seismik

13 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Isu Tabung Haji Dan 1MDB

"Cadangan pembangunan kediaman itu yang akan dibangunkan oleh Tabung Haji Properties yang dijangka akan memberi pulangan positif kepada kumpulan itu pada masa hadapan," jelas Datuk Johan Abdullah.

Cover image via facebook.com

Apa sebenarnya isu Lembaga Tabung Haji (TH) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Isu ini bermula apabila sebuah blog 'The Benchmark' dan beberapa blog lain memuat naik gambar dokumen transaksi pembelian tanah oleh TH daripada 1MDB

Image via The Benchmark
Image via The Benchmark

Dokumen tersebut memaparkan Tabung Haji telah membeli dua plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM772 juta, menggunakan wang pendeposit yang disimpan dalam syarikat berkenaan dan bukannya wang kerajaan.

astroawani.com

TH hanya membeli sebidang tanah. Kenapa ia menjadi isu besar?

Isu ini menjadi besar kerana TH membeli tanah daripada 1MDB yang dilaporkan berhutang sebanyak RM42 billion

1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan syarikat pembangunan strategik milik penuh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Malaysia yang telah ditubuhkan sebagai suatu langkah inisiatif strategik pembangunan ekonomi negara Malaysia untuk jangka masa panjang, dengan mendapatkan kerjasama dan menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI).

Berdasarkan laporan, pinjaman yang dibuat oleh 1MDB bagi melancarkan beberapa projek besar menyebabkan jumlah keseluruhan pinjaman yang berada dalam tanggungan 1MDB adalah kira-kira RM 42 bilion.

Disebabkan itu, ramai pemimpin dan rakyat mempersoalkan motif TH membeli tanah tersebut daripada 1MDB seperti:

1. Kenapa TH membeli tanah Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB?

Menurut Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah, pembelian tanah ini adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah Tabung Haji yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik.

"Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci. Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional," katanya.

Menurut kenyataan beliau lagi, cadangan pembangunan kediaman itu yang akan dibangunkan oleh Tabung Haji Properties (anak syarikat Tabung Haji) yang dijangka akan memberi pulangan positif kepada kumpulan itu pada masa hadapan.

astroawani.com

2. Apa itu Tun Razak Exchange (TRX)?

Tun Razak Exchange (TRX) sebelum ini dikenali sebagai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD). Ia merupakan pembangunan untuk mewujudkan salah satu pusat pelaburan di Asia yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur berdekatan Bukit Bintang.

3. Berapa banyak yang dibelanjakan oleh TH untuk membeli tanah tersebut?

Menurut apa yang dilaporkan oleh beberapa blog termasuk 'The Benchmark', 1MDB dipercayai membeli tanah kerajaan itu pada harga RM64/kaki persegi, sebelum menjualnya kepada Tabung Haji pada harga RM2,773/kaki persegi.

themalaysianinsider.com

4. Benarkah TH membeli dua bidang tanah?

Image via mynewshub.cc

Dokumen yang dimuat naik oleh beberapa blog itu menyatakan bahawa Tabung Haji telah membayar lebih kurang RM2,860 sekaki persegi (RM194 juta) untuk plot tanah pertama, dan untuk plot tanah kedua, Tabung Haji dikatakan bersetuju membayar RM3,900 sekaki persegi (RM578 juta) secara tunai.

astroawani.com

Datuk Johan Abdullah walau bagaimanapun menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan Tabung Haji sepertimana yang dilaporkan di dalam blog-blog tertentu.

"Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut," katanya.

astroawani.com

5. Dari mana datangnya wang yang digunakan oleh TH untuk membeli tanah daripada 1MDB?

Menurut Tabung Haji, wang yang digunakan bagi pembelian tanah tersebut tidak datang daripada duit yang didepositkan oleh bakal haji. Pembelian itu sebenarnya dibuat oleh salah satu anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Properties Berhad.

klites.net

6. Benarkah TH membeli tanah itu untuk menyelamatkan 1MDB?

Datuk Johan Abdullah menjelaskan bahawa pembelian tanah itu bukanlah satu langkah untuk menyelamatkan 1MDB. Menurutnya lagi, keputusan pelaburan itu dibuat selepas melihat kepada unjuran pulangan sebanyak 27 peratus dalam tempoh tiga tahun.

"Ini bukan langkah bailout untuk 1MDB. Keputusan ini dibuat berdasarkan unjuran pulangan ke atas tanah itu berdasarkan kepada harga kompetitif pembelian tersebut.

Beliau meyakinkan pendeposit agar tidak bimbang kerana ia keputusan pelaburan yang lumayan yang bakal memberikan banyak faedah kepada mereka.

astroawani.com

7. Kenapa TH membeli tanah tersebut sedangkan 1MDB dikatakan dalam keadaan rapuh?

Ramai yang mempersoalkan mengapa perlu TH membeli tanah daripada 1MDB itu. Ia dilaporkan kerana tanah itu terletak di kawasan Kuala Lumpur yang boleh menguntungkan dan ia merupakan tanah yang menjadi tumpuan utama pelabur asing.

klites.net

8. Apa kata pemimpin UMNO mengenai isu ini?

Image via www.1mdb.my

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyatakan kebimbangan berkenaan pembelian sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX) oleh TH daripada 1MDB, dan mengutarakan beberapa soalan kepada Kementerian Kewangan dan Tabung Haji.

"Pemuda Umno tidak menafikan keperluan Tabung Haji untuk membuat pelaburan. Pelaburan dalam pasaran modal (pembelian saham) dan sektor hartanah harus dibuat oleh TH bagi menjana pulangan yang dapat diagih kepada para pendeposit Tabung Haji dalam bentuk dividen. Yang menjadi pertikaian dalam pembelian tanah TRX ini adalah cara bagaimana transaksi ini dilaksanakan," katanya.

themalaysianinsider.com

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mengkritik keputusan Lembaga Tabung Haji (TH) membeli tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan berkata Kementerian Kewangan perlu menjelaskan mengapa tanah tersebut pada asalnya dijual kepada syarikat pelaburan itu pada harga rendah.

"Kalau Tabung Haji sanggup bayar harga begitu tinggi untuk tanah kepunyaan 1MDB, apa alasan Kementerian Kewangan jualnya pada harga begitu murah kepada 1MDB dulu?" soal Mukhriz.

themalaysianinsider.com

9. Apa pula kata pemimpin PAS mengenai isu pembelian tanah yang dibuat oleh TH?

Ketua penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan adakah Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Tabung Haji membeli tanah Tun Razak Exchange (TRX) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas perdana menteri menasihatkan tanah berkenaan dijual semula.

"Transaksi hartanah 1MDB-Tabung Haji ini dengan jelas menunjukkan perdana menteri Malaysia boleh pada bila-bila masa mempengaruhi proses pembuatan keputusan di Tabung Haji. Isunya ialah kalau perdana menteri boleh mempengaruhi, memberi arahan kepada lembaga pengarah untuk menjual semula tanah tersebut, apakah tidak mungkin perdana menteri juga pada awalnya mengarahkan lembaga pengarah untuk membuat keputusan bagi membeli tanah tersebut menyelamatkan keadaan terdesak yang dihadapi 1MDB?” soalnya.

themalaysianinsider.com

10. Bagaimana pula dengan reaksi Tun Dr Mahathir?

Image via www.1mdb.my

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa kurang senang beliau dengan perkembangan mutakhir membabitkan Lembaga Tabung Haji.

Melalui catatan terbaharu beliau di blognya, Dr Mahathir menyatakan kesedihannya apabila wang caruman Tabung Haji digunakan untuk pemulihan hutang 1MDB melalui pembelian tanah seluas satu setengah ekar milik 1MDB pada harga RM188.5 juta.

“Wang yang ditabung sejak penubuhan Tabung Haji sudah meningkat sehingga ribuan juta ringgit. Wang ini boleh dilabur supaya keuntungan dapat membantu pengurusan Tabung Haji dan subsidi kepada bakal haji. Wang Tabung Haji adalah daripada pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji,” ujar beliau.

astroawani.com

11. Kenapa 1MDB membeli tanah TRX dengan harga murah dan kemudian menjual kepada TH dengan harga yang lebih mahal?

Secara teorinya, semasa 1MDB membeli tanah tersebut daripada kerajaan persekutuan, tidak wujud lagi rancangan untuk membangunkan tanah tersebut. Walau bagaimanapun, selepas 1MDB mengumumkan bahawa ia akan menjadi pusat pelaburan, ia wajar dinaikkan harga.

12. Apa pula kaitan Tabung Haji dengan 1MDB yang menyebabkan cetusnya kontroversi?

Ahli Pemuda UMNO, Saifuddin Abdullah berkata bahawa perjanjian transaksi itu mungkin dicemari oleh konflik kepentingan apabila tiga pemimpin utama dalam Tabung Haji juga terlibat secara langsung dengan hutang 1MDB.

klites.net

13. Apa keputusan akhir TH bagi tanah TRX yang dibeli daripada 1MDB?

Tabung Haji mengumumkan untuk menjual tanah yang dibeli daripada 1MDB itu bagi meredakan segala spekulasi yang dibuat oleh beberapa pihak. Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menasihati beliau untuk menjual tanah itu agar reputasi dana tidak "tercemar" kerana mereka berurus niaga dengan 1MDB, dan demi menghormati sensitiviti pendeposit.

Menurut sumber, KWAP akan membeli tanah itu dengan harga RM2,300 bagi setiap kaki per segi iaitu dengan harga yang lebih murah berbanding Tabung Haji yang membayar RM2,774 bagi setiap kaki per segi atau RM188.5 juta bagi 0.64 hektar tanah di TRX.

themalaysianinsider.com

Baca kronologi isu Tabung Haji dan 1MDB DI SINI:

You may be interested in: