Majikan WAJIB Bayar Gaji Penuh Buat Pekerja Selama Perintah Kawalan Pergerakan
"Ia perlu dipatuhi, contohnya pekerja kilang yang mesti berada di kilang, namun susulan arahan kerajaan untuk berada di rumah, mereka perlu berada di rumah masing-masing. Mereka mesti dibayar gaji dan tidak boleh dipotong." - Peguam Sumber Manusia.
Selepas Perdana Menteri Malaysia mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan seluruh negara yang akan berkuat kuasa mulai 18 Mac ini, ramai yang turut mempersoalkan tentang pembayaran gaji mereka selama perintah ini berjalan
Soalan yang paling lazim adalah sama ada gaji mereka akan dibayar secara penuh (tanpa dipotong) selama tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bakal berkuatkuasa bermula 18 hingga 31 Mac ini.
Untuk menjawab persoalan orang ramai, Peguam Sumber Manusia, Firdaus Zakaria tampil memberi penjelasan bahawa majikan WAJIB membayar gaji pekerja untuk tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini
Beliau turut menjelaskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan berlandaskan kepada tiga akta iaitu Akta Kerja 1955, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Polis 1967 yang mewajibkan pekerja untuk berada di rumah.
Ini adalah arahan untuk semua pekerja bekerja seperti biasa, cuma bekerja dari rumah. Ia bukan pelepasan cuti. ia satu kaedah mengawal pergerakan sahaja. Mereka perlu dibayar gaji seperti biasa, cuma soal elaun itu adalah perkara yang berbeza kerana ia bukan suatu kemestian untuk dibayar"
Menurut laporan, beliau menambah bahawa bagi pekerjaan yang tidak boleh dilakukan di rumah seperti operator pengeluaran, majikan wajib menanggung bayaran gaji untuk tempoh dua minggu tersebut
"Ia perlu dipatuhi, contohnya pekerja kilang yang mesti berada di kilang, namun susulan arahan kerajaan untuk berada di rumah, mereka perlu berada di rumah masing-masing. Mereka mesti dibayar gaji dan tidak boleh dipotong," katanya.
Buat mereka yang masih keliru apakah sektor kritikal yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, baca di bawah:
Air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.