Individu Boleh Dipenjara Hingga Dua Tahun Atau Didenda Jika Melanggar Perintah Kuarantin
Individu yang melanggar perintah kuarantin di rumah berkaitan dengan wabak koronavirus (Covid-19) boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Semalam, 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan seluruh negara bermula 18 Mac ini
Walau bagaimanapun, bagi individu yang telah mendapat perintah kuarantin di rumah berkaitan dengan wabak Covid-19 ini dilarang untuk melanggar perintah tersebut
Jika perintah tersebut dilanggar, mereka boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau akan dikenakan denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian, Peguam, Syazlin Mansor turut menjelaskan bahawa hukuman itu adalah bagi kesalahan kali pertama dan bagi kesalahan kedua pula, hukuman lebih berat akan dikenakan kerana boleh berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tambah Syazlin, bagi kesalahan yang dilakukan secara berterusan pula, individu tersebut akan disabitkan bersalah dan boleh didenda selanjutnya tidak lebih RM200 bagi tiap-tiap kesalahan itu berterusan
Syazlin menjelaskan bahawa, “Mengikut undang-undang, perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah kediaman bagi kontak jangkitan Covid-19 boleh diambil di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit memperuntukkan kuasa kepada mana-mana pegawai diberi kuasa untuk memerintahkan individu diasingkan di rumah,” katanya.
Malah, sepanjang tempoh yang diletakkan di bawah pengawasan dan pemerhatian, individu tersebut dikehendaki mematuhi segala perintah yang ditetapkan
Kegagalan untuk mematuhi perintah tersebut boleh menyebabkan seseorang berdepan dengan hukuman.