Kasih Sayang Tak Pernah Putus, Wanita Muslim Bersihkan Kubur Nenek Beragama Kristian
Beza agama tak halang kasih terhadap ibu yang telah tiada.
Semua agama mengajar umatnya untuk berbuat baik dan berkasih sayang sesama insan
Image via cruxnow.com
Nilai keakraban dan berkasih sayang perlu disemaikan terhadap setiap manusia di dunia, tidak kiralah jika berlainan agama atau bangsa sekali pun.
Tidak ada satu pun agama yang menyuruh umatnya berbuat baik hanya dengan penganutnya sahaja. Malah agama Islam sendiri menggalakkan umatnya untuk saling menyayangi antara satu sama lain.
Itulah yang terjadi di antara wanita ini bersama mendiang neneknya. Walaupun berlainan agama, kasih sayang mereka tak pernah putus.
Image via Cikgu Emmet Menulis / Facebook
Cikgu Emmet Menulis menerusi Facebook berkongsi sebuah kisah menyentuh hati tentang seorang wanita Muslim yang datang menziarahi dan membersihkan kubur mendiang neneknya yang beragama Kristian sempena All Souls' Day.
Kejadian yang berlaku di Kuching, Sarawak ini jelas mencerminkan kasih sayang di antara dua agama tanpa sebarang prejudis. Kedatangan wanita tersebut, Cikgu Dayang Rafidah bersama ibu saudaranya ke kubur Kristian itu turut disambut dengan sapaan dan senyuman mesra dari pengunjung lain.
Tulisan Cikgu Emmet ini telah mendapat 6k shares ketika artikel ini ditulis. Baca di bawah:
Beza Agama tak halang kasih terhadap ibu yang telah tiada.
Hari ini 2hb November..dalam perjalanan ke bandaraya Kuching melalui jalan penrissen agak luarbiasa sesaknya. Lebih-lebih lagi bila melalui kawasan perkuburan kristian, terdapat banyak kereta parkir di sisi jalan. Rupanya pagi ini ialah hari All Soul Day iaitu hari dimana ramai sanak saudara menziarahi pusara orang tersayang yang telah pergi. Hari ini penganut kristian terutamanya akan membersihkan pusara ibu atau bapa serta saudara mara yang telah tiada disamping menukar bunga dijambangan.
Namun dalam puluhan orang yang berada di kawasan perkuburan kelihatan juga kelibat beberapa orang yang memakai baju kurung dan bertudung. Ternyata mereka ialah perempuan muslimah. Mereka turut membersihkan perkuburan.
Image via Cikgu Emmet Menulis / Facebook
Salah seorang daripadanya ialah guru SMK Padawan. Iaitu Cikgu Dayang Rafidah bt Awang Osman.
Pagi ini beliau bersama ibu dan ibu saudaranya yang beragama Islam turut membersihkan kubur mendiang neneknya yang telah lama tiada. Meskipun kelihatan agak janggal kerana mereka adalah keluarga Muslim tetapi kehadiran mereka disambut sapaan dan senyuman dari pengunjung lain.
Menurut cikgu Dayang Rafidah..walaupun neneknya bukan beragama Islam dan ibunya pula seorang mualaf ia tetap tidak memutuskan rasa kasih dan sayang walaupun nenek (ibu kepada ibu Dayang Rafidah) telah meninggal dunia. Rasa sayang terhadap neneknya terus diterjemahkan dengan menyantuni pusara mereka.
Image via Cikgu Emmet Menulis / Facebook
Hakikatnya di Sarawak dan juga Sabah khasnya dan di seluruh Malaysia amnya masih terdapat nilai hormat menghormati yang boleh dicontohi. Bumi Allah ini untuk dikongsikan bersama. Perbezaan kaum pun untuk saling kenal mengenali dan kepercayaan agama adalah untuk membimbing rohani agar berupaya menjadikan kita manusia yang baik dan berperkerti tinggi.
Sama-samalah kita semaikan kasih sayang terhadap setiap manusia di muka bumi ini demi menjadikan dunia tempat yang lebih baik untuk didiami. :)
Image via giphy.com
Baca lagi nukilan Cikgu Emmet DI SINI:
Leave a comment