Pekerja Hospital Kami Yang Berjuang Untuk Hak Asas Mereka Memerlukan Bantuan Anda
Seorang pekerja pembersihan di Hospital Ipoh menceritakan penderaan verbal dan mental yang dialami bersama rakan sekerjanya setiap hari, dimana penyelia melayani mereka tanpa rasa hormat.
Dalam masa pandemik COVID-19 ini, ramai dalam kalangan kita bertuah dapat bekerja dari rumah dan amalkan penjarakan sosial. Bagi pekerja kesihatan dan hospital, mereka tidak mempunyai pilihan.
Titik peluh mereka telah membantu memastikan kita semua sihat dan selamat, jadi mereka berhak diberi ganjaran sewajarnya dan keadaan kerja yang baik.
Walaupun kata-kata pujian dihulurkan kepada pekerja barisan hadapan ini, aktivis yang berjuang untuk keadaan bekerja yang lebih baik ditangkap, ditahan satu malam, dan kini menghadapi tuduhan di mahkamah.
Amnesty International Malaysia menyokong penuh aktivis dan semua pekerja kesihatan. Di bawah, kami menerangkan fakta penahanan, impak ini kepada pekerja kesihatan, serta bagaimana anda boleh membantu.
Siapa yang ditangkap dan mengapa?
M Sarasvathy, L Danaletchumy, V Santhiran, P Jothi, dan C Subramaniam Raja, adalah lima aktivis yang menyertai bantahan aman di depan bangunan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pada 2 Jun 2020. M Sarasvathy juga merupakan setiausaha eksekutif Kesatuan Pekerja Nasional dalam Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Bersekutu (NUWHSAS).
Para aktivis itu ditangkap, ditahan untuk satu malam, dan kemudian didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (CMCO), bertentangan dengan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Setiap aktivis itu bakal dikenakan denda sehingga RM1,000, atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya.
Para aktivis juga mendakwa diberi layanan buruk oleh pihak polis semasa ditahan dan di dalam lokap, dengan mendakwa:
- Penderaan lisan oleh pegawai polis.
- Dipaksa menukar pakaian kepada pakaian lokap dengan pintu terbuka.
- Tidak diberi air untuk mengambil ubat mereka.
Tetapi kami kini dilanda wabak COVID-19. Oleh itu, mungkin mereka patut dihukum kerana berkumpul saat wabak ini?
Ini merupakan tindakan kasar yang tidak setimpal ke atas tunjuk perasaan aman yang dihadiri oleh kurang dari 20 individu, yang mana semuanya memakai topeng muka, mematuhi garis panduan jarak sosial, dan telah diperiksa suhu mereka.
Hak berpiket adalah sebahagian penting hak berpersatuan dan berhimpun sebagaimana termaktub dalam undang-undang antarabangsa; sekatan terhadap hak-hak ini semasa kecemasan kesihatan hanya boleh diperkenalkan jika terpaksa dan wajib bertujuan menangani wabak. Pandemik COVID-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk mencanggah hak berhimpun dan berpersatuan secara aman.
Penting juga untuk diperhatikan bahawa denda yang dikenakan terlampau berat, memandangkan pekerja yang membantah ini upahnya rendah. Denda ini akan melebihi 80% dari gaji bulanan mereka.
Pihak kerajaan patut melindungi pekerja barisan depan, bukan menghukum mereka hanya kerana berjuang demi keadaan kerja yang lebih baik.
Mengapa mereka membantah/apa tuduhan mereka?
Menurut NUWHSAS, pada awal wabak COVID-19, pekerja pembersihan hospital ini tidak mempunyai bekalan peralatan pelindung diri (PPE) yang mencukupi ketika mereka membersihkan wad dan kemudahan COVID-19. Edgenta UEMS – syarikat yang kini diberi sub-kontrak untuk mengupah pekerja pembersihan untuk hospital – juga gagal menyediakan topeng muka dan sarung tangan yang mencukupi.
Oleh kerana Edgenta UEMS telah menolak untuk menghormati perjanjian kolektif sebelumnya, pekerja hospital juga membantah tiadanya kenaikan gaji tahunan, kenaikan cuti sakit dan cuti tahunan sesuai dengan usia kerja, dan pengurangan jumlah cuti umum berbayar.
Tambahan pula, pihak kesatuan telah mendakwa bahawa Edgenta UEMS telah menyasarkan ahli kesatuan aktif dengan:
- Mengubah waktu bekerja dan shif pekerja yang aktif dalam kesatuan.
- Memindahkan anggota kesatuan pekerja ke hospital yang jauh dari tempat tinggal mereka, tanpa sebab.
- Melarang perbincangan berkaitan kesatuan antara jawatankuasa pekerja di tempat kerja dengan pekerja, walaupun ketika waktu rehat.
- Tidak membenarkan ahli kesatuan pekerja bekerja lebih masa untuk meningkatkan pendapatan mereka.
- Mengancam anggota kesatuan dengan tindakan tatatertib.
Syarikat itu mengeluarkan kenyataan awam pada 3 Jun 2020 yang menafikan tuduhan di atas dan juga dakwaan mereka gagal dalam menyediakan PPE serta terlibat dalam aktiviti penghapusan kesatuan. Bagaimanapun, wakil kesatuan tetap berpegang pada tuduhan asal mereka.
Mengapa pentingnya kesatuan?
Kesatuan pekerja adalah penting kerana ia merupakan satu-satunya cara pekerja boleh bersuara dan menuntut faedah pekerjaan serta keadaan kerja yang lebih baik; menggunakan kuasa kolektif mereka supaya mereka tidak diambil kesempatan.
Ini sangat penting memandangkan jurang besar dalam kuasa berunding di antara syarikat kaya dan berpengaruh berbanding dengan pekerja minimum yang bergantung pada gaji minimum.
Mengapa pekerja pembersihan hospital kerajaan memerlukan kesatuan?
Dalam kes ini, pekerja pembersihan di hospital kerajaan Malaysia sebenarnya adalah pekerja kontrak yang diupah oleh syarikat swasta. Syarikat-syarikat ini diberi subkontrak oleh syarikat konsesi - pemegang geran atau konsesi - yang diberi kontrak kerajaan untuk perkhidmatan sokongan hospital.
Sebagai pekerja kontrak, pekerja pembersihan seringkali hanya dibayar gaji minimum RM1,200 dan tidak berhak menerima faedah seperti kenaikan gaji tahunan, serta cuti umum berbayar lebih dari 11 hari, bonus, dan pampasan sekiranya mereka diberhentikan.
Perubahan kontrak yang kerap juga membiarkan pekerja pembersihan dalam keadaan tidak stabil; kontraktor baru boleh menyemak dan mengurangkan faedah serta memilih untuk tidak mengenali sejarah perkhidmatan.
Pada tahun 2016, NUWHSAS dihidupkan semula oleh sekumpulan pekerja pembersihan hospital yang kebanyakannya wanita untuk merundingkan tuntutan dengan majikan mereka. Mereka membuat perjanjian kolektif dengan 43 tuntutan, termasuk kenaikan gaji permulaan dan kenaikan tahunan. Pada bulan Oktober 2019, perjanjian kolektif baru dengan 38 tuntutan telah dipersetujui dengan majikan, yang menetapkan syarat pekerjaan pembersihan kontrak. Rundingan ini dirakamkan dalam dokumentari Minxi Chua dan Asyraf Abdul Samad 2019, Bila Kami Bersatu.
Namun, sebelum perjanjian itu berkuatkuasa pada Januari 2020, subkontrak tersebut dijual kepada syarikat lain: Edgenta UEMS. Menurut laporan media, Edgenta UEMS nampaknya enggan mengiktiraf kesatuan ini dan oleh demikian tidak mengiktiraf perjanjian kolektif awal, menjadikannya batal dan tidak sah.
Edgenta UEMS tidak mengesahkan atau menafikan keengganan mereka untuk mengiktiraf kesatuan ini, tetapi mengatakan tuntutan penghapusan kesatuan adalah subjek kes pertikaian perdagangan yang belum selesai di bawah Seksyen 18 Akta Perhubungan Perusahaan. Pendengaran mahkamah kini ditangguhkan ekoran COVID-19.
Bagaimana kehidupan pekerja pembersihan hospital kerajaan?
Seperti yang ditulis oleh New Naratif, "Selepas pencen dan pemotongan jaminan sosial, gaji rata-rata pekerja pembersihan rumah kebiasaannya lebih mendekati RM1,000 (USD233) - di negara di mana anggaran gaji sara hidup hampir tiga kali ganda, atau RM2,700 (USD633) sebulan untuk satu orang.
"Ramai pekerja pembersihan juga perlu menyokong keluarga dengan gaji mereka yang sedikit. [Ramai merupakan] ibu tunggal, janda, atau telah bercerai yang bekerja sebagai pekerja pembersihan untuk membesarkan anak-anak mereka. Ada yang berumur dan hanya pendidikan sekolah menengah. Yang lain bekerja dua hingga tiga pekerjaan lain untuk memenuhi keperluan."
Amnesty International Malaysia bercakap dengan pekerja pembersihan yang gajinya RM1,200 setelah lebih dari dua dekad bekerja sebagai pekerja pembersihan hospital kerajaan. Walaupun pekerja pembersihan kesatuan sering merasa terancam dan risau terhadap akibat berada dalam kesatuan itu, mereka masih rasa perlu berjuang untuk hak mereka.
"Kalau kita senyap, kita tak akan dapat hak kita," kata seorang pekerja pembersihan.
Apa yang dimaksudkan dengan 'union-busting' ataupun penghapusan kesatuan? Apakah kesannya terhadap pekerja pembersihan?
Hak untuk menyertai kesatuan pekerja termaktub dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) dan juga Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial, dan Budaya (ICESCR). Ini bermaksud ia merupakan hak asasi manusia bahawa semua individu yang bekerja berhak untuk bergabung dalam sebuah kesatuan.
'Union-busting' ataupun penghapusan kesatuan merujuk kepada tindakan yang bertujuan untuk mengganggu atau mencegah pembentukan kesatuan pekerja. Seperti yang dinyatakan di atas, Edgenta UEMS didakwa mengambil tindakan menyekat kesatuan pekerja, termasuk mengancam anggota kesatuan dengan tindakan disiplin dan melarang perbincangan yang berkaitan dengan kesatuan di tempat kerja.
Menurut laporan media oleh New Naratif, pekerja pembersihan hospital mengatakan bahawa mereka telah diganggu dan dibuli oleh penyelia mereka:
Zaitun*, pekerja pembersihan di Hospital Ipoh, menceritakan mengenai penderaan verbal dan mental yang dia dan rakannya lalui setiap hari: "Mereka menjerit kepada kami: keluar! Hei, kamu, keluar! Mereka bercakap dengan kami tanpa rasa hormat. Satu kali, pihak jururawat pun terkejut dengan jeritan mereka. Jururawat semua berlari ke arah kami, memikirkan bahawa ada pergaduhan yang berlaku. Tetapi kami memang dilayani sebegini. Hei, kamu, keluar!"
Namun, layanan paling buruk ditujukan terhadap pekerja pembersihan yang aktif dalam kesatuan. "Saya tidak dapat pergi ke mana-mana," kata Zaitun kepada New Naratif.
"Pengawas mengikuti saya; mereka mengambil gambar saya. Mereka menukar lokasi kerja saya sepanjang masa. Saya tidak dibenarkan bergaul dengan orang lain. Tetapi yang paling teruk adalah apa yang berlaku selepas Hari Raya. Loker saya dipecah masuk. Mereka membukanya dan mengeluarkan semua peralatan saya, sarung tangan, topeng, beg plastik. Saya rasa mereka mencari borang, kerana mereka tahu bahawa saya adalah anggota kesatuan. Tetapi mereka tidak menemui apa pun."
Bagaimana saya boleh bantu?
Anda boleh menghantar e-mel sebelum 18 September 2020 ke pejabat Peguam Negara Tan Sri Datuk Sri Idrus Harun menyeru pihak beliau:
- Batalkan semua tuduhan terhadap lima anggota, kerana tuduhan tersebut bertentangan dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan membawa hukuman yang akan mempengaruhi kumpulan ini secara tidak setimpal.
- Menyiasat tuduhan terhadap syarikat tersebut dan memastikan bahawa semua undang-undang buruh dipatuhi dan dikuatkuasakan, terutamanya bekalan peralatan pelindung diri yang tidak mencukupi untuk COVID-19 dan ancaman pekerja yang aktif dalam kesatuan.
Klik di sini untuk menghantar e-mel. Terima kasih atas sokongan anda!