Raih Lebih 12K 'Shares', Wanita Kongsi Pertemuan Dengan Penghidap Depresi Selama 13 Tahun
Penyakit depresi ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja.
Penyakit depresi atau kemurungan merupakan satu penyakit serius yang telah dihidapi oleh ramai individu tanpa disedari
Bagi penghidap penyakit ini, kebanyakan daripada mereka memilih untuk merahsiakannya daripada pengetahuan insan terdekat kerana pelbagai faktor termasuklah khuatir dengan stigma serta persepsi negatif yang bakal dilontarkan masyarakat kepada mereka.
Apa yang lebih membimbangkan, individu yang mengalami masalah depresi atau gangguan mental ini seringkali tidak tampil untuk mendapatkan bantuan daripada pakar sehingga pada akhirnya ia membawa padah kepada diri sendiri.
Seperti perkongsian seorang wanita di laman Facebooknya baru-baru ini, dia menceritakan semula detik pertemuannya bersama seorang individu yang telah disahkan mengalami masalah depresi sehingga memberikan kesan mendalam buat dirinya.
Sejak kisah tersebut dikongsikan, ia telah mendapat lebih daripada 12 ribu shares di Facebook.
Untuk kisah sepenuhnya, boleh baca di bawah:
Menurut pengguna Facebook bernama Nomie Mat Lias, dia telah bertemu dengan wanita yang juga penghidap penyakit depresi tersebut di sebuah kafe di hospital
Situasi di kafe hospital:
"Dik, sebelah ni ada orang?"
"Takde kak, jemputlah duduk. Saya sorang je."
"Akak pagi-pagi mesti kena kopi dulu. Kalau tidak, layu je."
"Eh sama lah kita kak, saya pun."
"Ada appointment ke kak?"
"Ya."
Kami pun borak-borak biasa, tanya itu ini.
"Bagus dik, jaga Mak. Akak dulu pun jaga mak akak. Akak anak tunggal. Hinggalah mak tiada.
Lepas tu ayah pula. 5 tahun lepas mak meninggal, ayah pun pergi.
Cuma masa ayah meninggal, akak di luar negara, ikut suami kerja. Akak balik sorang, walaupun tak sempat nak tengok wajah akhir ayah. Dan itulah kali terakhir akak menangis."
Akak tu teruskan bercerita, muka memang sebak, tapi, betul, tiada air mata.
"Akak ke sini, appointment klinik apa?"
"Psikitrik."
Terkedu saya. Pause.
Tak tahu nak cakap apa. Bimbang salah tanya, akak tu kecik hati.
Ujar pengguna Facebook ini, wanita tersebut telah mengalami masalah depresi sejak 13 tahun yang lalu
Mungkin akak tu faham perasaan saya, dia teruskan perbualan.
"Ni lah sejak ayah akak meninggal, 2007, sejak tu lah jadi depression. (Dah 13 tahun dia menderita depression)
Akak tak boleh menangis. Setiap kali rasa sedih, sebak, perasaan tu tersekat ke tekak. Akak tak boleh nak luahkan dengan menangis."
"Bila macam tu, apa jadi kak?"
"Akak rasa emosi, nak marah. Bengang. Memang tak boleh tahan."
"Jadi, setiap kali sesi dengan psikiatris, buat apa?"
"Dia tahu nak tackle kita. Kita akan cerita, dan dia tahu nak handle.
Orang macam akak ni, tak boleh orang setakat nak cakap sabar, sabar."
Akak ni ada anak perempuan sorang. Buat masa ni, dia sibukkan diri dengan aktiviti sekolah anak dia. Kurang masa untuk dia sendirian.
"She is the reason for me to live and stay" Senyum dia, begitu besar makna anak dia.
Allahuakbar.
Apa yang lebih menyedihkan, individu tersebut turut menceritakan kisah anak saudara kawannya yang turut mengalami penyakit sepertinya
Akak ni cerita juga tadi tentang anak buah kawan dia yang menghadapi depression. Remaja lelaki, umur sekitar 16-17. Anak ini seorang yang yang bijak, taat pada ibu ayah. Bersekolah di asrama sekolah sains tahfiz.
Anaknya pernah mengadu tak mampu nak bawak dua-dua aliran, tapi mak ayah terus terusan pujuk. Jadi anak ini kuatkan hati dan dapat keputusan PT3 yang cemerlang.
"This is for you."
Kata si anak tika dia hulurkan result PT3.
Kali ini anak sudah sedikit berani, kekal dengan keputusan untuk teruskan aliran Sains sahaja di Tingkatan 4.
Tapi ayah terus memujuk.
"Ayah nak lah seorang anak ayah jadi tahfiz, boleh bawa kami masuk syurga."
Tak tahu dari mana datang keberanian, si anak membentak,
"Nak sangat masuk syurga, usahalah sendiri!
Ibu ayah bangun jam 6 pagi nak pegi kerja. Abang pukul 4 pagi dah kena bangun, siapkan diri. Pergi lah ibu ayah cuba duduk di asrama tu sebulan, tengok, boleh tahan ke tidak!"
Terus dia nak ke bilik, dihempas pintu bilik. Si Ayah masih fikir positif,
"Tak apa, biarkan dia. Dia marah tu. Nanti baiklah dia"
Si anak masih tak keluar bilik hingga keesokan pagi. Bila emaknya check dalam bilik, jenuh ketuk, tak berbunyi. Mujur ada kunci spare.
Keadaan anak "mute". Duduk atas katil, merenung kosong dinding. Dihulur makanan, ya makan, tapi tiada bunyi.
Emak dan ayah tak tahu nak buat apa. Kebetulan adik emaknya tinggal berdekatan, di anggilnya.
Bila makciknya datang, ditarik perlahan-lahan anak itu, dipeluk dan dibaringkan di atas peha.
Kemudian, ditepuk belakang anak itu perlahan² dan dibisikkan,
"It's ok, aunty ada. It's ok to cry."
Serta merta, si anak menangis sekuat-kuat dan terhengut-hengut seakan bayi kecil.
Alhamdullilah, cut story short, si anak kini tinggal bersama auntynya. Dan kini menjalani rawatan psikiatris.
Sungguh, ini kali pertama saya berdepan dengan pesakit yang mengaku beliau ada masalah depression. (Yang disahkan doktor). Secara zahirnya, beliau kelihatan sama macam kita semua, normal. Berbaju kurung, bertudung. Mukanya lembut dan ramah. Tiada yang pelik pada dirinya.
Namun, itu luaran, rupanya dalamannya amat "sakit". Beliau menderita bertarung dengan "kesakitannya".
Sebelum meninggalkan beliau saya peluk akak tu. Baru kenal, tapi saya yakin, ianya bukan kebetulan. Allah temukan saya dengan beliau untuk memberi pengajaran pada saya.
Justeru wanita ini turut memberikan sedikit pesanan kepada masyarakat di luar tentang penyakit depresi
Mari kawan-kawan, jika ada rasa gelisah, tak tenteram, ada yang tak kena, dapatkan rawatan.
1. Jumpa psikiatrik, bukan bermakna awak gila.
2. Berjumpa dengan yang pakar boleh membantu kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
3. Pelukan terhadap insan yang kita sayang, suami atau isteri, anak-anak, mak atau ayah, adik beradik mampu menenangkan jiwa. Dapat memecahkan ego hati seorang manusia.
4. Perancangan kita tak selalunya terbaik. Kita rasa itulah plan kita yang harus dibentuk untuk anak-anak, end of the day, Allah juga Maha Mengetahui. Dialah sebaik-baik perancang.
5. Sentiasa dekatkan diri dengan Allah. Al Quran itu penenang jiwa. Setiap kali buka Al Quran, doa dan katakan, Ya Allah, aku ingin bersahabat dengan AlQuran. Jadikan ia peneman hidupku. Mudahkan urusanku untuk membacanya siang dan malam.
Maka, benarlah, kasih sayang itu perlu ditunjuk, bukan sekadar kata-kata. Depression, sesiapa pun mudah menyebutnya, Tak semudah orang yang menanggung.