Detik Bertemu "Wanita Paling Hodoh Di Dunia" Dan 3 Pengajaran Berharga Yang Saya Dapat
Penulis SAYS, Farouq Johari dan Samantha Khor berkesempatan untuk beramah mesra bersama "Wanita Paling Hodoh di Dunia", Lizzie Velásquez selama 30 minit. Baca apa yang dirasai sendiri oleh Farouq sepanjang pertemuannya bersama Lizzie.
Bertuah, beruntung, dan bersyukur. Itulah perasaan yang boleh saya gambarkan apabila dipanggil secara eksklusif untuk bertemu dengan 'Wanita Paling Hodoh Di Dunia', Lizzie Velasquez.
Lizzie hadir ke Kuala Lumpur sempena acara tahunan National Achievers' Congress yang diadakan di MINES International Exhibition & Convention Centre (MIECC) pada 10 hingga 12 Julai 2015 lalu. Beliau merupakan salah satu penyampai pada acara tersebut.
Siapakah Lizzie Velásquez?
Lizzie Velasquez dilahirkan dengan keadaan yang sangat jarang ditemui yang tidak membenarkan badannya untuk mengumpul lemak. Apabila wawancaranya tersiar 9 tahun lalu, beliau menjadi sasaran cyberbullies yang melabelnya sebagai "Wanita Paling Hodoh di Dunia" pada usia 17 tahun.
Daripada "Wanita Paling Hodoh di Dunia" menjadi inspirasi seluruh dunia.
Hari ini, Lizzie adalah seorang pengarang buku jualan terbaik dan penerbit eksekutif dokumentari berdasarkan hidupnya, A Brave Heart: The Lizzie Velásquez Story'. Dokumentari ini menceritakan kehidupan Lizzie dari seorang mangsa buli kepada penceramah motivasi dan aktivis. Lizzie menjelajah seluruh dunia bagi memberi inspirasi dan mendidik masyarakat tentang erti kecantikan sebenar.
Lizzie menggalakkan idea bahawa penampilan fizikal dan luaran seseorang individu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan definisi seseorang. Seseorang itu perlu mencintai dirinya sendiri tidak kira siapa dan bagaimana rupa mereka.
Begitulah sedikit sebanyak mengenai Lizzie Velásquez yang penting untuk kita tahu. Saya sendiri kagum dengan ketabahan yang ada dalam diri beliau.
Dan kini, saya diberi peluang untuk melihat Lizzie di depan mata saya sendiri secara private. Saya bagaikan tidak percaya. Saya berasa sangat berdebar dah begitu gemuruh pada ketika itu.
Suasana agak lengang pada masa itu dengan kehadiran hanya beberapa sahaja tetamu jemputan khas. Lizzie sudah pun berada di dalam Green Room. Kami menantikan peluang kami bertemu dengannya dengan penuh sabar.
Apabila jam menunjukkan tepat pukul 5 petang, kami semua dijemput masuk ke dalam bilik berkenaan. Sesi beramah mesra dengan Lizzie ini hanya dijalankan selama 30 minit.
Sejurus melangkah masuk, dari jauh saya nampak sekujur tubuh yang sangat kurus kering bagai tidak bermaya sedang duduk di atas sofa bersama beberapa orang lain. Terdetik dalam hati saya, "Wow, itulah Lizzie."
Langkah demi langkah saya berjalan dan akhirnya saya tiba betul-betul di hadapan Lizzie. Dia yang mengenakan dress putih berjalur-jalur hanya tersenyum lebar tanda mengalu-alukan kedatangan kami semua.
Agak kurang sopan apabila saya berkata begini tetapi memang benar, jika dinilai dari sudut fizikal, saya rasa inilah wanita paling hodoh yang pernah saya jumpa sepanjang hidup saya. Tubuh badan Lizzie teramat kurus. Muka, badan, tengkuk, tangan, dan kakinya langsung tiada isi. Saya juga hairan bagaimana kaki Lizzie yang tiada isi itu mampu menampung berat badannya. Maafkan saya.
Beginilah keadaan Lizzie semasa sesi temu ramah diadakan. Cuba bayangkan jika kita dilahirkan dalam keadaan seperti ini. Apa yang anda rasa?
Lizzie ketika ini tidak begitu sihat. Sebelum masuk, kami dinasihatkan untuk tidak berdiri atau bercakap terlalu dekat dengan beliau, dan kami juga tidak dibenarkan untuk bersalaman atau menyentuh Lizzie.
Walaupun tahap kesihatannya sedikit terjejas, Lizzie masih boleh tersenyum lebar melayan soalan demi soalan yang diajukan. Menariknya, sebaik saja dia mula bercakap, persepsi saya terhadap beliau terus berubah.
Pertama kali saya melihat Lizzie di depan mata, saya berasa sangat simpati dengan nasib yang dialaminya. Dengan keadaan fizikal seperti itu serta dicemuh, dihina, dan diberi gelaran hodoh, saya fikir hidupnya pasti dipenuhi dengan rintangan yang amat besar. "Bagaimanalah jika saya senasib dengannya?" soal saya dalam hati.
Tetapi, persepsi sebegitu tidak bertahan lama. Jujur saya cakap, apabila mendengar suara kecil Lizzie berbicara di hadapan kami, saya agak terpaku. Beliau tampak sungguh ceria, riang, bersemangat, dan gembira dengan kehidupan yang beliau ada sekarang.
Perasaan sayu dalam hati saya bertukar menjadi normal. Ketika ini, saya langsung tak nampak Lizzie sebagai seorang wanita yang hodoh. Beliau sebenarnya sama sahaja seperti wanita-wanita lain di luar sana.
Jika dilihatkan pada ranjau, onak, dan duri yang Lizzie harus tempuhi sepanjang 26 tahun kehidupannya, memang agak sukar untuk kita bayangkan betapa cekalnya hati beliau.
Di sekolah dahulu, Lizzie sering menjadi mangsa buli kepada rakan-rakan. Ramai diantara mereka yang tidak mahu berkawan dengannya kerana rupa parasnya yang janggal. Ada juga yang menjauhkan diri kerana tidak sanggup melihat wajahnya.
Di dunia Internet pula, netizen tidak henti-henti menggelarnya dengan pelbagai gelaran yang buruk. Saya ada terbaca beberapa komen yang berbunyi, "Kenapa ibu bapanya masih mahu menyimpan budak hodoh ini?" dan "Perempuan hodoh seperti ini lebih layak dibakar hidup-hidup."
Kalau anda yang terima cemuhan sebegitu, apa yang akan anda buat? Saya yakin, ramai diantara kita yang tak sanggup untuk bangun pada keesokan harinya sambil menganggap "lebih baik aku mati daripada hidup."
Meskipun begitu, segala tohmahan yang diterima selama ini tidak menghalang Lizzie untuk menjalani kehidupan seperti wanita biasa
"Saya menjadikan ibu bapa saya sebagai pemangkin semangat untuk saya teruskan kehidupan setiap hari. Mereka berdua telah membesarkan saya dengan penuh kasih sayang dan menyediakan saya dengan asas kehidupan yang sangat kuat."
"Mereka juga sentiasa berani dalam menghadapi segala bentuk halangan yang datang di hadapan saya, sentiasa berada di sisi saya dalam apa jua keadaan sekalipun, dan mereka tidak pernah malu mempunyai anak seperti saya. Semestinya, ibu bapa sayalah yang menjadi sumber kekuatan sehingga saya berada di sini hari ini," ujar Lizzie.
"Saya juga sama seperti orang lain yang suka menghabiskan masa lapang dengan menonton siri di Netflix sambil mengunyah makanan ringan. Dan siri kegemaran saya adalah Breaking Bad."
"Saya sangat sukakan siri 'Breaking Bad' lakonan Bryan Cranston dan Aaron Paul. Dalam banyak-banyak siri yang pernah saya tonton, saya rasa inilah yang terbaik. Tapi saya juga ikuti siri 'Scandal' dan lain-lain."
"Kalau pelakon pula, saya mempunyai celebrity crush terhadap Channing Tatum. Siapa yang tak suka pada dia? Tapi saya rasa semua perempuan pun sukakan beliau," jawab Lizzie bersahaja kepada salah satu soalan yang diajukan.
1. Paras rupa, penampilan fizikal, dan luaran tidak mempunyai sebarang kaitan terhadap definisi seseorang
Secantik mana seseorang itu sekalipun, ia tidak sama sekali memberi definisi terhadapnya. Tak semestinya orang yang cantik pada luaran mempunyai hati bersih sesuci kain putih, dan tak semestinya orang yang tak cantik tidak mempunyai budi pekerti yang mulia. Sifat dalaman itu yang lebih penting untuk kita tekankan. Cantik dalaman maka cantiklah luaran.
2. Kita tidak layak untuk judge seseorang tanpa mengenali siapa dia yang sebenar
Seperti yang saya katakan tadi, persepsi saya terhadap Lizzie sedikit berbeza pada mulanya sebelum saya "mengenali" dirinya yang sebenar. Sifat judgemental ini sebenarnya tidak sihat dan boleh mengundang pandangan berlainan daripada yang nyata. Selagi kita tidak tahu siapa dia, kita tidak boleh sesuka hati menghakimi kelakuannya hanya disebabkan satu sifat yang dia tonjolkan depan mata kita. Jadi, bersangka baiklah.
3. Sentiasa rendah diri dan jangan rasa diri kita lebih bagus daripada orang lain
Mungkin fizikal kita lebih elok jika dibandingkan dengan kawan-kawan kita, mungkin kita lebih berjaya dan lebih kaya daripada orang lain, mungkin juga kita lebih handal dalam melakukan sesuatu tugas. Ternyata, apa yang saya senaraikan di atas barangkali benar buat sesetengah orang. Tetapi, jangan sesekali kita lupa diri dan menjadi bongkak. Tuhan mampu menarik segala nikmat yang kita ada dalam sekelip mata kerana Dialah yang Maha Berkuasa. Sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan jangan kita lupakan asal-usul kita.
Apa yang boleh saya katakan, pengalaman bertemu dengan "Wanita Paling Hodoh di Dunia" ini adalah sesuatu yang amat berharga dalam hidup saya
Tulisan ini hanyalah cebisan perasaan yang dapat saya kongsikan. Selebihnya, hanya tuan empunya badan yang tahu betapa bertuahnya apabila dikurniakan peluang untuk bertemu orang-orang hebat seperti Lizzie.
Tahun lalu, saya juga ditemukan dengan penceramah motivasi tersohor dunia, Nick Vujicic yang turut dipandang tinggi oleh Lizzie sendiri. Saya mula terfikir dengan siapa pula saya akan bertemu pada tahun hadapan jika diberi peluang. Harap-harap masih berkesempatan.
Terima kasih tak terhingga diucapkan kepada Lizzie kerana meluangkan masa bersama kami dan juga kepada pihak penganjur yang sudi menjemput kami. Sebelum bersurai, but first, let us take a wefie.