysia semata-mata untuk menghadiri majlis tersebut bagi meraikan anaknya itu.
Image via Twitter @unicornbaehh
Malang tidak berbau, bapanya diserang strok secara mengejut beberapa jam selepas mendarat di London dan dikejarkan ke Charing Cross Hospital untuk menerima rawatan.
Kes ini telah diceritakan oleh sepupu Amalina yang dikenali sebagai Eryn menerusi Twitter.
Pihak hospital mendapati bahawa bapanya mengalami pendarahan otak dan perlu dibedah bagi menyelamatkan nyawanya.
Setelah segala pembedahan dan rawatan dijalankan, keluarga ini perlu membayar bil hospital sebanyak RM367,000!
Kos itu TIDAK termasuk kos penerbangan bagi membawa bapanya pulang ke Malaysia bersama pasukan perubatan dan peralatan perubatan khas.
Sehingga 3 Januari 2019, bapanya masih tidak sedarkan diri dan masih terlantar di hospital.
Image via GoFundMe
Urusan untuk membawa bapanya pulang bertambah rumit kerana ia melibatkan polisi dan birokrasi syarikat insurans
Walaupun bapanya membeli pelan insurans premium yang membolehkan dirinya menebus balik insurans perubatan sehingga RM300,000, pelan yang diambil itu adalah 'pay and claim' (bayar dan tuntut) kemudian.
Oleh itu, keluarga ini terpaksa mencari dana untuk langsaikan bil tersebut terlebih dahulu, kemudian baru dibenarkan untuk tuntut daripada syarikat insurans.
Image via Twitter @unicornbaehh
Bercakap kepada Mstar, Nur' Amalina merayu agar ada mana-mana pihak yang sudi membantu meringankan beban mereka sekeluarga.
"Saya harap ada pihak yang sudi membantu kami membawa pulang ayah saya. Buat masa ini, kami juga sedang berbincang dengan pihak insurans agar dapat membiayai kos perubatan sekali gus membawanya pulang," katanya.
Dengan bantuan daripada orang ramai, jumlah dana yang terkumpul sekarang sudah mencecah RM213,000 ketika artikel ini ditulis
Image via GoFundMe
Seorang rakan Nur' Amalina yang dikenali sebagai Nadilla telah memulakan kempen 'Bring Uncle Sahrom Samad Home' menerusi GoFundMe beberapa hari lalu.
Dalam masa 4 hari sahaja, jumlah dana yang terkumpul sudah melebihi separuh dan hanya baki RM154,000 sahaja diperlukan bagi menjayakan misi ini.
Kempen ini turut mendapat perhatian Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia yang sama-sama mengajak orang ramai untuk membantu membawa Uncle Sahrom pulang ke Malaysia.
Bekas majikan Sahrom, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga membantu dengan memberi sumbangan sebanyak RM50,000.
"Ini adalah inisiatif kami sendiri untuk membantu seorang tenagawan," kata seorang pegawai TNB kepada Mole.
Bagi anda yang ingin bantu meringankan beban keluarga Nur' Amalina, sumbangan boleh dibuat menerusi laman GoFundMe
Sama-sama kita bantu Uncle Sahrom pulang ke Malaysia!
Terbaik orang Malaysia!
Ayuh semua bantu mereka:
Leave a comment