Padan Muka Kau Manusia! Kau Layan Haiwan Macam Mainan, Sekarang Ni Siapa Hamba Siapa Tuan?
Semua terjadi kerana tangan manusia sendiri.
Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak SAYS.
Padan muka kau manusia...
Selama ni kau tak pernah hargai makhluk bergelar haiwan,
Kau buat haiwan macam mainan,
Kau rasa kaulah tuan, mereka hinaan,
Kau jadikan haiwan bahan bulian,
Sambil kau ketawa bagai kerasukan,
Bagi kau, semua itu kau buat for 'fun,
Lagi pun, haiwan mana ada perasaan, kan?
Kau sanggup bunuh haiwan dengan kejam tanpa peri kemanusiaan,
Kau ketuk kepala dan kau hempas mereka di papan dan permukaan keras sampai pengsan,
Kau cucuk perut mereka ketika mereka masih berjalan ke kiri ke kanan,
Kau kerat dan kau belah tubuh mereka sampai terburai bersepai isi badan,
Kau sanggup masukkan jasad mereka yang masih bernyawa ke dalam periuk panas menggelegak sehingga mereka terkulai terkorban,
Semua ini kerana nafsu makan dan perut kau yang perlu diisi sampai kekenyangan.
Nak tahu apa lagi yang kau lakukan?
Kau sanggup jadikan mereka bahan eksperimen sebagai penyelidikan dan kajian,
Kurung mereka macam tahanan dalam sangkar tanpa makanan,
Kau ambil titisan darah dan sel-sel mereka konon untuk tujuan perubatan dan banyak lagi tujuan kemanusiaan,
Walhal kau hanya berniat untuk mendapatkan pulangan yang lumayan,
Supaya kau boleh 'maintain' status sosial dalam kehidupan seharian bersama kenalan-kenalan,
Kau sanggup buru haiwan sampai ke dalam hutan tebal hingga ke dasar lautan,
Semata-mata untuk mendapatkan bahagian badan mereka yang kau kata bernilai seperti galian,
Supaya kau peroleh habuan kewangan mencecah ribuan malah jutaan,
Barulah kenyang dan senang hidup kau sehingga tujuh keturunan,
Kau sanggup suntik tubuh haiwan dan memaksa mereka beranak atau bertelur demi memenuhi 'demand',
Sampai kitaran semula jadi mereka terjejas kerana paksaan,
Tapi mana pernah kau pedulikan,
Yang paling utama adalah nafsu kau yang perlu kau puaskan,
Barulah sedap untuk kau telan sehingga menjilat jari di tangan.
Kau sanggup bunuh haiwan dengan sampah dan plastik yang kau hasilkan,
Konon kau lah makhluk paling istimewa yang dikurniakan akal fikiran,
Tapi kau buang juga merata-rata tanpa pedulikan tentang persekitaran,
Ekosistem kau hancurkan, flora dan fauna kau binasakan,
Semuanya dengan kedua-dua belah tangan di kiri dan kanan,
Kau gondolkan segalanya sehingga haiwan mati berciciran,
Kau sanggup musnahkan habitat haiwan demi pembangunan besar-besaran,
Bina bangunan tinggi mencecah langit dan menggapai awan,
Yang akhirnya banyak diisi oleh kekosongan,
Tanpa penghuni dan hanya bunian,
Demi membina tamadun insan,
Kau langgar rumah mereka dengan jentera-jentera pembalakan,
Untuk dapatkan hasil kayu-kayan dan bina rumah idaman,
Sehingga rumah mereka kau gadaikan habis-habisan,
Kau rasa semua benda pun kau boleh telan,
Apa yang ada di depan mata kau semuanya nampak menyelerakan,
Haiwan-haiwan eksotik seperti kelawar, ular, musang, katak turut kau korbankan kerana ketamakan,
Tanpa langsung ada sifat kasihan.
Padan muka kau manusia...
Tidak pernahkah kau fikirkan akibat daripada segala perbuatan?
Kini telah tersebar satu wabak berbahaya yang tak pernah kau sangkakan,
Sehingga seluruh dunia berada dalam ketakutan,
Sekarang ni barulah kau tahu siapa hamba dan siapa tuan,
Lihatlah manusia sekalian,
Virus Covid-19 ini terlalu hebat dan dahsyat untuk kau tahan,
Acara sukan, sesi persekolahan, semuanya dibatalkan,
Kolej-kolej dan asrama-asrama dikosongkan,
Kerja-kerja di pejabat ditangguhkan,
Baik swasta mahupun kerajaan,
Tutup juga tempat-tempat penyembahan dan keagamaan,
Solat Jumaat tak dapat diadakan,
Sehingga bulan depan,
Turut terhad segala perjumpaan dengan kenalan,
Kalau jumpa pun tetap tak dapat berjabat tangan,
Bayangkan kalau kau teruskan juga resepsi perkahwinan,
Tidakkah pelik kau tidak dapat bersalaman sepanjang persandingan?
Buat masa ini, silaturrahim hanya dapat dihubungkan secara atas talian,
Sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan,
Yang akan diumumkan kemudian.
Eh, kenapa tiba-tiba kau sibuk penuhkan bakul dan troli dengan pelbagai barangan?
Adakah kau takut jika semuanya 'sold out' di pasaran?
Itulah kau, selama ni kau hanya fikir nak penuhkan pinggan,
Sekurang-kurangnya tiga kali sehari wajib kau jamah hidangan,
Pernah kau fikir pasal orang yang miskin kelaparan?
Yang hanya mampu makan sisa dan cebisan?
Sudahlah suka makan, makan pula dalam kuantiti berlebihan,
Sehingga makanan dalam pinggan kau tinggal-tinggalkan,
"Dah kenyang" selalu kau jadikan alasan,
Akhirnya sisa yang kau tinggalkan berakhir dalam sampah bertimbunan,
Pernah tak kau perasan?
Sejak azali lagi Tuhan dah beri amaran,
Jangan makan benda bukan-bukan,
Nabi juga pernah berpesan,
Berhenti makan sebelum kekenyangan,
Ramai pakar dan ilmuwan dah beri peringatan,
Sikap tamak haloba ini boleh memudaratkan,
Tapi kau pilih untuk tidak endahkan,
Dan teruskan kau punya pelan dan rancangan,
Sekarang, wabak haiwan ini telah merenangi lautan dan merentasi awan,
Menjangkiti sebilangan manusia sehingga menyebabkan kematian,
Segalanya bermula di Wuhan,
Daripada haiwan yang kau perkotak katikkan,
Bila dah jadi macam ni barulah kau sibuk mencari jalan,
Supaya kau dapat teruskan kehidupan tanpa mati kebuluran,
Selama ni tak pernah pulak kau kisahkan,
Kau buat je apa yang kau suka tanpa fikirkan tentang kesan,
Inilah perangai manusia yang serupa syaitan,
Memakai topeng berlapis-lapisan,
Itulah kau, degil sangat tak nak ikut seruan dalam al-Quran,
Padahal segalanya sudah tercatat dalam helaian demi helaian,
Dalam Surah Ar-Rahman ayat ke-13 pun Allah sudah berfirman,
"Fabi-ayyi ala-i rabbikuma tukaththiban"
Maka nikmat Tuhan manakah yang kau dustakan?