"Memang Seronok Dapat i-Sinar & i-Citra" - Tapi Ramai Tak Sedar Kesan Buruk Jangka Panjang
Masih ingat lagikah anda pada i-Sinar dan i-Citra?
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Disclaimer: Artikel ini ditulis berdasarkan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak SAYS.
Pandemik Covid-19 telah memberi impak yang sangat besar terhadap setiap individu
Tiada siapa pun yang terlepas daripadanya, malah pandemik ini telah melumpuhkan ekonomi di serata dunia.
Baru-baru ini juga, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengisytiharkan bahawa Covid-19 adalah sebuah endemik, yang memberi maksud seluruh rakyat terpaksa hidup dengan wabak ini dan ia akan terus berada dalam kalangan masyarakat.
Virus ini tidak akan pergi dan terhapus dalam masa terdekat. Bunyinya memang menakutkan namun itulah realiti yang kita perlu hadapi mulai sekarang, sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun akan datang.
Bercakap mengenai kejatuhan ekonomi, kita boleh lihat ramai rakyat Malaysia yang begitu terdesak dalam mencari jalan untuk meneruskan kehidupan.
Sebilangan rakyat dipotong gaji, ada yang dibuang kerja, malah ada juga yang tidak mempunyai sumber kewangan langsung.
Masih ingat lagikah anda pada i-Sinar dan i-Citra?
Dua skim yang diperkenal kerajaan ini tampak seolah-olah seperti satu usaha kerajaan dalam membantu rakyat meringankan beban yang terpaksa ditanggung.
Dalam pada ramai pihak yang memberi “tepukan gemuruh” dan ucapan “terima kasih” kepada kerajaan, ramai yang tidak sedar bahawa skim ini sebenarnya telah menjerat rakyat jelata.
Tak dinafikan, memang seronok apabila rakyat mampu peroleh sekitar RM15,000 secara “percuma”. Wang yang diperoleh itu boleh digunakan untuk membeli pelbagai keperluan asas selama berbulan-bulan.
Keseronokan jangka pendek itulah yang kita nampak dan mahukan, tanpa memikirkan impak jangka panjang yang bakal meragut masa depan.
i-Sinar dan i-Citra itu bukannya bantuan kerajaan, tetapi dana persaraan yang tidak sepatutnya kita keluarkan
Jom kita lihat pada statistik:
Sebelum wabak Covid-19 melanda lagi, separuh daripada pencarum "hampir bersara" mempunyai dana persaraan kurang daripada RM50,000, jauh dari sasaran RM240,000 yang diperlukan berdasarkan pengiraan RM1,000 sebulan bagi 20 tahun berikutnya untuk bertahan.
Literasi kewangan yang lemah adalah punca utama yang menyumbang kepada masalah ini kerana kadar celik kewangan Malaysia hanyalah 36% berbanding Singapura @ 59% dan Myanmar @ 52%.
Data menunjukkan bahawa semasa inisiatif i-Citra dilancarkan, hanya 80% pemohon mempunyai antara RM4,001-RM5,000 untuk dikeluarkan. Ini menunjukkan bahawa majoriti ahli telah menghabiskan simpanan persaraan mereka.
Statistik yang dikeluarkan ini jelas membuktikan bahawa simpanan persaraan dalam kalangan rakyat Malaysia telah menjadi satu isu yang amat menyedihkan sejak sekian lama, walaupun sebelum wabak Covid-19 melanda.
Jadi, tidak hairanlah kebanyakan rakyat bersorak gembira apabila kerajaan memberi kelonggaran untuk mengeluarkan dana persaraan, kerana majoriti rakyat sememangnya lemah dalam bab pengurusan kewangan dan tidak ada simpanan yang mampan.
Jika sebelum Covid-19 pun masalah ini telah menular, bagaimana pula dengan keadaan sekarang? Pakar meramalkan bahawa generasi masa depan bakal menghadapi gelombang kemiskinan yang dahsyat jika masalah ini tidak dibendung mulai hari ini.
Ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin lama semakin meningkat, kos perubatan yang tidak masuk akal, dan kos makanan harian yang semakin mahal, pasti sukar untuk generasi ini bertahan malah ramai juga yang akan tewas di tengah jalan.
Nak tahu apa yang lebih buruk? Ahli politik.
Sebelum ini, kita telah pun melihat sesetengah ahli politik mendesak kerajaan untuk melonggarkan syarat pengeluaran dana persaraan ini.
Langkah ini jelas menunjukkan bahawa kebanyakan daripada mereka sebenarnya tidak pernah peduli pun akan masa depan rakyat itu.
Mereka hanya mengambil berat tentang agenda semasa yang hangat ketika itu sebagai agenda populis untuk mendapatkan sokongan rakyat dalam jangka masa pendek.
Kalau kita sangka mereka pedulikan rakyat, kita sebenarnya silap. Semua perkara yang dilakukan ada agenda tersembunyi yang bakal menguntungkan mereka.
Ini merupakan salah satu strategi halus mereka dalam mengaburkan mata rakyat. Mereka bijak memanfaatkan kerapuhan rakyat marhaen yang kebanyakannya tidak celik kewangan untuk menyokong cadangan mereka yang tampak bernas untuk agenda dan tujuan peribadi mereka.
Ya, itulah realiti.
Bersedialah, kita semua akan menuju masa depan yang gelap dan dahsyat
Ramai rakyat Malaysia sangat bergantung pada simpanan persaraan mereka untuk mengatasi wabak ini. Dan hakikat ini boleh memusnahkan institusi kewangan rakyat untuk jangka masa panjang.
Pencarum yang dipaksa untuk mengeluarkan wang simpanan mereka semasa wabak jelas menunjukkan kekurangan inisiatif bantuan kewangan daripada kerajaan.
Setakat Bantuan Sara Hidup (BSH) yang bersifat one-off, mana cukup untuk meringankan beban. Rakyat kini lebih terdedah kepada kemiskinan dan dibiarkan tanpa jaring keselamatan.
Perubahan menyeluruh terhadap dasar kesejahteraan sosial negara amat diperlukan dan kerajaan perlu fokus dalam membantu rakyat pulih daripada wabak ini yang telah meragut simpanan masa depan mereka.
Tanpa polisi yang tepat, barangkali ramai yang tidak akan memiliki peluang untuk hidup di usia tua dengan lebih tenang dan selesa.
Ingin luahkan rasa pendapat dan pandangan peribadi? Anda juga boleh hantarkan artikel sebagai pembaca SAYS dengan emailkan ke [email protected]m.