333 Sekolah Berasrama Dipasang CCTV Tahun Ini, KPM Perkukuh Langkah Tangani Buli
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi peruntukan tambahan RM5 juta.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Pendidikan (KPM) memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) ke 333 sekolah berasrama tahun ini sebagai usaha memperkukuh pemantauan dan keselamatan murid

Menurut laporan Sinar Bestari, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi peruntukan tambahan RM5 juta, selain penempatan 300 pembantu warden MySTEP di asrama sejak April lalu.
Pembantu warden berkenaan membantu memantau murid, khususnya pada waktu malam.
"Saya faham keresahan ibu bapa setiap kali berlaku kes buli. Saya juga seorang ibu. Anak saya sendiri pernah belajar dan tinggal di asrama dalam sistem pendidikan yang sama.
"Ada langkah yang sudah kita mulakan sejak beberapa tahun lepas. Ada juga yang baru kita tambah apabila melihat masih ada ruang yang perlu diperbaiki," katanya.
Menurutnya, KPM turut menambah baik sistem aduan buli dengan menyediakan fungsi aduan secara anonim menerusi Portal Aduan Buli KPM bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.
Usaha pencegahan dan intervensi awal turut diperkukuh menerusi Kerangka S.A.F.E, termasuk pendekatan pencegahan, intervensi awal dan pemulihan melalui Pembimbing Rakan Sebaya serta Kaunseling Berfokus.
Selain itu, Pendidikan Karakter akan diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dengan penekanan terhadap nilai dan sahsiah seperti integriti serta empati
Fadhlina berkata, KPM juga bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam penggubalan Akta Antibuli 2026, yang turut memperuntukkan penubuhan Tribunal bagi Antibuli sebagai saluran untuk mangsa mendapatkan pembelaan.

"KPM juga memperkenalkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli pada 2023 sebagai rujukan rasmi sekolah untuk menerima aduan, menjalankan siasatan, mengambil tindakan disiplin dan melaksanakan intervensi," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan KPM tidak boleh berpuas hati dengan langkah yang telah dilaksanakan dan perlu terus menilai serta memperbaiki sebarang kelompongan.
"Selagi ada anak yang belum rasa selamat di sekolah, kerja kita belum selesai," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via